Tuesday, July 28, 2009

PUTIH - RANGSANG KEPINTARAN

Oleh Dr Norhisham Wahab

Cahaya merupakan tenaga spektrum yang sangat luas dan boleh dilihat. Mata difokuskan untuk melihat refleks tenaga untuk keperluan sel tubuh. Menurut Pengamal Terapi Getaran Warna, Dr. Norhisham Wahab, frekuensi gelombang warna yang boleh dilihat oleh mata kasar bergetar antara 420 hingga 780 nanometer (nm). "Warna-warna yang tidak dapat dilihat ialah warna ultra-unggu, infra-merah, gamma dan sinar x" beliau menjelas lagi. Warna-warna yang amat laju ini tidak sesuai untuk keperluan kehidupan organisma di muka bumi ini.

Setiap unsur kimia di dalam tubuh dan di atas muka bumi ini mempunyai sifat frekuensi tenaganya sendiri. Frekuensi tenaga ini hanya dapat dikaitkan dengan sifat frekuensi warna. Dalam tubuh manusia, warna memainkan peranan sebagai penyeimbang sel untuk penyembuhan. Ini bermakna kita memerlukan warna-warna tertentu untuk hidup dengan harmoni. Menurut beliau lagi, setiap tujuh jenis warna pelangi mempunyai peranannya dalam fungsi tubuh.

Cahaya dan warna ialah sebahagian daripada spektrum elektromagnet yang peka pada mata manusia dan juga meruakan sebahagian darpada spektra tenaga yang membolehkan kelangsungan kehidupan setiap makhluk di planet ini. Cahaya berbeza dari segi warna berpandukan ukuran dan jarak gelombang. Warna terpancar bermula daripada gelombang jarak jauh, ukuran rendah sehingga gelombang jarak pendek, ukuran tinggi.

Bagi seorang pelajar, warna hijau amat diperlukan. Ini kerana hijau merupakan simbol oksigen dan bertindak ke atas organ jantung dan paru-paru. Untuk seorang pelajar berada dalam keseimbangan dan harmoni, warna hijau yang dilihat oleh bebola mata akan dianalisa oleh pineal dan sejenis kimia akan dihasilkan oleh hipotalalmus pada bahagian otak untuk meransang kesimbangan. Ini bermakna, untuk mendapatkan suasana pembelajaran yang selesa, kawasan sekolah mahupun di dalam bilik darjah perlu mempunyai banyak warna hijau.

Walaupun warna hijau itu datangnya daripada cat yang berwarna sedemikian namun keupayaan neuron otak akan turut merangsang organ yang berkaitan untuk bertindakbalas secara positif dengan warna yang dilihat. Kepintaran pelajar banyak bergantung kepada kapasiti oksigen yang diterima pada otak. Inilah yang membuatkan warna hijau perlu menjadi pilihan di kawasan sekolah ataupun kawasan kediaman.

Kawasan sekolah sepatutnya di penuhi dengan pokok-pokok dan bunga-bunga yang berwarna lembut, kerana warna bunga ataupun bangunan yang garang dan terang akan menggangu emosi pelajar dan mendorong pelajar bertindak secara agresif. Guru-guru juga perlu memakai pakaian yang berwarna lembut. Ini kerana warna baju yang dipakai oleh guru akan menjadi tumpuan sewaktu proses pengajaran berjalan. Kadangkala tumpuan pelajar boleh hilang sekiranya warna baju yang dipakai oleh guru tidak disukai oleh pelajar.

Ini menunjukkan wujud gangguan keseimbangan dan sekiranya berterusan akan membabitkan masalah disiplin. Mengapa kita rasakan kita tidak dapat menerima apa yang dipelajari pada waktu-waktu tertentu? Berdasarkan kajian sains fizik yang dijalankan oleh pengamal terapi getaran warna ini, setiap 24 jam waktu siang dan malam, berlaku bertukaran warna sebanyak tujuh kali mengikut warna-warna pelangi.

Seorang pakar psikologi barat mengatakan warna putih mampu meningkat kecerdasan, dan bayi perlu didedahkan sebanyak mungkin dengan warna putih dan warna-warna lembut untuk membolehkan IQnya bertambah secara maksimum. Warna unggu pula mampu mengatasi masalah kurang daya tumpuan di kalangan pelajar. Di samping itu, warna ungu yang disifatkan sebagai gelombang jarak jauh mampu meransang minat pelajar.

Menurut Dr. Norhisham Wahab, pukul 12 tengah malam hingga pukul 1 pagi alam dan segala hidupan diselubungi cahaya putih manakala pukul 1 pagi hingga pukul 2 pagi pula bertukar kepada warna merah jambu. Pada peringkat inilah kepekaan otak adalah pada tahap maksimum. Kita juga dilarang mengulangkaji pelajaran pada waktu-waktu pertukaran iaitu antara pukul tujuh hingga tujuh setengah pagi kerana pada waktu ini warna infra merah, merah, oren dan kuning akan berlaku dan membuatkan keseimbangan dalam tubuh kita menjadi terganggu. Begitu juga dengan pukul tujuh hingga tujuh setengah petang.

Fenomena gangguan keseimbangan oleh geteran warna-warna tertentu ini boleh dikesan dengan jelas ke atas mereka yang mengalami masalah kesihatan. Misalnya demam, seringkali kita dapati demam akan bertambah teruk apabila tiba waktu-waktu begini. Sememangnya warna banyak memainkan peranan dalam kehidupan kita.

Walaupun kebanyakan kita mempunyai warna kegemaran masing-masing tetapi kita harus mengetahui apakah warna yang memberi kesan negatif dan yang memberi kesan positif dalam kehidupan kita. Warna-warna putih dan lembut sering dikaitkan dengan unsur-unsur positif. Misanya, pelajar sekolah dikehendaki memakai pakaian seragan yang berwarna putih. Walaupun ada yang mengatakan cepat kotor tetapi warna ini sebenarnya mempengaruhi kepintaran dan keseimbangan emosi pelajar. Tetapi sekiranya persekitaran sekolah dipenuhi dengan warna-warna garang maka tidak hairanlah kalau sekolah begini mempunyai masalah disiplin yang teruk.

Bagi mereka yang hendak menjalani sesi temuduga juga dikehendaki mengenai pakaian daripada warna-warna yang lembut. Ini semua berkaitan dengan emosi mereka yang menemuduga dan yang ditemuduga. Daripada pakaian mereka sudah boleh menilai seseorang yang terbabit secara luaran. Begitu juga dengan hospital, jururawat, doktor dan pesakit serta bangunan dan perhiasan dalaman dihias berkonsepkan warna-warna lembut.

sumber : dewan kosmik

BERMUDA



Gugusan 9 pulau indah: Pasir pantai merah jambu janjikan percutian mengasyikkan di Bermuda

SEBUT saja Bermuda, pasti mengingatkan kita kepada pulau yang penuh mistik dengan kisah kehilangan kapal dan pesawat di kawasan dikenali Segi Tiga Bermuda, terus terlintas di fikiran.

Atau paling tidak pun, mereka yang meminati muzik, pasti terkenangkan lagu popular Barry Manilow yang bertajuk Bermuda Triangle.

Namun bagi penulis, bukan soal mistik atau misteri Bermuda yang melekat di minda, sebaliknya pengalaman menempuh perjalanan untuk sampai ke pulau yang sungguh indah ini terbukti bukanlah sesuatu yang mudah.

Perjalanan yang dilalui menghampiri 20 jam tanpa mengira waktu transit, tetapi jika dicampurkan waktu menanti transit di Lapangan Terbang Heathrow, London, ia sebenarnya mengambil masa 29 jam kerana hanya ada satu penerbangan ke pulau ini.

Sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Bermuda, sesiapa pun pasti terkejut melihat bangunannya amat jauh ketinggalan zaman serta uzur dan luntur warnanya, namun apa yang dilihat seterusnya boleh menjadi kenangan seumur hidup kerana pulau ini sangat indah.

Tembok yang dibina British pada awal 1800.

Bermuda yang merangkumi sembilan pulau dikelilingi Lautan Atlantik dihasilkan daripada letusan gunung berapi dan percayakah anda, di sebalik keindahan lautan serta daratannya, pulau ini cuma didiami kira-kira 60,000 orang.

Budaya pulau ini, khususnya muzik dan tarian pula sarat dengan pengaruh Afrika berikutan ramai golongan hamba abdi dari benua itu dibawa ke Bermuda yang dikatakan mendapat nama daripada seorang kapten berbangsa Sepanyol, Juan Bermudez.

Bermudez dikatakan menjumpai pulau ini pada 1503 dan pada 1609, Laksamana Sir George Somer berdepan masalah kapal karam berhampiran Bermuda lalu di pulau inilah beliau membina kembali kapal dan cuba untuk menuntut Bermuda yang dimiliki British selain cuba menamakannya sebagai Pulau Somers, tetapi gagal.

Bagi penulis, keunikan di pulau ini jelas terasa sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Bermuda ke ibu kotanya, iaitu Hamilton.

Bandar St George, diiktiraf Bandar Warisan Dunia oleh Unesco.

Ini dari segi barisan rumahnya yang menggunakan bumbung diperbuat daripada ‘limestone’ atau batu kapur berwarna putih untuk menakung laluan air hujan.

Kaedah ini digunakan sejak ratusan tahun lalu kerana masalah air bersih sememangnya menjadi satu masalah utama kepada penduduknya.

Air hujan yang melalui celah bumbung ini dikumpulkan dalam kolam besar yang dibina di bawah tanah setiap rumah yang menjadi usaha mendapatkan sumber bekalan air bersih sepanjang tahun bagi kegunaan harian penduduk Bermuda.

