Sunday, August 16, 2009

LAILATUL QADR

TANDA-TANDA LAILATUL QADAR

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga dengan apa yang telah diberitahukan oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis yang sahih. Kita disuruh untuk menghidupkan malam lailatul qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu saja. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq 'alaih daripada Abu Hurairah yang ertinya : Sesiapa yang menghidupkan lailatul qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu.

Menurut Imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan lailatul qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaan-Nya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaan-Nya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya. Dia menyembunyikan wali-wali-Nya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripada-Nya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian lailatul qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepada-Nya bukan hanya sekadar menunggu lailatul qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Abi Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai lailatul qadar yang ertinya : Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). - Hadis riwayat Imam Muslim dalam kitab puasa -

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang ertinya : Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu. - Hadis riwayat Imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit -

3. Dalam Mu'jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa' daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya : Lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram).

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya : Lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk.

Qadhi 'Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

1) Ia menunujukkan tanda penciptaan Allah SWT

2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.

sumber : www.geocities.com

PUASA


Definisi


Menahan diri daripada makan dan minum termasuk perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sidik sehingga tenggelam matahari.



Kategori Puasa


Ø Puasa Fardhu/Wajib - Bulan Ramadan, Puasa Qada' & Nazar.

Ø Puasa Sunat - Puasa enam (Syawal selepas Hari Raya Aidilfitri), puasa pada hari-hari yang ditetapkan seperti Khamis dan Isnin.

Ø Puasa hari 9-10 bulan Muharram

Ø Puasa pada hari "aman" - 13/14/15 setiap bulan kecuali Zulhijjah.

Ø Puasa pada hari Nisfu Syaa'ban - sebagai latihan "pra-Ramadan"



Syarat Wajib


Islam, Baligh, Mumaiyyiz, Berkemampuan/kudrat (untuk berpuasa)



Sah


Islam, mumaiyyiz, suci (haid/nifas), nawaitu, tiada makan dan minum, hari yang diharuskan puasa



Rukun


Nawaitu (Puasa Wajib), tidak makan dan minum serta melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula fajar sidik hingga tenggelam matahari



Sunat


menyegerakan berbuka, melewatkan sahur, membaca Al-Qur'an, berbuka secara "ringan" dan tidak terlalu "berat", tidak bercakap perkara yang tidak berfaedah, ibadat sunat termasuk solat tarawih



Batal


Keluar air mani (sengaja – siang hari) bersetubuh (siang hari), mabuk, tidak sedarkan diri, bersalin, muntah dengan sengaja, memasukkan sesuatu kedalam rongga badan, murtad, haid/nifas, makan/minum, dll.



Harus Berbuka


sakit yang memudaratkan/tiada harapan sembuh, uzur (orang tua), mengandung/menyusukan anak, musafir dll.



Wajib Qada


Musafir, sakit mudarat, haid/nifas/bersalin, mengandung/menyusukan anak (bimbang akan kesihatan diri ibu berkenaan), bekerja berat (seperti di tengah panas terik dan mengangkut beban-beban berat dll seumpamanya)



Wajib Fidyah



Sakit tiada harapan sembuh, bekerja berat, uzur


Wajib Qada/Fidyah



Mengandung/menyusukan anak, lewat qada puasa sehingga Ramadan berikutnya



Wajib Qada/Kifarah



Berjimak (suami-isteri) pada siang hari (Ramadan)


Definisi - Kifarah


Dam/denda bagi lelaki bersetubuh pada siang hari. Wajib qada/kifarah menerusi - kemerdekaan hamba atau berpuasa 2 bulan berturut-turut atau memberi makanan 60 fakir miskin



Definisi - Fidyah



Secupak makanan kepada fakir miskin untuk 1 hari puasa yang ditinggalkan


Definisi - Qada


Menggantikan puasa apabila terbatal diatas yang diharuskan (berbuka) oleh syarak



Perkara Dimaafkan/Makruh


1. Menggosok/bersugi - namun makruh selepas gelincir matahari.

2. Menyejukkan badan dengan air (spt. Mandi) ketika pans

3. Memamah makanan untuk kanak-kanak kecil dengan syarat tidak ditelan.

4. Makruh memakai bau-bauan

5. Masuk sesuatu kedalam perut melalui air liur tanpa disedari.

6. Termakan dengan tidak sengaja

7. Bangun pagi dalam keadaan junub

8. Bermimpi jima' (ihtilam) dan keluar mani pada siang hari tidak membatalkan puasa (akan tetapi…jika berkhayal syawat sehingga keluar air mani maka batallah puasanya)

9. Makruh mengecap makanan dengan lidah tetapi tidak ditelan.



Hikmah


meninggikan taqwa, sihat tubuh badan - penghadaman, mengurangkan penyakit kronik, melatih sifat belas kasihan terhadap golongan miskin, menghancurkan hawa nafsu jahat termasuk syahwat, menghancurkan mazmumah - penyakit hati - spt. Sangka buruk, mengata, mengumpat dll.