Satu perkara yang menarik tentang Bermuda, tidak ada satu pun bangunan tinggi di pulau ini dan jika ada pun, sebuah bangunan yang kini dalam pembinaan setinggi 10 tingkat di bandar Hamilton yang bakal menjadi bangunan tertinggi di Bermuda.

Jangan lupa melawat Bermuda Aquarium Museum dan zoo yang ditempatkan dalam sebuah bangunan 3 dalam 1, menggabungkan tiga tarikan utama di sini, malah koleksi hidupan laut di akuarium itu sememangnya menakjubkan.

Bersebelahan akuarium, terletak bangunan muzium yang menempatkan fakta asal usul Bermuda yang lebih terperinci dan dipenuhi kemudahan seperti interaksi bersama pengunjung menggunakan teknik robotik, audio visual, skrin sentuhan, kios dan hologram.

Sebuah zoo kecil yang terletak di tepi laut pula menempatkan binatang jinak yang dibiarkan berkeliaran bersama pengunjung.

Bagi penulis, antara keunikan yang harus dikongsi bersama pembaca adalah pantai di Bermuda yang pasirnya berwarna merah jambu, dikatakan terhasil daripada kehancuran hidupan laut ‘foram’ di lautan Bermuda.

Pasir-pasir ini boleh dibawa pulang kerana boleh dibeli pengunjung dalam botol kecil.

Peringatan lain - pastikan melawat Bermuda di musim panas. Ini disebabkan pengalaman melucukan penulis yang menjerit kerana tidak sabar turun ke laut tetapi sebaliknya ditertawakan pengunjung kerana suhu air ketika itu yang dingin.

Hanya selepas itu, penulis menyedari tiada sesiapa pun yang mandi disebabkan suhu airnya itu.

Tarikan lain adalah sebuah pulau menarik dan unik namanya, Nonsuch Island yang memerlukan pengunjung menaiki kapal ke pulau ini yang pada asalnya digunakan sebagai habitat burung.

Namun kini, pulau itu terus dipulihara bagi mengekalkan flora dan faunanya yang dikatakan tidak ada di pulau lain dan semasa menaiki kapal, pengunjung akan berasa kagum kerana pulau ini amat indah sewaktu dilihat daripada lautan.

Awas! ada amaran kepada mereka yang mudah mabuk laut - anda perlu membuat persediaan awal kerana gelombang ombaknya agak mencabar.

Sebagai pulau yang mempunyai hidupan laut yang mungkin tiada di kawasan lain, Bermuda Under Water Exploration Institute (BUEI) menempatkan saintis dari seluruh pelusuk dunia membuat kajian mengenai hidupan dan masa depannya, termasuk menyelamatkan spesis sedia ada daripada pupus.

Salah satu pulau yang popular dan menjadi kunjungan ramai pelancong ialah Bandar St George yang diiktiraf bandar warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2000.

Ia menjadi penempatan awal yang memperlihatkan ‘ketuanan’ British di pulau ini, juga ibu kota lama Bermuda menempatkan bangunan Vermond Bermuda National Craft Museum dibina pada 1710 yang mempamerkan banyak koleksi artifak dunia barat dan China.

Satu lagi keistimewaan Bermuda ialah deretan hotelnya di tepi laut yang banyak bercirikan bangunan lama Inggeris seperti tempat penginapan penulis, Hotel Fairmont Hamilton Princess hingga pekerjanya juga berpakaian bercirikan ketuanan British.

Bagi peminat seni tampak, pastikan mengunjungi Bermuda National Gallery dan Masterworks Museum of Bermuda Art yang menempatkan karya pelukis pulau ini, selain Bermuda Institute of Ocean Sciences dan Bermuda Historical Society Museum.

Jika berkesempatan, Bermuda boleh menjadi destinasi pilihan terutama pasangan yang ingin berbulan madu atau meraikan ulang tahun perkahwinan kerana ia menjanjikan satu percutian yang penuh nostalgia dan mengasyikkan.

sumber : berita harian

GRAND CANYON



Kawasan berbatu berwarna kuning di Grand Canyon jadi destinasi pilihan pencinta sukan lasak

PENGGEMAR aktiviti lasak sememangnya suka mencari kelainan dengan mengembara di segenap pelosok dunia terutama ke bumi yang masih dilatari pepohon hijau atau menjalani rutin lasak di kawasan yang jarang dijejaki manusia.

Grand Canyon, Amerika Syarikat antara destinasi pilihan hebat untuk insan berjiwa kental yang mahu mencari sesuatu di luar kebiasaan.

Apa dipertaruhkan kawasan hutan Arizona yang diisytiharkan sebagai Taman Negara pertama di dunia itu adalah pelbagai aktiviti lasak misalnya mendaki gunung berbatu, melawan arus deras di Sungai Colorado atau eksplorasi ke dunia hidupan liar sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Taman Negara Grand Canyon dinobatkan sebagai Taman Negara genap 90 tahun pada 26 Februari lalu oleh Presiden Amerika, Woodrow Wilson, bertujuan mengekalkan kesinambungan hutan untuk dinikmati generasi akan datang.

Kelebihan Taman Negara Grand Canyon yang turut dipelihara sebagai Tapak Warisan Dunia dikunjungi kira-kira 4.5 juta pengunjung setahun adalah keunikan dan nilai antik yang terdapat pada landskapnya.


Sungai Colorado mengalir tenang di Lembah Grand Canyon yang menyajikan pemandangan indah sukar dinikmati di tempat lain.

Rabung bukit yang kelihatan berceracak dari jauh wujud hasil aliran air dari Sungai Colorado sejak enam juta tahun lalu sehingga membentuk gaung tinggi berwarna kekuningan menyajikan pemandangan yang sungguh mempesonakan.

Menurut maklumat daripada pihak pengurusan Taman Negara Grand Canyon, pembentukan gaung tinggi di kawasan itu bermula di kawasan Barat membawa ke Timur. Kemudian rabung berkenaan berpecah dua hasil aliran air, bergerak dan bergabung di kawasan Barat Grand Canyon yang dikenali sebagai Gerbang Kaibab.

Di tengah antara gaung Grand Canyon berkenaan terhasil batu yang jelas dapat dilihat di tengah kawasan gaung berkenaan dan orang pertama berjaya menyusuri Sungai Colorado menyifatkan gaung itu sebagai ‘daun yang terselit di sebalik helaian buku cerita terhebat’.

Sebelum kedatangan orang Eropah ke kawasan berkenaan, Grand Canyon dihuni Orang Asli Amerika yang banyak meneroka kawasan bergaung dan bergua sekitar hutan berkenaan.

Hingga kini, ada kira-kira 2,000 penghuni asal Taman Negara Grand Canyon yang menghuni kawasan berkenaan secara tidak langsung turut menjadi daya tarikan kepada pengunjung dari luar.

Selain menikmati pemandangan dari South Rim yang berketinggian 2,100 meter dari paras laut, Grand Canyon turut terkenal sebagai destinasi pilihan untuk pencinta aktiviti rakit arus deras (whitewater rafting), mendaki dan larian jarak jauh merentas kawasan berbatu.

Jangan lokek untuk melabur sedikit wang jika mahu menikmati pemandangan dari rabung Selatan kerana di sana, puak Hualapai telah membuka Grand Skywalk Canyon iaitu pelantar daripada cermin telus untuk kemudahan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi dengan lebih dekat.

Tapi jangan berasa ralat kerana di atas pelantar berkenaan, pelancong tidak dibenarkan merakam gambar.

INFO: Grand Canyon

  • Yellowstone adalah kawasan berbatu di Grand Canyon dinamakan berdasarkan fizikalnya yang berbatu dan berwarna kuning.

  • Pengunjung yang ingin memasuki kawasan Taman Negara Grand Canyon perlu memohon permit iaitu permit biasa berharga $AS20, permit tahunan ($AS50) dan permit bermalam ($AS4)

  • Taman Negara Grand Canyon mempunyai 75 spesies haiwan mamalia, 50 spesies reptilia dan 25 jenis spesies ikan selain 300 jenis burung yang jarang dapat dilihat di tempat lain.

  • Pengunjung tidak dibenarkan membawa haiwan peliharaan bersama bagaimanapun orang kurang upaya boleh mendapatkan khidmat haiwan bantuan yang disediakan di pintu masuk taman negara.

  • sumber : berita harian

    KUBUR TERPANJANG DI BUMI


    Tembok Besar China dapat gelaran kerana ketika pembinaannya ramai pekerja terutama petani terkorban

    BANYAK sudah dikisahkan oleh ramai penulis mengenai tempat-tempat menarik di Beijing, China yang menyimpan pelbagai kisah sejarah silam.

    Tembok Besar China sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia sentiasa menggamit dan menarik pelancong ke negara itu yang kini mula muncul sebagai antara kuasa ekonomi dunia.

    Kata orang, tidak lengkap kunjungan ke Beijing jika tidak ke Tembok Besar China. Justeru, ketika membuat liputan acara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyertai sidang kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ketujuh, baru-baru ini, penulis berkesempatan menjejakkan kaki ke Tembok Besar China itu.

    Sebaik tiba, yang terlintas di hati ialah tempat itu amat mengagumkan kerana tembok setegap dan panjang itu dapat dibina merentasi beberapa wilayah negara terbabit mencakupi hutan tebal di puncak pergunungan.

    Akibat kesuntukan masa, penulis menaiki kereta kabel dari kaki pergunungan hingga ke kawasan pintu masuk ke Tembok Besar China di Mutianyu itu.



    Ketika menjejakkan di Tembok Besar China, terbayang bagaimana bongkah batu yang begitu besar dan banyak di susun rapi dalam saiz yang hampir sama bagi membentuk tembok sepanjang 6,700 kilometer (km) itu.

    Indahnya pemandangan dari Tembok Besar itu. Meskipun dalam cuaca yang agak dingin itu, penulis berjalan beberapa ratus meter menikmati keunikan tembok itu.

    Penulis juga saya berkunjung pusat beli-belah untuk membeli ole-ole bagi dijadikan buah tangan apabila pulang nanti.

    Sedikit masa yang terluang hanya mengizinkan penulis ke pusat beli-belah di Silk Street, Chaoyang District yang jauhnya kira-kira satu kilometer dari hotel penginapan. Cuaca sejuk mengizinkan penulis berjalan kaki meskipun pada tengah hari.

    Masalah yang dihadapi di pusat beli-belah ini yang menjual pelbagai barangan daripada pakaian, peralatan sukan, cenderahati, jam, mutiara dan barang elektronik termasuk telefon bimbit dan kamera, ialah tetap sama iaitu masalah bahasa.

    Dengan sebahagian besar jurujual hanya mengetahui beberapa patah perkataan Inggeris, mesin kira menjadi penghubung dalam urusan tawar menawar dan jual beli untuk menyatakan harga yang mahu dijual atau dibeli.

    Saya dimaklumkan penjual meletakkan harga permulaan yang tinggi terhadap semua barangan, dan pembeli harus memulakan proses tawar menawar pada harga 70 peratus lebih kurang daripada yang dinyatakan penjual.

    Umpama ayam dan itik, itulah ibarat pertuturan antara penjual dan pembeli. Jurujualnya juga agak agresif hingga ada yang menarik tangan pengunjung yang mahu beredar dari kedai, untuk memastikan pengunjung berkenaan membeli barangan yang sudah ditawar.

    Apapun, masalah bahasa tidak wajar dijadikan halangan ketika berada di Beijing. Bagi yang mahu berkunjung dan melawat ke pelbagai destinasi menarik di ibu kota China ini, mereka sewajarnya mendapatkan khidmat bantuan penterjemah.

    Jika bernasib baik, boleh mendapatkan khidmat pemandu teksi yang boleh berturut bahasa Inggeris meskipun ini sesuatu yang sukar.

    FAKTA: Tembok Besar China

  • Dikenali kubu China silam yang dibina sekitar 200 Sebelum Masihi (SM)

  • Diperkukuh antara akhir abad ke-14 sehingga permulaan abad ke-17, ketika Dinasti Ming, untuk melindungi China daripada serangan puak Mongol.

  • Panjang tembok kira-kira 6,700 kilometer (km), dari Shanhai Pass sehingga ke Teluk Bohai di sebelah timur yang terletak berhampiran dengan sempadan China dan Manchuria, sehingga Lop Nur di sebelah tenggara wilayah Xinjiang.

  • Sebuah tembok pertahanan dibina di sempadan utara pada dinasti Qin dan dipelihara oleh dinasti-dinasti seterusnya. Lima pembinaan semula utama yang dicatatkan adalah seperti berikut:
  • 208 SM (Dinasti Qin)
  • Abad ke-1 SM (Dinasti Han)
  • Abad ke-7 (Dinasti Sui)
  • 1138 - 1198 (Zaman Lima Dinasti dan 10 Negara)
  • 1368 - 1640 (Dari Maharaja Hongwu sehingga Maharaja Wanli pada Dinasti Ming)

  • Ia digelar 'kubur terpanjang di Bumi' kerana ramai yang mati terutama petani ketika membinanya.

  • Tembok Besar Dinasty Ming bermula di timur dari Kubu Shanhai, dekat Qinhuangdao di Wilayah Hebei

  • Ia melalui 9 wilayah, 100 daerah dan bahagian 500 km terakhir di barat sudah musnah sepenuhnya. Hujung di bahagian baratnya hari ini terletak di tempat bersejarah Jiayuguan (kubu Jiayu) di barat laut wilayah Gansu, pada hujung Jalan Sutera.

  • Kedudukannya kira-kira satu jam perjalanan dari Beijing.

  • sumber : berita harian

    CORDOBA


    Pusat ilmuwan Islam di Sepanyol: Dulunya Masjid Agung kini dikenali Lez Mezquita sudah berubah sebagai bangunan berelemenkan Kristian

    CORDOBA, satu daripada lapan negeri dalam Wilayah Andalusia di selatan Sepanyol atau dirujuk sebagai al-Andalus ketika di bawah penguasaan Islam yang mengembangkan pengaruhnya ke Eropah di bawah pimpinan Panglima Tariq Ibnu Ziyad.

    Bagi umat Islam, pasti berasa sedih apabila melihat bekas masjid yang berubah fungsi menjadi gereja selepas wilayah itu jatuh ke tangan Kristian pimpinan Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabelle.

    Monumen yang pastinya pilu dilihat umat Islam ialah Le Mezquita, bekas masjid agung yang tersergam indah di tebing Sungai Guadalquiver yang merentasi bandarnya, tetapi kini berubah dengan elemen Kristian padanya.

    Masjid berkenaan dibina pada zaman Khalifah Abdul Rahman II dan diteruskan oleh anak cucu baginda selama hampir dua abad sehingga siap seperti sekarang, indah dengan struktur dan seni bina hasil inspirasi arkitek Islam pada zaman itu.

    Di dalamnya, ada puluhan atau ratusan tiang bermotif pohon palma yang dicat warna tanah dan merah muda seperti barisan jemaah sedang bersiap untuk bersolat.

    Kota lama Cordoba menyimpan sejarah keagungan Islam.

    Cordoba menempatkan banyak tinggalan seni bina menarik yang dibina ketika ia menjadi ibu kota di bawah pemerintahan khalifah Islam yang memerintah hampir seluruh Semenanjung Iberia.

    Ia pernah dijajah Empayar Rom pada 412 Masihi tetapi berkembang ketika di bawah pemerintahan Bani Umaiyah sehingga menjadi pusat keilmuan dan kesenian Islam sebelum dijajah kerajaan Kristian Aragon dan Castile pada abad ke-15.

    Cordoba mencapai zaman kegemilangannya ketika pemerintahan Abdul Rahman III, menjadi kota terbesar dalam Empayar Islam dan Eropah sehingga mengalahkan Byzantium dan Baghdad, terutama dalam bidang sains, kebudayaan dan kesenian.

    Ia menjadi pusat ilmu yang begitu pesat dan melahirkan ilmuwan terkemuka Islam seperti Ibn Rushd dan Imam Qurtubhi.

    Taman Alcazar berlatar belakang bangunan silam.

    Melangkah masuk ke kawasan Le Mezquita, terserlah kehebatan seni binanya dengan halaman luas menempatkan landskap amat menarik serta kolam memancutkan air segar yang menenangkan jiwa.

    Mengunjungi Cordoba, memori boleh mengimbau lebih 2,000 tahun lalu ke zaman pemerintahan Rom melalui peninggalan seperti Jambatan Roman, selain rasa bangga membayangkan zaman keagungan Islam ketika itu.

    Antara arkeologi tinggalan Islam paling berharga ialah bekas kota lama Medina Azahara, terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar yang dibina antara 936 Sebelum Masihi (SM) hingga 940 SM dan bertahan 80 tahun sebelum kejatuhan Kerajaan Umaiyah.

    Turut menjadi tumpuan ialah Taman Alcazar yang memaparkan keindahan hortikultur Arab, manakala bagi yang gemar membeli belah, pelbagai barangan terutama produk kulit dan perak yang terkenal di Cordoba dijual pada harga amat berpatutan.

    Banyak lagi produk pelancongan menarik menunggu di negeri yang indah ini, tetapi bagi umat Islam, melangkah meninggalkan Cordoba pasti diiringi emosi yang amat mendalam.

    FAKTA: Cordoba

  • Juga dipanggil Cordova atau Qurtubah

  • Terletak di sebelah Sungai Guadalquivir

  • Bandar raya kedua terbesar di dunia pada abad ke-10 selepas Byzantium

  • Mempunyai lebih 320,000 penduduk.

  • sumber : berita harian

    PAHALA TAAT KEPADA IBU BAPA MELEBIHI JIHAD FISABILILLAH

    RAMAI anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah S.A.W yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua.
    Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu." (Surah Al-Isra' ayat 23)

    Rasulullah S.A.W lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud: Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

    Semua anak mengaku mereka sudah memenuhi hak kedua ibu bapanya walaupun hati tak merindu, jauh sekali khuatir, sedih dan pilu mengenang keuzuran kedua orang, pemegang kunci syurga mereka di akhirat nanti. Bahkan anak dunia itu seolah-olah tidak mahukan akhirat.

    Lantas mereka lalai dan lupa akibat mengejar cita-cita dunia sehingga tak tersisa sedikit pun ruang untuk ayah dan ibu di dalam hati. Hati yang sentiasa sibuk, memberi kesan pada wajah mereka yang kian suram apabila berdepan dengan ayah dan ibu. Mereka lebih rela menjadi tanda-tanda dekatnya kiamat dengan berlaku derhaka daripada harus menanggung beban hidup bersama orang tua.

    Pelbagai alasan dicipta untuk menghalalkan keuzuran mereka daripada menjaga ibu bapa, tetapi di sudut hati nurani anak-anak manusia siapakah kiranya yang boleh melepaskan diri daripada kenangan kasih sayang ibu bapa ketika kecilnya.

    Mereka juga berselindung di sebalik amal soleh yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai.
    Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud beliau berkata: "Saya bertanya kepada Nabi S.A.W. "Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah S.W.T? Baginda bersabda: Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjihad di jalan Allah." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan. Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah S.W.T.

    Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang.