Nota


Ø Menelan air liur bersih yang tidak bercampur dengan benda lain tidak membatalkan puasa - tidak juga disarankan meludah merata-rata.

Ø Menyuntik ubat ke dalam badan tidak membatalkan puasa kecuali - berbentuk vitamin/makanan - atau cara suntikan yang menolak/menarik (bagi mencampurkan ubat/darah) - pendapat umum jumhur ulama - batal puasanya.

Ø Menderma darah - pendapat umum jumhur ulama - batal puasanya.

Ø Berjunub atau perempuan habis haid/nifas waktu malam boleh berpuasa - walaupun melewatkan mengangkat hadas/mandi junub/mandi wajib sehingga terbit matahari.

Ø Berbuka puasa dengan sengaja tanpa keuzuran adalah haram.

Ø Mengata, mengumpat, mengadu-domba, memaki, zina pancaindera termasuk mata, berkhayal yang boleh menimbulkan syahwat dll mampu menghilangkan segala pahala puasa - kecuali lapar dan dahaga.

Ø Berbuka puasa dengan secara "berlebih-lebihan" akan menghilangkan hikmat puasa yang sebenar malah ibarat pada siang hari, kita membungkam nafsu, apabila tiba waktu berbuka, kita merajakan nafsu kembali. Sepatutnya kita lebih banyak mensyukuri rezeki dan menghayati maksud puasa yang sebenar.

Ø Jumhur ulama berpendapat bahawa merokok (menyedut dan menghembus asap) membatalkan puasa!



sumber : www.geocities.com

Friday, August 14, 2009

BADAR AL-KUBRA

Tanggal 17 Ramadan mencatatkan sebuah peristiwa terpenting dalam lipatan sejarah Islam. Sesetengah sejarawan Islam (dan ada yang mengatakan ia berlaku pada tanggal 18 Ramadan) mengatakan pada hari ini telah berlaku Perang Badar al-Kubra yang amat signifikan dalam sejarah Islam. Ia merupakan peperangan pertama umat Islam demi memperjuangkan survival Islam.

PERANG Badar al-Kubra adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan. Perang itu berlaku pada tahun kedua hijrah, menyaksikan pertembungan antara tentera Islam yang disertai 313 orang dengan bala tentera kafir Musyrikin seramai 1,000 orang.

Jumlah tentera yang tidak seimbang itu menyebabkan Rasulullah berdoa kepada Allah sambil bermunajat:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini.”

Baginda terus berdoa sehingga selendangnya jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah seraya berkata: “Wahai Nabi Allah! Cukuplah doamu itu kepada Allah. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu.”

Selepas itu, turun wahyu yang bermaksud:

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut.” – (Surah al-Anfal, ayat 9)

Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan doa dalam kehidupan Muslim. Setiap Muslim dituntut berdoa hanya kepada Allah. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba daif. Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Kepada-Nya setiap Muslim bergantung harapan dan memohon bantuan sebagaimana mafhum daripada surah al-Fatihah yang diulang-ulang sekurang-kurang 17 kali sehari semalam maksudnya: “Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan.” – (Surah al-Fatihah, ayat 5)

Maka tidak hairan Baginda sentiasa menggalakkan umat Islam agar tidak putus-putus berdoa kepada Allah dalam semua keadaan tidak kira pada masa senang atau susah, kaya atau miskin dan seterusnya. Baginda pernah bersabda maksudnya:

“Doa adalah senjata mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi.” – (Hadis riwayat Abu Ya’la)

Seterusnya, kehidupan yang diciptakan Allah untuk umat manusia ini penuh dengan ujian dan dugaan. Ia bagi menguji sejauh mana keimanan Muslim sama ada bersabar dan tetap teguh dengan keimanan atau terus mengalah dan akhirnya tersungkur dengan kekalahan memeritkan. Begitulah juga peperangan Badar yang diharungi oleh tentera Islam untuk berdepan dengan tentera kafir Musyrikin.

Orang beriman dan bertakwa akan terus mara meredah kancah peperangan yang sengit tanpa sebarang perasaan takut atau bimbang kepada kematian. Ini kerana mereka begitu yakin dengan janji Allah yang menjamin syurga bagi yang terkorban syahid dalam peperangan.

Baginda pernah bermusyawarah dengan sahabat mengenai usul berdepan dengan tentera kafir Musyrikin Makkah. Lantas, Baginda bertanyakan Saidina Abu Bakar dan beliau menjawab: “Mara terus!” Kemudian Baginda bertanya kepada Saidina Umar al-Khattab dan beliau juga menjawab: “Mara terus!” Selepas itu berkatalah Miqdad bin Amru:

“Wahai Rasulullah! Jalan terus! Laksanakanlah apa yang diperintahkan Allah, kami akan tetap bersama engkau. Kami sekali-kali tidak akan berkata kepada engkau sebagaimana ucapan Bani Israil kepada Nabi Musa: Pergilah engkau bersama Tuhan engkau dan perangilah mereka, namun kami di sini hanya akan duduk menunggu saja, tetapi kami akan berkata: Pergilah engkau bersama Tuhan engkau dan kami bersama engkau berdua akan turut berperang. Demi Allah! Walaupun engkau bawa kami ke Birk al-Ghimad (satu negeri di Habsyah) sekalipun, kami akan turut sama sehingga kita sampai ke sana!”

Demikianlah maklum balas sahabat yang bersemangat untuk mengharungi peperangan Badar biarpun bilangan mereka kecil dan alat kelengkapan perang pun tidak sehebat tentera Musyrikin. Namun, keimanan dan ketakwaan menyebabkan tentera Islam terus berjuang untuk menegakkan kebenaran. Mereka yakin dengan firman Allah bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang yang mati, bahkan mereka sebenarnya orang yang hidup (dengan keadaan yang istimewa) tetapi kamu tidak dapat mengetahui.” – (Surah al-Baqarah, ayat 154)

Bilangan kecil dan alat kelengkapan perang yang serba kekurangan bukan halangan bagi tentera Islam untuk mencipta kemenangan. Yang penting keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh di jiwa Muslimin.

Akhirnya, tentera Muslim menang besar dalam perang itu dengan izin Allah berbekalkan keimanan mantap, strategi peperangan sistematik dan bantuan Ilahi dari langit iaitu gerombolan malaikat untuk membantu tentera Muslimin.

Semua itu menjadi kriteria utama ke arah mencipta kemenangan berdasarkan kepada sunatullah di alam semesta ini.

Keimanan mantap Muslim adalah pemangkin ke arah mencipta kecemerlangan dan kejayaan dalam pelbagai lapangan hidup. Begitu juga dengan bantuan Illahi akan tetap bersama-sama dengan Muslim yang beriman dan bertakwa kepada-Nya pada setiap masa. Strategi peperangan dirancang rapi oleh tentera Muslimin apabila Baginda sanggup mengetepikan pandangannya sendiri dan sedia menerima pendapat Habbab bin Munzir yang lebih baik. Beliau mencadangkan usul agar memilih tempat yang hampir dengan takungan air kerana air penting dalam persiapan tentera Islam dalam peperangan nanti.

Ini bermakna setiap Muslim tidak digalakkan hanya mengharapkan bantuan Allah semata-mata tanpa sebarang usaha terlebih dulu. Ini adalah tawakal dalam Islam yang mensyaratkan daya usaha dan ikhtiar bersungguh-sungguh dalam menjayakan satu matlamat dan akhirnya baru berserah kepada Allah.

Satu pengajaran paling penting ialah kebenaran dan hak akan tetap tertegak, manakala kebatilan dan kepalsuan akan tersungkur.

Allah menegaskan dalam firman-Nya bermaksud:

“Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik) sekalipun golongan (kafir Musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.” – ( Surah al-Anfal, ayat 8 )

Wahai sauadara-saudariku se-Islam, ayuh kita semarakkan roh Badar al-Kubra ini dalam kehidupan kita. Jadikan Allah SWT sebagai satu-satunya sandaran hidup kita. Doa dijadikan senjata utama kita. Hidup dan mati kita hanya untuk mengecapi jannah Allah SWT. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita sepanjang Ramadan ini; Ameen.

sumber: khalidalwalid.wordpress.com

FAKTA MENARIK RAMADAN

Bilakah disyariatkan puasa kepada umat Nabi Muhammad?