    Bukan hanya ibu bapa yang terguris hati, Rasulullah S.A.W pun pernah menitiskan air mata mendengar pengaduan seorang lelaki tua mengenai anaknya yang menderhaka. "Wahai Rasulullah, anakku telah aku didik tetapi setelah dewasa dia menzalimiku. Lelaki itu kemudian menyatakan kesedihannya dengan untaian syair yang memilukan:

    "Ketika engkau masih kecil, tangan ini yang memberimu makan.

    "Engkau minum juga aku yang tuangkan. Apabila dirimu sakit, aku berjaga semalaman.

    "Kerana sakitmu itu aku mengeluh kerisauan. Tetapi, di saat engkau dewasa dan mencapai tujuan.

    "Kulihat pada dirimu apa yang tak ku harapkan. Kau balas aku dengan kekasaran.

    "Seakan-akan nikmat dan anugerah engkau yang berikan."

    Mendengar bait-bait syair lelaki tua itu, berlinanganlah air mata Rasulullah S.A.W seraya bersabda yang bermaksud: Kamu dan hartamu milik ayahmu." (Ditakhrij oleh Ibnu Majah 2357, Imam Ahmad dalam al-Musnad 6883, Ibnu Hibban dalam sahihnya 409, 4182. Al-Baihaqi dalam al-Sunan 16054)

    Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah S.W.T.

    Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu bapa. Anak yang soleh dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga.

    Namun tidak dinafi juga kepentingan hadiah sebagai pengikat jiwa. Sikap mementingkan diri sehingga membiarkan ibu bapa hidup susah di sebalik kemewahan seorang anak sememangnya menunjukkan sifat tidak mengenang budi. Jika boleh dihitung berapa juta ringgit yang mesti dibayar, sudah tentu jasa ibu bapa tak akan terbayar dengan sebarang jenis mata wang pun di dunia ini.

    Penulis ialah Mufti Perlis

    sumber : berita harian

    DISEKAT MASUK KELAS ?

    murid-murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang terpaksa belajar di padang perhimpunan sekolah di Klang, semalam.

    KLANG 27 Julai - Seramai 58 murid- murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang di sini terpaksa belajar di bawah matahari terik apabila disekat daripada memasuki kelas di surau berhampiran kawasan itu pagi ini.
     
    Keadaan itu berlaku apabila jawatankuasa penduduk kawasan tersebut mengarahkan agar Surau Assaudin tempat mereka belajar dikosongkan atas alasan mahu mengaktifkan kembali jemaah di situ.

    Hampir dua tahun lalu, surau tersebut dijadikan kelas KAFA sementara menunggu bangunan dua kelas yang dibina oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerima Sijil Layak Menduduki (CF) daripada pihak berkuasa tempatan.

    Wakil ibu bapa, Azman Hashim melahirkan rasa kesal dengan tindakan jawatankuasa tersebut lebih-lebih lagi dengan alasan yang dilihat sengaja diada-adakan.

    Jelas beliau, JAIS memang sudah mengarahkan surau itu ditutup kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan masjid baru yang dibina di kawasan tersebut.

    ''Atas alasan itu jugalah JAIS membenarkan surau berkenaan digunakan oleh murid KAFA sehingga bangunan baru dapat digunakan.

    ''Dalam mesyuarat bersama jawatankuasa baru-baru ini, saya telah minta menangguhkan dahulu pengambilalihan surau kerana bangunan baru KAFA masih belum dapat diduduki tetapi mereka tetap berkeras dengan keputusan sedemikian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

    Tambah Azman, ekoran keputusan itu, pihaknya terpaksa mengeluarkan segala peralatan pembelajaran termasuk kerusi dan meja ke padang perhimpunan dan kantin KAFA bagi membolehkan dua sesi kelas diteruskan iaitu pukul 7.30 pagi dan 2 petang.

    Malah, murid juga dilihat terpaksa duduk di kawasan lapang bertar serta berbumbungkan langit ketika menikmati makanan sewaktu rehat sesi pagi ini.

    Sementara itu, bapa pelajar, Nordin Husman memberitahu, jawatankuasa penduduk tidak seharusnya mengambil keputusan sedemikian yang disifatkan tidak mengambil kira kepentingan murid.

    ''Saya ada dua orang anak belajar di sini, bangunan kelas baru belum siap tiba-tiba mereka mahu mengambil alih surau yang menjadi kelas sementara.

    ''Sepatutnya mereka bersabar, beri tempoh sehingga bangunan baru itu siap sepenuhnya baru boleh hendak ambil alih atau sebagainya. Ini tidak, sehingga anak- anak kita terpaksa belajar di luar hari ini," ujarnya.

    Dalam pada itu, Pengarah JAIS, Datuk Muhammed Khusrin Munawi ketika dihubungi di sini memberitahu, pihaknya akan menghantar wakil bagi membincangkan perkara itu dengan jawatankuasa penduduk kawasan berkenaan.

    Katanya, keadaan sedemikian tidak seharusnya timbul kerana JAIS sebelum ini telah membenarkan surau itu digunakan sebagai kelas sementara untuk murid KAFA bukannya bagi tujuan lain termasuk kegunaan para jemaah.

    ''Saya tidak faham dengan masyarakat Islam hari ini kerana bertindak tanpa bertimbang rasa. Saya tidak menjangka jawatankuasa penduduk mahu surau itu dikosongkan kerana ada di antara murid-murid itu anak mereka juga," ujarnya.

    sumber : utusan malaysia

    Monday, July 27, 2009

    RAMBUTAN

    Rambutan (nama botani: Nephelium Lappaceum L.) adalah sejenis pokok buah saka. Rambutan berasal dari selatan China, Vietnam, Laos , Kemboja, Thailand, Myanmar, Malaysia, Indonesia dan Sri Lanka. Ia kini banyak ditanam di Asia Tenggara dan sedikit di Sri Lanka, New Guinea, Australia, Amerika dan Afrika.

    Pembiakan

    Pokok rambutan boleh ditanam melalui biji benih ataupun melalui cantuman. Biji benih rambutan adalah jenis rekalsitran. Biji benih rambutan boleh disemai di dalam kotak semaian dan hendaklah dipindahkan ke dalam polibeg berukuran 20 x 25 cm apabila mencapai ketinggian lebih kurang 30 cm. Biji benih juga boleh disemai terus ke dalam polibeg. Rambutan juga biasanya dibiak dengan cara cantuman. Cantuman mata tunas sebaik-baiknya dilakukan apabila saiz pokok penanti sebesar batang pensil dan telah mengeluarkan daun baru.

    Penanaman

    Lubang penanaman berukuran 60 x 60 x 60 cm perlu disediakan dengan jarak 10 m dalam sistem penanaman tiga atau empat segi sama. Tanah atas yang dicampur dengan 10 -15 kg baja organik dan 0.5 kg baja fosfat hendaklah digunakan sebagai baja asas.

    Tempoh di permulaan musim hujan adalah paling sesuai untuk memulakan kerja penanaman di ladang. Anak pokok yang baru ditanam hendaklah dilindung dengan struktur pelindung seperti pelepah daun kelapa. Penyungkupan adalah digalakkan bagi tujuan memulihara kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

    Penyelenggaraan tanaman

    Pemangkasan hendaklah dilakukan bagi menyelenggarakan keutuhan pokok dan membentuk kanopi serta meningkatkan pengeluaran buah. Pemangkasan secara sistem buka tengah hendaklah dilaksanakan dengan menyingkirkan cabang atau tunas-tunas air daripada pokok. Bahagian dahan yang dicantas hendaklah segera dirawat dengan bahan perawat pokok ('tree dressing').

    Merumpai boleh dilakukan secara manual, kimia atau mekanikal. Pengawalan rumpai secara mekanikal dengan menggunakan traktor boleh menjimatkan tenaga pekerja. Penyemburan racun kimia untuk lalang dan rumpai lain bolehlah dilakukan dengan menggunakan glyphosate atau paraquat.

    Pembajaan

    Pembajaan boleh dilakukan secara tabur rata atau ditanam dalam bentuk poket di sekeliling pokok pada hujung kanopi. Pembajaan yang seimbang dan tetap akan menjamin pertumbuhan sihat dan penghasilan tinggi di peringkat kematangan pokok.

    Pengurusan perosak

    Tanaman rambutan umumnya bebas daripada perosak dan penyakit utama. Penyakit kulapuk walaupun tidak serius tetapi kadang-kadang boleh menyerang bahagian dahan dan ranting. Cara kawalan penyakit ini ialah dengan semburan racun kulat Benomyl.

    Pengurusan hasil

    Pokok rambutan boleh mengeluarkan hasil selewat-lewatnya tiga tahun selepas ditanam ke ladang. Buah rambutan mengambil masa 90-120 hari untuk matang. Perubahan warna daripada hijau kepada kuning atau merah merupakan petunjuk bahawa buah boleh dituai. Bergantung kepada klon buah rambutan, hasil semusim ialah di antara 80 – 200 kg/sepokok. Buah-buah yang dituai hendaklah dimasukkan ke dalam bakul dan dielakkan daripada dipadatkan antara satu sama lain. Penyimpanan buah yang padat akan menyebabkan buah khususnya bahagian bulu-bulu lebih cepat rosak dan berwarna kehitaman`.



    Buah rambutan.
    Jenis-jenis rambutan
    1. Rambutan budak sekolah
    2. Rambutan gula batu
    3. Rambutan kawin
    sumber : wikipedia

    PULASAN

    Buah Pulasan atau nama sainsnya Nephelium mutabile adalah sejenis buah yang menyerupai bentuk dan rasa seperti buah rambutan. Tetapi biji buah pulasan adalah lebih keras, dan isinya agak kering dan kasar berbanding buah rambutan.