Ibadah puasa telah disyariatkan pada 10 Syaaban tahun 2 Hijrah

Apakah peristiwa-peristiwa penting di Bulan Ramadan?

  1. Peperangan Badar Kubra ( 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah)
  2. Pembukaan Kota Makkah (10 Ramadhan tahun 8 Hijrah)
  3. Sebahagian daripada peristiwa peperangan Tabuk (tahun 9 Hijrah)
  4. Tersebar luas Islam ke Yaman (tahun 10 Hijrah)
  5. Khalid al-Walid menghancurkan berhala al-Uzza (tahun 8 Hijrah)
  6. Islamnya Bani Tsaqif dan mereka menghancurkan berhala al-Laata yang mereka sembah (tahun 9 Hijrah)
  7. Peristiwa Ain Jalut iaitu Tentera Monggol dikalahkan oleh Sultan Qhutuz (15 Ramadhan tahun 658 Hijrah)
  8. Pembukaan Andalus ke bawa pimpinan Thoriq Bin Ziyad (28 Ramadhan tahun 92 Hijrah)
sumber : khalidalwalid.wordpress.com

KELEBIHAN RAMADAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya, ia juga menjadi penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah Al-Baqarah: 185)

Dipilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatul-qadr yang mana ia lebih baik dan lebih utama daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama’ Lailatul-qadr itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan khasnya malam-malam pelikurannya dengan perkara-perkara yang tidak memberi faedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Lain-lain keistimewaan bulan Ramadhan itu sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.”

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga.”

(Shahih Ibnu Khuzaimah)

Sementara kesabaran itu pula ganjaran pahala tanpa perhitungan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

(Surah Az-Zumar: 10)

HADITH RAMADAN

Hadith 1

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (di segi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

sumber : halaqah.net

ADAB BERPUASA DAN SOLAT TARAWIH

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)


Sumber: akhbarweb

Tuesday, August 11, 2009

VIRUS H1N1

Apakah dimaksudkan dengan selesema babi?

Ia sejenis masalah pernafasan yang disebabkan virus influenza A dijangkiti babi. Ada banyak jenis virus dan jangkitannya sentiasa berubah. Ia sebelum ini tidak menjangkiti manusia, tetapi keadaan ketika ini membuktikan sebaliknya dan mudah tersebar di antara manusia, dipercayai menerusi batuk dan bersin.

Ia juga jenis baru virus H1N1 yang turut menyebabkan wabak besar-besaran demam selesema pada 1918. Rawatan yang ada setakat ini berkesan, tetapi ia tidak mempunyai sebarang vaksin. Biarpun H1N1 ialah jenis sama yang menyebabkan jangkitan demam selesema di kalangan manusia, tetapi versi terbaru virus ini amat berbeza. Ia mengandungi bahan genetik yang lazimnya ditemui dalam virus yang dijangkiti manusia, unggas dan babi.

Virus demam selesema mampu menukar komponen genetik di antara satu sama lain. Versi baru jenis virus H1N1 itu hasil campuran beberapa versi virus berkenaan di dalam ‘induk’ haiwan yang sama. Babi misalnya, disifatkan lubuk paling sesuai bagi membolehkan virus ini saling bergabung. Biarpun virus ini lazimnya menular pada musim luruh dan sejuk, ia juga boleh merebak sepanjang tahun.

Bagaimana wabak berlaku?

Mutasi virus demam selesema sentiasa berlaku dan berubah yang menyebabkan perubahan kecil protein di permukaannya yang dikenali sebagai antigen. Sistem daya tahan atau imun badan mungkin kebal terhadap jangkitan itu jika ia pernah berdepan virus sama sebelum ini, tetapi boleh menjadi lemah jika ia membabitkan antigen baru. Virus selesema yang menjadi tumpuan ramai sekarang adalah sejenis virus influenza A H1N1 yang dijangkiti unggas, mamalia tertentu serta manusia.