    Ciri-ciri

    Buah pulasan diselitupi bulu yang lebih keras berbanding rambutan. Di Filipina ia dikenali sebagai bulala. Buah Pulasan dimakan begitu sahaja, ia sesedap rambutan dan laici, tetapi amat jarang dijumpai diluar Asia Tenggara.
    Pokok Pulasan

    Pokok pulasan agak menarik dan sering ditanam sebagai pokok hiasan. Ia mencapai ketinggian 10-15 m; mempunyai batang yang halus 30-40 cm; dan dahan yang berbulu keperangan semasa muda. Mempunyai daun berselang, pinnate atau pinnate-ganjil, dengan sepanjang 17-45 cm, mempunyai 2 hingga 5 pasang daun kecil bersetentangan atau hampir bersetentangan, bujur atau menirus (oblong-or elliptic-lanceolate), sepanjang 6.25-17.5 cm dan sehingga 5 cm lebar; agak beralun, hijau gelap dan hampir tidak berkilat pada permukaan atas; pucat, agak kebiruan, dengan bulu halus pendek jarang di bahagian bawah. Mempunyai bunga yang agak kecil, tanpa kelopak dengan 4-5 sepal berambut, secara tunggal atau bergugus pada hujung dahan utama atau dahan kecil, dipenuhi bulu halus kuning atau keperangan.

    sumber : wikipedia

    BAHU BEKU

    Menurut Perunding Fisioterapi di Pusat Perubatan Pakar Alpha, Kota Damansara, Kuala Lumpur, Siti Farah Aini Jamaludin, pesakit yang mengalami bahu beku atau frozen shoulder akan berasa lenguh pada bahagian bahu, pangkal tengkuk, kebas lengan dan tangan serta tidak kuat untuk memegang barang.

    “Bahu beku terjadi apabila kapsul sendi bahu menjadi tebal disebabkan oleh proses inflamasi di dalam sendi bahu glenohumeral.

    “Ini menyebabkan sendi bahu yang disokong sendi glenohumeral tidak dapat digerakkan sepenuhnya ke semua arah,” ujarnya.

    Tambah Siti Farah, masalah bahu beku selalunya berlaku di sebelah bahu sahaja pada satu-satu masa.

    Namun, faktor masa dan kecederaan lain mungkin menyebabkan sesetengah pesakit menderita sakit di kedua-dua belah bahu.

    Radang dalam sendi menyebabkan kapsul sendi yang longgar menjadi ketat kerana terlekat antara satu sama lain. Ruang sendi bahu semakin mengecil, kapsul melekat dan ligamen mengetat pada kedudukan rehat. Keadaan ini mengehadkan keupayaan bahu untuk bergerak dan menyebabkan bahu membeku. Sindrom bahu beku juga berpotensi terjadi apabila seseorang tidak menggunakan bahunya yang sakit atau menggunakannya sekali-sekala sahaja.

    “Apabila digerakkan, pesakit akan berasa sakit. Jadi, mereka lebih selesa menggunakan tangan yang sebelah lagi. Oleh kerana lama tidak digunakan, ia boleh menyebabkan keradangan.

    “Sekiranya seseorang mendapat kecederaan seperti patah tangan atau menjalani pembedahan tetapi tidak menggerakkan tangan seperti yang diarahkan doktor, keadaan bahu beku juga boleh terjadi,” kata Siti Farah.

    Menurut kajian pakar ortopedik, pesakit kencing manis mempunyai risiko sehingga empat kali ganda mengalami sindrom bahu beku berbanding individu biasa. Malah ia juga lebih sukar untuk sembuh.

    Di Malaysia, kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada penduduknya menderita masalah bahu beku.

    “Faktor lain bahu beku termasuklah usia iaitu berumur 40 tahun ke atas, penyakit sistematik seperti tiroid, kardiovaskular dan Parkinson.

    “Walaupun begitu, penyakit bahu beku boleh pulih sendiri selepas mengalami kesakitan dalam jangka masa panjang.

    “Untuk rawatan yang lebih berkesan, pesakit boleh mendapatkan terapi fizikal seperti regangan dan senaman tetapi dengan syarat ia dilakukan pada peringkat awal lagi,” ujar Siti Farah

    sumber : kosmo

    ORANG YANG TIDAK MELAKUKAN SOLAT

    Subuh: Dijauhkan cahaya muka yang bersinar.

    Zuhur: Tidak diberikan berkat dalam rezekinya.

    Asar: Dijauhkan dari kesihatan atau kekuatan.

    Maghrib: Tidak dihormati oleh anak-anaknya.

    Isya: Dijauhkan kedamaian dalam tidurnya.

    sumber : rakan

    KAWASAN AIS HILANG!!!

    GAMBAR ini menunjukkan sejumlah ais berada (berwarna putih) di Laut Chukchi dekat Pelabuhan Barrow, Alaska (kiri) pada Julai 2006 tetapi situasi berubah pada Julai 2007 (kanan) apabila ais itu cair dan hilang.


    WASHINGTON - Gambar yang baru ditarik balik daripada kategori rahsia menunjukkan kesan teruk akibat pemanasan cuaca global di Alaska, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

    Imej satelit itu yang disiarkan pada minggu lalu oleh tentera AS menunjukkan sejumlah kawasan ais hilang di Laut Chukchi.

    Gambar itu sebelum ini disimpan dan tidak didedahkan kepada orang ramai ketika AS ditadbir oleh Presiden George W. Bush.

    Bagaimanapun, gambar itu dikategorikan tidak lagi menjadi rahsia beberapa bulan selepas Barack Obama menggantikan Bush.

    Gambar itu merupakan amaran keras bahawa pemanasan global berjaya mengubah rupa bentuk di kawasan Artik.

    Lebih satu juta kilometer ais cair pada musim panas 2007.

    Gambar yang dirakamkan pada Julai 2006 menunjukkan sebuah kawasan ais yang besar dekat Pelabuhan Barrow di Alaska.

    Bagaimanapun, setahun kemudian, kawasan yang diliputi ais itu hilang kerana cair disebabkan cuaca panas.

    "Ia merupakan gambar yang jelas menunjukkan situasi musim panas di Artik," kata seorang pegawai di Pusat Angkasa Lepas Goddard, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Thorsten Markus.

    "Situasi itu menjadi punca kenapa kami berasa amat bimbang," jelasnya.

    Menurut beberapa saintis, kecairan ais itu mengundang bahaya. Sejumlah besar haiwan bergantung pada ais itu seperti beruang kutub dan singa laut untuk hidup. Obama kini mendesak Kongres AS supaya mengambil tindakan bagi menangani isu pemanasan global. Ais itu menjadi penting kerana tanpanya, kawasan laut di Artik akan menjadi panas. Isu pemanasan global menjadi perhatian utama pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin terhadap alam sekitar di Barat. - Agensi

    sumber : kosmo

    FENOMENA GERHANA

    DUA pemandangan berbeza di banda raya Beijing pada pukul 9.36 pagi akibat fenomena gerhana.

    SELALUNYA fenomena gerhana matahari tidaklah mendapat perhatian ramai kerana ia sering berlaku sekurang-kurangnya pada kitaran setiap 18 bulan sekali.

    Namun fenomena tersebut yang berlaku pada Rabu lepas disifatkan luar biasa kerana tempohnya yang panjang iaitu selama enam minit 39 saat di mana matahari terlindung sepenuhnya di sebalik bulan.

    Sebahagian penduduk Asia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari yang paling lama bagi abad ke-21 yang merentasi India dan China bermula dari Mumbai ke Shanghai serta di beberapa kawasan di utara Malaysia.

    Terdapat dua sebab kenapa peristiwa fenomena ini mendapat perhatian dari orang ramai. Pertama adalah kerana tempoh masa gerhana matahari kali ini merupakan yang terlama pernah berlaku. Maka kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh manusia kerana ia hanya dapat dilihat sekali seumur hidup (jika mengambil kira tempoh hayat manusia kurang dari 100 tahun).

    Kedua ia berkait rapat dengan keinginan mengkaji manusia terutama bagi para saintis. Momentum gerhana matahari ini dapat dijadikan sumber data bagi membongkar rahsia matahari, terutama struktur, ledakan, suhu serta fenomena matahari.

    Fenomena ini telah digembar-gemburkan ke seluruh dunia, yang jarang dapat dilihat dalam seumur hidup kerana ia tempoh paling lama merentasi di beberapa kawasan berpenghuni di bumi dan menjadi gerhana bersejarah yang bakal disaksikan oleh jutaan orang.

    "Ia merupakan peristiwa terpenting yang pernah berlaku di sini. Tiada seorang pun dari kami dapat hidup lebih lama untuk melihat peristiwa itu berulang lagi," kata pengurus agensi pakar pelancongan Eclipse City yang berpusat di Jerman, Federico Borgmeyer.
     
    Raksasa

    Sebelum kejadian itu berlaku akhbar utama dan ahli astrofizik Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan tarikh 22 Julai akan berlaku sebuah fenomena raksasa.

    Menurut pakar gerhana, Fred Espenak, jumlah sinaran suria akan menjadi berkurangan apabila bulan berada di antara bumi dan matahari dan telah mengaburkan pancaran sepenuhnya.

    Masa maksimum gerhana itu berlaku adalah selama enam minit dan 39 saat. Peristiwa ini hanya akan berlaku lagi mungkin pada tahun 2132.

    Jarak 'laluan keseluruhan' fenomena itu meliputi sehingga 258 kilometer dan penduduk Gujarat di barat India menjadi orang yang pertama dapat menyaksikan gerhana dalam masa singkat sebelum pukul 6.30 pagi (9.00 pagi waktu Malaysia).

    Fenomena gerhana yang menyebabkan keadaan gelap kemudiannya merentasi India, meliputi sungai Gangga, kota suci Varanasi yang berada di antara utara dan selatan Bangladesh dan Nepal sebelum mengelapkan kebanyakan tempat di Bhutan, melalui tanah besar China dan kemudian melepasi laut di Shanghai.

    Fenomena gerhana itu turut melanda selatan pulau Ryuku, Jepun selepas membelok di tenggara melalui Lautan Pasifik di mana ia akan berada di sana dalam tempoh yang maksimum.

    Bagi kawasan-kawasan yang berada di laluannya, ia akan disinari matahari sebanyak dua kali pada awal pagi kerana bulan melindungi lebih rendah ketika itu dan kemudian perlahan-lahan menyinari bumi sekali lagi.

    Sebanyak 50 peratus atau lebih bagi anggaran dua bilion penduduk yang diliputi sinaran gerhana itu, bermula dari kawasan penggaraman para pe tani di Gujarat hingga ke kawasan gembala Tibet di kaki bukit Banjaran Himalaya.

    Peluang yang datang sekali seumur hidup itu turut menjadi gerhana paling banyak disaksikan dalam sejarah disebabkan laluannya yang meliputi kawasan paling padat dengan penduduk di muka bumi.

    Di Malaysia fenomena gerhana turut dapat disaksikan oleh rakyat negara ini terutama di negeri-negeri utara tanah air. Bagaimanapun penduduk hanya dapat menyaksikan kejadian gerhana matahari dalam bentuk separa dan bukannya gelap secara keseluruhan. Bagi penduduk di Alor Setar fenomena ini berlaku bermula pada pukul 8.45 pagi.

    Ini dapat disaksikan apabila kawasan permukaan matahari ditutupi oleh bulan semasa berlakunya aktiviti gerhana separa.

    Sebelum fenomena ini berlaku cuaca di bandar raya itu kelihatan agak mendung dan selepas aktiviti gerhana berlangsung cuaca bertukar menjadi panas dan mendung semula sebelum hujan melanda pada pukul 11 pagi.

    Namun hujan yang melanda bandar itu disahkan tidak mempunyai kaitan dengan fenomena matahari gerhana oleh Jabatan Meteorologi dan ia hanyalah hujan biasa.

    Menariknya gerhana matahari ini bukan sahaja telah menjerumuskan berjuta-juta penduduk di serata Asia ke dalam kegelapan tetapi ia turut mencetuskan suasana keagamaan, ketakutan mahupun keterujaan di seluruh dunia terutama di India dan China.

    Para penganut Hindu memenuhi kuil-kuil utama di India sejak awal pagi lagi bagi menjalankan tanggungjawabnya sempena fenomena gerhana itu. Namun di sebalik semua keghairahan ini ia turut mencatat sejarah hitam apabila dilaporkan berlaku kejadian tidak diingini semasa gerhana itu berlangsung.

    Seorang wanita terbunuh dalam kejadian rempuhan di kota suci Hindu, Varanasi di mana puluhan ribu penganut agama itu berhimpun di tebing Sungai Gangga sejak subuh lagi.

    Polis berkata, wanita berusia 80 tahun itu pitam semasa pengunjung berasak-asak untuk memasuki sebuah kuil dekat tebing sungai tersebut, kemudian meninggal dunia akibat sesak nafas.

    Kejadian itu mencetuskan panik yang turut menyebabkan lebih 20 orang lain cedera.

    Dalam pada itu stesen rasmi China, Central Television membuat liputan secara langsung tentang peristiwa yang dipaparkan sebagai 'Gerhana Matahari Sungai Yangtze' kerana laluan fenomena itu meliputi lembangan saliran sungai tersebut.

    Penduduk di Shanghai tidak mempedulikan hujan dan cuaca mendung untuk menyaksikan gerhana itu apabila kegelapan mula menyelubungi pusat perdagangan China tersebut pada 9.36 pagi (waktu sama di Malaysia).

    "Sekarang waktu kerja, tetapi kami tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan pemandangan yang begitu menakjubkan. Pengalaman ini sungguh menyeronokkan," kata seorang pekerja di Shanghai, Allen Chen yang keluar ke jalan raya untuk menyaksikan peristiwa itu.

    sumber : utusan malaysia

    TEMUDUGA

    SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN
    KEKOSONGAN JAWATAN:

    A. Ahli Syurga Dari Awal.
    B. Ahli Neraka Dari Awal.
    C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

    EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):

    1. Nikmat kubur.
    2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
    3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
    4. Syurga yang kekal abadi.

    TARIKH TEMUDUGA:
    Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

    LOKASI TEMUDUGA:

    Di dalam kubur (alam barzakh).

    KELAYAKAN:
    Anda tidak perlu bawa sijil-
    sijil, termasuk sijil saham termasuk saham Internet. Anda tidak perlu bawa pingat, Mercedes mata belalang atau kad kredit. Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul. Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
    Sila bawa dokumen asal iaitu : Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.

    PANEL/PENEMUDUGA:

    Munkar dan Nakir.

    ENAM SOALAN BOCOR:

    1. Siapa Tuhan anda?
    2. Apa Agama anda?
    3. Siapa Nabi anda?
    4. Apa Kitab anda?
    5. Di mana Kiblat anda?
    6. Siapa Saudara anda?

    CARA MEMOHON:

    Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.

    TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

    Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini: Sabda Rasulullah S.A.W:

    "Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekahjariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya.

    Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah kesebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : di bahagianku tidak ada jalan masuk.

    Maka malaikat berkata kepadanya : Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang.

    Maka berkata malaikat : Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang lelaki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepada nya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah! Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad S.A.W itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah S.W.T

    Maka malaikat berkata kepada mayat itu : Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya".

    sumber : rakan

    TAIPEI 101

    MAJALAH Newsweek menggelarnya satu daripada Tujuh Keajaiban Terbaru Dunia. Discovery Channel pula mengiktirafnya sebagai antara Tujuh Keajaiban Kejuruteraan.

    Mengapakah bangunan tertinggi dunia, Taipei 101 digelar sedemikian? Sedangkan secara umumnya, bangunan pencakar langit sememangnya perlu dilengkapi ciri-ciri kritikal bagi menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk ancaman cuaca seperti angin kencang, taufan juga gempa bumi.

    Ketinggian luar biasa mercu tanda Taiwan yang mencecah 509.2 m (secara rasminya 508 m) digabungkan dengan unsur persekitaran dan ancaman cuaca. Ia memerlukan inisiatif rekaan, teknologi dan inovasi tercanggih, setimpal dengan kemajuan teknologi dan kehebatan skala projek gergasi itu.

    Maka pada sekitar 1998, para perancang projek berkenaan mula merangka pelan membina struktur yang mampu menahan angin kencang selaju 216 kilometer sejam (km/j) mahupun gempa bumi terkuat yang mungkin berlaku dalam tempoh 2,500 tahun lagi.

    Bagaimanapun, struktur Taipei 101 yang merampas 'takhta' bangunan tertinggi dunia daripada Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur itu pernah berdepan ujian yang cukup getir sewaktu kerja-kerja pembinaannya masih giat dilaksanakan.

    Tanggal 31 Mac 2002, gempa bumi sekuat 6.8 pada skala Richter menggegarkan bandar Taipei dan bangunan sekitarnya bergoncang bagai kotak-kotak kosong.

    Meragut nyawa

    Impak gegarannya terlalu kuat sehingga dua buah kren terjatuh dari tingkat 56 (ketika itu tingkat tertinggi) dan meragut nyawa lima pekerja dalam insiden tersebut.

    Namun pemeriksaan susulan tidak lama selepas itu mendapati tidak ada sebarang kerosakan struktur pada bangunan dan kerja pembinaan diteruskan kembali seperti biasa.

    Meskipun dibuka kepada umum pada 31 Disember 2004, puncak menara Taipei 101 sebenarnya telah mencecah ketinggian penuh pada 9 Oktober 2003.

    Bagaimanapun rekod itu berjaya diatasi oleh Burj Al-Arab sebaik tingkat 141 bangunan tersebut siap dibina pada 21 Julai 2007.

    Namun sehingga artikel ini ditulis (Julai 2009), gelaran 'bangunan tertinggi dunia' masih dipegang Taipei 101. Burj Al-Arab, Dubai dijangka hanya menerima gelaran itu sebaik ia siap sepenuhnya September ini.

    Persoalannya, bagaimanakah struktur yang pada masa ini dikatakan bangunan beroperasi penuh tertinggi di muka bumi, setinggi 101 tingkat dan sering berdepan risiko bencana alam ini dijamin keteguhannya?

    Lebih-lebih lagi apabila kerap dilanda badai taufan maksimum selaju 60 batu sesaat (197 kaki sesaat atau 216 kilometer sejam) yang menyamai kekuatan taufan kategori 4. Atau adakah ia mampu menghadapi taufan kategori lebih buruk mahupun gempa bumi yang pernah melanda Taipei sebelum ini?

    Ketika melihat sendiri mercu tanda Taipei yang berdiri megah di daerah Xinyi itu, rombongan penulis disambut dengan patung-patung maskot berkepala dan badan bulat.
    "Mungkin ikon kartun kegemaran Taiwan agaknya," kami berfikir-fikir sendiri.

    Rupa-rupanya, maskot comel berwarna kuning dengan belang hitam (seperti lebah) dengan mata berbentuk segi empat tepat menegak dan mulut hitam bulat dikenali sebagai Damper Baby itu melambangkan teknologi sistem peredam jisim setala (tuned mass damper) terbesar di dunia.

    Dipanggil Super Big Wind Damper, peredam seberat 900 tan yang bertujuan menangkis gegaran akibat gempa bumi dan pergerakan bangunan akibat taufan itu boleh dilihat sendiri oleh para pengunjung dari aras restoran dan dek pemerhatian di tingkat 88.