Mutasi virus selesema

Virus influenza A boleh melalui proses mutasi dalam dua cara - perubahan antigenik yang mana antigen sedia ada berubah. Satu lagi membabitkan perubahan gabungan dua atau lebih antigen. Perubahan antigen ini berlaku dari setahun ke setahun membabitkan jenis yang lazimnya dijangkiti manusia. Berikutan itu, manusia mempunyai separuh, jika tidak sepenuh kekebalan. Sebaliknya, virus H1N1 yang baru itu dilihat berasal daripada perubahan antigen babi di Mexico.

Potensi virus ini

Nama selesema babi itu memberi gambaran kurang tepat kerana ia seolah-olah mengaitkan babi sebagai ‘lubuk’ campuran beberapa jenis virus selesema iaitu gabungan genetik babi, unggas dan manusia. Ada antara antigen itu membabitkan jenis baru yang tidak pernah disaksikan sistem imun hampir keseluruhan manusia. Berikutan itu, jenis baru ini berpotensi mencetuskan pandemik atau wabak besar-besaran.

Bolehkah manusia dijangkiti selesema babi?

Ia lazimnya tidak dijangkiti manusia, kecuali kes tertentu membabitkan mereka yang bersentuhan dengan haiwan itu. Malah ada kes yang sebelum ini jarang berlaku yang mana manusia menyebarkan virus itu kepada individu lainnya. Wabak terbaru ini menjadi bukti jangkitan antara manusia dari manusia itu secara mudah dan cepat yang sekali gus memerlukan perhatian segera pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia. Virus itu tersebar dari manusia kepada manusia, sama seperti virus selesema lain menerusi batuk, bersin atau sentuhan pada permukaan yang dijangkiti.

Apakah ia jenis baru virus?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan sekurang-kurangnya beberapa kes jangkitan manusia membabitkan jenis H1N1 yang belum pernah dilihat sebelum ini. H1N1 ialah jenis sama yang menyebabkan wabak demam selesema di kalangan manusia sering berlaku. Tetapi kali ini, jenisnya berbeza kerana mengandungi material genetik yang lazimnya ditemui dalam virus yang dijangkiti manusia, unggas dan babi.

Contoh kejadian penyebaran selesema babi di kalangan manusia?

  • 1976 - Wabak selesema babi di kalangan anggota tentera di Fort Dix, New Jersey. Virus itu menyebabkan masalah pneumonia atau radang paru-paru yang dihidapi sekurang-kurangnya empat askar dan satu kematian lain. Virus itu tersebar dengan mudah berikutan persekitaran latihan ketenteraan dan terhad kepada pihak luar.
  • 1988 - Seorang wanita 32 tahun yang hamil dan diketahui sihat, dimasukkan ke hospital kerana radang paru-paru dan mati lapan hari kemudian. Pemeriksaan lanjut menemui virus H1N1. Empat hari sebelum jatuh sakit, mangsa mengunjungi satu pesta pameran babi dan binatang itu diketahui mempunyai gejala selesema babi.
Sejauh mana bahayanya?

Simptom selesema babi sama seperti jenis yang mencetuskan demam selesema yang sering berlaku, seperti demam, batuk, sakit tekak, sengal badan, kesejukan dan lemah atau lesu.

Perlukah kita bimbangkan ancamannya?

Berikutan ciri-ciri virus baru ini yang memungkinkan penyebaran dari manusia kepada manusia, ia perlu dipantau rapi sebagai persiapan kemungkinan mencetuskan wabak besar-besaran pada peringkat global. Pihak WHO sudah memberi amaran, jika kes di Mexico dan Amerika Syarikat itu sama, ia boleh mencetuskan pandemik atau wabak besar-besaran di seluruh dunia dan menegaskan keadaan sekarang sememangnya serius, biarpun ada pakar menyifatkannya terlalu awal untuk menilai keadaan itu secara keseluruhannya. Tetapi mereka tidak menolak kemungkinan dunia semakin hampir kepada wabak demam selesema besar-besaran sejak wabak yang tercetus pada 1968.

Pakar turut mengkategorikan tahap ancaman itu di paras empat berbanding skala enam peratus. Tiada siapa pun tahu impak keseluruhan wabak besar-besaran itu, tetapi pakar sebaliknya sudah memberi amaran ia boleh menyebabkan kehilangan berjuta-juta nyawa.

Hakikat, kesemua kes di Amerika Syarikat dan lainnya yang menyebabkan gejala atau simptom sederhana, disifatkan sebagai satu perkembangan yang menggalakkan. Ia menunjukkan seriusnya wabak di Mexico berkemungkinan besar disebabkan faktor geografi yang berbeza dan disifatkan amat luar biasa yang mungkin menunjukkan ada virus kedua yang tiada kaitan menular dalam masyarakat dan berkemungkinan tidak semudah itu mencetuskan masalah di seluruh dunia.

Kemungkinan lain, mangsa yang dijangkiti di Mexico, mungkin mendapatkan rawatan lewat di negara lain.

Andaian lain, mungkin juga virus yang tersebar di Mexico berbeza daripada jenis yang tersebar di tempat lain dan ini pun masih perlu disahkan oleh analisis makmal. Namun, hakikat majoriti mangsanya masih muda juga disifatkan menjadi petunjuk yang agak aneh kerana andai masalah ini dikaitkan dengan musim demam selesema, ia lazimnya menyerang mangsa yang lebih tua.

Berapa lamakah tempoh mereka yang dijangkiti menyebarkan kepada orang lain?

Mereka yang dijangkiti selesema babi, disifatkan sebagai boleh menyebarkan virus itu selagi masih ada simptom berkaitan sehingga tujuh hari sejak gejala itu mula dikesan. Kanak-kanak misalnya, berpotensi dijangkiti bagi tempoh lebih lama.

Simptom atau gejala?

Demam, batuk, sakit badan, sukar bernafas

Bolehkah virus ini dikawal?

Virus ini sudah pun menunjukkan tanda-tanda penularan hampir di seluruh dunia dan kebanyakan pakar percaya usaha mengawalnya pada era yang menyaksikan perjalanan udara suatu kelaziman, sememangnya amat sukar.

Cara rawatan dan vaksinnya?

Pihak berkuasa Amerika Syarikat berkata ada dua jenis ubat yang sering digunakan bagi merawat demam selesema - Tamiflu dan Relenza yang terbukti berkesan merawat kes sebelum ini. Namun, ia perlu diberi seawal mungkin bagi memastikan keberkesanannya. Penggunaan ubat ini juga menyukarkan virus itu dijangkiti orang lain. Kerajaan Britain sudah pun menyediakan bekalan 33 juta dos Tamiflu yang dipesan awal bagi berdepan pandemik ini. Namun, tidak jelas sejauh mana keberkesanan vaksin yang ada sebagai perlindungan jenis baru virus ini yang secara genetiknya berbeza daripada jenis lain. Saintis Amerika sudah pun menghasilkan vaksin baru tetapi ia memerlukan masa untuk disempurnakan dan dihasilkan bagi memenuhi permintaan besar dunia. Ada satu vaksin yang digunakan bagi melindungi manusia daripada versi awal selesema babi di Amerika pada 1976. Bagaimanapun, ia menyebabkan kesan sampingan serius, termasuk kira-kira 500 kes sindrom Guillain-Barré yang menyebabkan lebih banyak kematian berbanding kesan wabak ketika itu.

Apa harus lakukan untuk selamat?

Mereka yang mempunyai simptom atau gejala demam selesema atau ada kemungkinan terdedah kepada virus selesema babi, perlu mendapatkan rawatan perubatan termasuk segera ke hospital.

Bagaimana mengelak jangkitan?
  • Elakkan berada di tempat mereka yang kurang sihat dan menghidap demam serta batuk.

  • Amalan kawalan am jangkitan dan persekitaran yang bersih, boleh mengurangkan risiko menyebarkan virus.

  • Tutup hidung dan mulut apabila bersin atau batuk dengan menggunakan tisu dan dibuang dengan cara betul.

  • Kerap basuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman dan air bagi mengelak penyebaran virus dari tangan ke muka serta kepada orang lain. Juga, kerap cuci permukaan seperti tombol pintu, menggunakan cecair cucian yang sesuai.

  • Gunakan topeng pernafasan jika menjaga mereka yang sakit, selain mengelak risiko menyebarkan virus.

  • Segera berjumpa doktor jika mempunyai simptom dan pernah melawat Mexico, New York, California, Texas dan Ohio di Amerika Syarikat serta ke Kanada selepas 17 April lalu.
sumber : berita harian

Sunday, August 9, 2009

FADHILAT SYAABAN

PENDAHULUAN

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

FADHILAT SYAABAN

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.


Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
  • Memperbanyakkan puasa sunat. Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

    Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

  • Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
sumber : www.al-azim.com