    Dicipta oleh Thornton-Tomasetti Engineers dengan kerjasama Evergreen Consulting Engineering, ia terdiri daripada sfera gergasi menyerupai batu ladung (pendulum) seberat 660 tan metrik, dibina dengan anggaran kos NT$132 juta (RM14.3 juta).

    Tergantung dari tingkat 92 ke 88, batu ladung gergasi itu dikawal menggunakan sistem sokongan bampar untuk menyerap pergerakan sama ada secara bergoyang (sway) atau berpusing yang boleh mengakibatkan tingkat atas bangunan tersebut bergerak secara berbahaya.

    Sfera yang merupakan peredam berbentuk sfera terbesar di dunia, terdiri daripada 14 plat besi bulat - setiap satunya setinggi 125 milimeter (mm), dikimpal bersama untuk membentuk sfera berdiameter 5.5 meter.

    Dua lagi tuned mass dampers setiap satunya seberat 6 tan metrik diletakkan pada puncak menara. Ini mampu mengelak kerosakan struktur akibat bebanan tiupan angin kencang.

    Struktur gagah, fleksibel

    Seperti namanya, struktur pencakar langit setinggi 101 tingkat dan lima aras bawah tanah itu banyak menggabungkan gaya pasca-moden yang merangkumi elemen reka bentuk Asia di samping aspek seni bina moden antarabangsa.

    Reka bentuknya seakan-akan pagoda tradisional China dengan podium tinggi sebagai asas, menjulang lapan tingkat, lapan aras bangunan (nombor yang sinonim dengan pertumbuhan makmur) dengan mercu menara yang runcing dan puncaknya.

    Dinding kaca biru-hijaunya yang boleh dilihat dari jauh pula disadur dua kali ganda, menawarkan perlindungan terhadap cuaca panas dan sinar ultra ungu (UV) serta mampu menahan impak sekuat tujuh tan metrik.

    Keunikan reka bentuk struktur bangunan itu diilhamkan oleh arkitek tempatan, C.Y. Lee & Partners yang bukan sekadar indah dipandang malah berjaya mencapai sasaran kegagahan dan fleksibiliti melalui pengunaan binaan besi keluli berkuasa tinggi.

    Sebanyak 36 tiang menjadi penyokong Taipei 101, termasuk lapan tiang mega dipadatkan dengan konkrit padu (10,000 psi).

    Kombinasi ciri-ciri keselamatan dan kekukuhan asasnya menjadikan bangunan tersebut sebagai antara yang paling stabil pernah dibina oleh manusia.

    Substruktur Taipei 101 juga diperkukuhkan dengan 380 cerucuk ditanam sedalam 80 meter ke dalam tanah, meliputi sejauh 30 meter ke batuan dasar.

    Lif terpantas dunia

    Taipei 101 merupakan struktur yang digunakan untuk pelbagai tujuan. Seperti premis jualan di tingkat satu hingga empat, pusat kesihatan di tingkat lima dan enam; pejabat (tingkat tujuh hingga 84), restoran (86 - 88), dek pemerhatian (89, 91 dan 101) dan kemudahan komunikasi (92 - 100).

    Bagi memudahkan pergerakan para pengunjung dan komuniti pekerja di bangunan tersebut, sebanyak 61 buah lif termasuk lif dua tingkat.

    Tetapi pada 15 Disember 2004, Toshiba Elevator & Building Systems Corp., memasang dua buah lif berkelajuan tinggi yang mampu bergerak sepantas 1,010 meter seminit pada kelajuan maksimum. Ini bermakna, ia mampu membawa penumpang dari Tingkat B1 ke 89 hanya dalam tempoh 39 saat.
    Lif berkenaan juga bergerak selaju 600 meter seminit dalam perjalanan turun (60.6 km/sj) dan diakui oleh Rekod Dunia Guiness 2006 sebagai lif terpantas di dunia ketika ini.

    Menariknya, kakitangan yang menjaga lif boleh bertutur dalam Bahasa Jepun, Inggeris, Mandarin dan Arab sambil mengalu-alukan kedatangan mereka dan memberikan penerangan ringkas mengenai lif berkenaan.
    Sepanjang 'perjalanan' selama kira-kira 37 saat itu juga, lampu di dalam lif akan dimalapkan dan muncul 'bintang-bintang' berkelipan pada bumbung, mewujudkan suasana malam yang gemilang membuatkan kita lupa berada dalam sebuah lif bergerak laju.

    Lif terpantas dunia itu turut menawarkan teknologi baru seperti;

    1. Sistem kawalan tekanan pertama di dunia yang mengawal tekanan atmosfera dalam lif untuk mengelak telinga tersumbat.
    2. Sistem kawalan aktif yang menghapuskan gegaran dengan menggerakkan jisim berlawanan dalam arah bertentangan berasaskan data gegaran menerusi sensor.
    3. Konfigurasi optimum dalam gerabak (lif) mengurangkan bunyi bising yang dihasilkan akibat kesan geseran ketika bergerak pada kelajuan pantas dalam laluan sempit.

    Balai cerap

    Observatory atau balai cerap Taipei 101 terbahagi kepada tiga. Pada paras 382 meter di tingkat 89, pengunjung berpeluang menyaksikan pemandangan menakjubkan meliputi seluruh Lembangan Taipei. Alat panduan mudah alih dalam lapan bahasa bersedia memberi penerangan tentang keindahan landskap semula jadi yang mengelilingi pulau tersebut seperti Gunung Su-shou, Nan-Kang, Jing-mei xian ji, Mian Tian, Datun dan Chihsing.

    Bukan itu sahaja, terdapat pelbagai tarikan lain seperti tayangan dokumentari mengenai sejarah pembinaan Taipei 101 yang ditayangkan setiap 15 minit di teater tertutup tingkat 91.

    sumber : utusan malaysia

    MASALAH DENTAL

    SETIAP orang akan berdepan dengan masalah dental (gigi), sekurang-kurangnya satu kali, pada satu tahap dalam hidup mereka.

    Berdasarkan Persatuan Pergigian Malaysia, sebanyak 95 peratus daripada populasi Malaysia telah pun merasai kesan-kesan perit pereputan gigi.

    Kajian yang dijalankan menyatakan bahawa pereputan gigi biasanya memberi kesan yang lebih kepada orang yang berumur 35 tahun ke atas.

    Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia turut menunjukkan bukti-bukti terdapatnya penyakit gusi.

    Statistik ini agak membimbangkan kerana ia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak peka terhadap penjagaan gigi.

    Oleh itu, ia adalah mustahak bagi rakyat Malaysia untuk memahami cara-cara yang betul untuk mencapai dan mengekalkan penjagaan gigi yang baik.

    Ini dapat dicapai dengan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk meningkatkan kebersihan oral.
    Walaupun terdapat banyak penyakit dental yang lazim berlaku, lima jenis penyakit yang berpunca daripada aktiviti bakteria yang paling lazim dikesan adalah plak, pereputan gigi, gingivitis, periodontitis dan juga radang gigi.

    Plak

    Plak adalah lapisan tidak berwarna yang sentiasa dan berterusan terbentuk di dalam mulut kita. Ia terbentuk daripada gabungan bakteria, air liur dan asid yang seterusnya membentuk deposit melekit yang melekat pada gigi. Plak juga boleh merosakkan gusi dan asid yang dihasilkan pula boleh memusnahkan lapisan atas enamel gigi, mengakibatkan gigi berlubang dan kaviti. Apabila plak tidak di buang, ia akan bertukar menjadi kalkulus dan tartar. Dengan mengehadkan pengambilan makanan bergula, air bergas dan makanan yang mengandungi tahap karbohidrat yang tinggi, ia memudahkan pengawalan dan juga mengurangkan jumlah plak yang terdapat pada gigi. Plak juga boleh disingkirkan dengan lebih kerap memberus gigi dan menggunakan flos gigi (setiap kali selepas makan).

    Pereputan gigi

    Pereputan gigi, juga dikenali sebagai kaviti dental, adalah jangkitan yang berpunca daripada kombinasi makanan berkarbohidrat tinggi dan bakteria yang hidup dalam mulut kita. Apabila bakteria ini berjumpa dengan karbohidrat, ia akan mencernakan karbohidrat tersebut lalu membentuk asid yang akan perlahan-lahan menghakis lapisan enamel yang keras pada gigi kita.

    Gingivitis

    Gingivitis adalah kemerahan atau jangkitan gusi pada tahap awal penyakit periodontal (penyakit gusi).
    Gusi yang sihat selalunya berwarna merah jambu. Gingivitis menyebabkan gusi kemerahan dan bengkak, serta sering berdarah apabila memberus gigi ataupun mengunakan flos gigi. Sekiranya tidak mendapatkan rawatan, jangkitan akan merebak ke bawah garisan gusi dan mengakibatkan penyakit dental. Penyakit gusi boleh memusnahkan tisu-tisu lembut, tulang dan ligamen yang menyokong gigi, lalu menyebabkan gigi longgar dan reput.

    Periodontitis

    Periodontitis adalah jangkitan gusi yang disebabkan bakteria sama yang dijumpai dalam plak. Jika jangkitan itu tidak di rawat, ia akan memusnahkan tisu gusi dan tulang di dalam mulut. Rawatan untuk periodontitis adalah dengan membersihkan tapak jangkitan dan merawat dengan antibiotik .

    Radang gigi

    Keradangan gigi disebabkan oleh jangkitan gusi. Keradangan akan menyebabkan pembentukan nanah yang akan mengelilingi gigi. Keadaan ini amat menyakitkan dan boleh mencetuskan masalah lain jika gagal mendapat rawatan dengan segera. Keradangan gigi boleh dirawat dengan beberapa cara, bergantung pada tahap keseriusan jangkitan. Jika keradangan berpunca daripada pereputan, gigi tersebut akan memerlukan pembedahan 'root canal' ataupun perlu dicabut. Jika gusi yang menyebabkan keradangan gigi, gusi perlu menjalani rawatan pembersihan, rawatan pembedahan, atau mencabut gigi. 

    Langkah mudah seperti memberus gigi dua kali sehari dengan berus gigi yang betul (sebaik-baiknya dengan berus silang pangkah) dan membersihkan gigi dengan flos, dapat mengelakkan daripada jangkitan penyakit-penyakit dental yang lazim. Ia juga adalah digalakkan untuk mengelakkan daripada memakan makanan bergula secara berlebihan.

    Orang ramai juga disaran kerap melawat doktor gigi (sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan) untuk pemeriksaan dan juga pembersihan gigi dari plak yang tersembunyi.

    sumber : utusan malaysia

    GERHANA 1 PERINGATAN

    BELUM pun berpisah dengan bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang kekuasaan dan keagungan Allah melalui peristiwa agung Israk dan Mikraj, kita dijodohkan pula dengan peristiwa gerhana matahari yang menyaksikan satu lagi tanda kebesaran dan keagungan-Nya.

    Selaku seorang Muslim, apatah lagi yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W, kita seharusnya peka dengan fenomena alam ini. Seterusnya berusaha memahami iktibar dan pengajaran di sebalik setiap yang berlaku.

    Ketahuilah, bahawa kejadian gerhana ini dijadikan oleh Allah bagi menakutkan hamba-hamba-Nya dan mengingatkan mereka tentang kebesaran-Nya.

    Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah R.A, Nabi S.A.W bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. (Matahari dan bulan itu) tidak menjadi gerhana kerana kematian seseorang ataupun kelahiran seseorang, tetapi Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan kedua-duanya."

    Allah mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan biasanya Kami tidak menghantar turun tanda-tanda melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman). (al-Israk : 59)

    Adalah wajar kejadian gerhana dianggap sebagai suatu peristiwa yang menakutkan, kerana tiada siapa pun yang mengetahui apa yang Allah kehendaki daripada kejadian gerhana ini.

    Namun, cukuplah sabda Rasulullah S.A.W dalam khutbah gerhananya ini mengingatkan kita tentang kehebatan Allah dan peringatan-Nya yang tersirat di sebalik peristiwa ini: "Wahai umat Muhammad! Demi Allah! Sekiranya kalian mengetahui apa yang saya ketahui, sudah pasti kalian akan ketawa sedikit dan banyak menangis." 

    Malangnya, betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang memandang remeh dan tidak gentar bertemu dengan kejadian gerhana ini. Sedangkan ia adalah saat-saat yang begitu mencemaskan penghulu sekelian manusia, Nabi Muhammad S.A.W.

    Berapa ramai yang leka dan asyik dengan pekerjaannya, sedangkan para salafussoleh begitu cemas dan gentar. Mereka berkejaran dan bersegera mengerjakan solat dan berdoa apabila menyaksikan fenomena ini sehinggalah kejadian yang mencemaskan ini berakhir.

    Diriwayatkan, bahawa seorang Ahli 'Arifin bernama Tawus, apabila melihat kejadian gerhana matahari, beliau menangis ketakutan hingga hampir-hampir menemui maut. Beliau berkata, "Matahari itu lebih takutkan Allah daripada kita."

    Ikutan kita yang agung, Rasulullah S.A.W gementar dan luruh hatinya semasa melihat kejadian ini. Terdapat banyak hadis yang meriwayatkan tentang reaksi cemas Baginda tatkala berlaku gerhana matahari dan bulan.

    Di dalam Sahih Muslim diriwayatkan, ketika berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah S.A.W, terkejut dan bingkas bangun ingin mengambil selendangnya untuk dipakai tetapi terambil baju besinya kerana fikiran dan hatinya yang sibuk dan cemas memikirkan kejadian gerhana yang sedang berlaku.

    Baginda S.A.W menjadi begitu cemas kerana takut sekiranya Allah menurunkan bala atau mengisyaratkan akan berlakunya kiamat berikutan gerhana tersebut.

    Kebimbangan Nabi S.A.W ini menyebabkan Baginda memanjangkan doanya dan mencucurkan air mata, lebih-lebih lagi memikirkan nasib umatnya.

    Hal ini disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al Syamail al Muhammadiah, Abdullah ibn 'Amru R.A. berkata: "Pada masa Rasulullah S.A.W (hidup), pernah terjadi gerhana matahari. Maka Rasulullah S.A.W mengerjakan solat hinggakan seolah-olah Baginda S.A.W tidak akan rukuk (kerana terlalu lama berdiri). Kemudian Baginda S.A.W rukuk, seolah-olah Baginda S.A.W tidak akan mengangkat kepalanya. 

    "Kemudian Baginda S.A.W mengangkat kepalanya, seolah-olah Baginda S.A.W tidak akan sujud. Kemudian Baginda S.A.W sujud, seolah-olah Baginda S.A.W tidak akan mengangkat kepalanya (dari sujud). Kemudian Baginda S.A.W menghembuskan nafasnya dan menangis seraya berdoa:

    "Wahai Tuhanku! Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku, bahawa Engkau tidak akan mengazab mereka selagi aku berada bersama mereka. Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak akan menyiksa mereka, selagi mereka memohon keampunan, sedangkan kami memohon keampunan kepada-Mu".

    Apabila Baginda S.A.W selesai melakukan solat dua rakaat, matahari terang kembali. Baginda S.A.W pun berdiri, lalu mengucapkan pujian kepada Allah. Kemudian Baginda S.A.W pun bersabda, "Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahiran seseorang. Apabila terjadi gerhana, bersegeralah kalian berzikir mengingati Allah".

    Sesungguhnya Baginda S.A.W tidak mengalirkan air mata kerana dirinya sendiri, tetapi Baginda mengalirkan air mata semata-mata kerana mengenang dan kasihkan umatnya serta bimbang Allah akan mengazab mereka disebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

    Lihatlah betapa dalam dan suci kasih Rasulullah S.A.W terhadap umatnya. Walaupun berada dalam keadaan cemas dan ketakutan, Baginda S.A.W tidak pernah melupakan kita.

    Justeru, renungilah, apakah yang kita lakukan demi Baginda S.A.W? Apakah pengorbanan yang pernah kita lakukan demi mempertahankan agamanya yang tercinta?

    Allah S.W.T dengan segala keperkasaan dan keagungan-Nya, mampu menjadikan atau tidak menjadikan kejadian gerhana matahari dan bulan. Namun, dari perspektif ilmu saintifik yang dicanang oleh sebahagian saintis moden mengatakan semua itu berlaku secara nature yang mesti berlaku mengikut kiraan ilmu bintang yang mereka cipta.

    Semuanya itu tidak diyakini dengan pasti, malah berdasarkan sangkaan semata-mata, menurut agakan dan ukuran fikiran mereka yang masih rendah. Sedangkan Nabi S.A.W menyebut bahawa matahari dan bulan adalah tanda kebesaran Allah dan peristiwa gerhana dijadikan oleh Allah sebagai menakutkan dan mengingatkan hamba-Nya. 

    Hikmah di sebalik kejadian gerhana

    Terlalu banyak hikmah tersirat di sebalik kejadian ini sebagaimana yang banyak disebut oleh ulama. Di antaranya ialah:
    1. Menzahirkan penguasaan dan pentadbiran Allah terhadap matahari dan bulan.
    2. Menerangkan kejelikan dan kebodohan orang-orang yang menyembah matahari dan bulan. Firman Allah yang maksud-Nya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya benar kamu hanya beribadat kepada Allah. (al-Fussilat : 37)
    3. Menggementarkan hati orang-orang yang berasa tenang dengan kelalaian dan dosa-dosa yang dilakukannya.
    4. Memperlihatkan kepada manusia contoh-contoh peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat sebagaimana firman Allah: Maka (hari Kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), dan bulan hilang cahayanya, dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. (al Qiyamah : 7-9)
    5. Menggambarkan Allah mungkin akan mengazab orang yang tidak berdosa.
    Merenung hikmah-hikmah ini, terlintas di fikiran saya, apakah kejadian gerhana matahari yang Allah datangkan sejurus selepas sambutan Israk dan Mikraj merupakan peringatan daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang masih lagi lalai dan belum juga insaf dengan segala maksiat yang dilakukan sama ada maksiat zahir atau batin.

    Sekalipun telah diperingatkan tentang kekuasaan-Nya melalui peristiwa Israk dan Mikraj?

    Apakah telah hampir masanya untuk Allah menunjukkan kehebatan dan kekuasaan-Nya yang sebenar? 

    Moga-moga Allah menggolongkan kita di antara hamba-Nya yang sentiasa sedar dan terselamat daripada kemurkaan-Nya

    Amalan sunat semasa gerhana

    Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:
    1. Solat dan berdoa. Rasulullah S.A.W bersabda: "Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi".
    2. Berzikir dan beristighfar. Abu Musa berkata: "Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah S.A.W berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda S.A.W tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda S.A.W melakukan seperti itu.
    3. Berlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah R.A: "Setelah Nabi S.A.W selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda S.A.W memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.
    4. Bersedekah. Sabda Rasulullah S.A.W: "Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah."
    5. Memerdekakan hamba. Asma' R.A berkata: "Sesungguhnya Nabi S.A.W menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. "Dalam satu riwayat: "Gerhana bulan.
    Inilah sunnah Baginda S.A.W ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

    Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita S.A.W kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tinggalkanlah sunnah ahli bidaah kerana inilah jalan yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.

    sumber : utusan malaysia