Friday, August 14, 2009

BADAR AL-KUBRA

Tanggal 17 Ramadan mencatatkan sebuah peristiwa terpenting dalam lipatan sejarah Islam. Sesetengah sejarawan Islam (dan ada yang mengatakan ia berlaku pada tanggal 18 Ramadan) mengatakan pada hari ini telah berlaku Perang Badar al-Kubra yang amat signifikan dalam sejarah Islam. Ia merupakan peperangan pertama umat Islam demi memperjuangkan survival Islam.

PERANG Badar al-Kubra adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan. Perang itu berlaku pada tahun kedua hijrah, menyaksikan pertembungan antara tentera Islam yang disertai 313 orang dengan bala tentera kafir Musyrikin seramai 1,000 orang.

Jumlah tentera yang tidak seimbang itu menyebabkan Rasulullah berdoa kepada Allah sambil bermunajat:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini.”

Baginda terus berdoa sehingga selendangnya jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah seraya berkata: “Wahai Nabi Allah! Cukuplah doamu itu kepada Allah. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu.”

Selepas itu, turun wahyu yang bermaksud:

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut.” – (Surah al-Anfal, ayat 9)

Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan doa dalam kehidupan Muslim. Setiap Muslim dituntut berdoa hanya kepada Allah. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba daif. Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Kepada-Nya setiap Muslim bergantung harapan dan memohon bantuan sebagaimana mafhum daripada surah al-Fatihah yang diulang-ulang sekurang-kurang 17 kali sehari semalam maksudnya: “Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan.” – (Surah al-Fatihah, ayat 5)

Maka tidak hairan Baginda sentiasa menggalakkan umat Islam agar tidak putus-putus berdoa kepada Allah dalam semua keadaan tidak kira pada masa senang atau susah, kaya atau miskin dan seterusnya. Baginda pernah bersabda maksudnya:

“Doa adalah senjata mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi.” – (Hadis riwayat Abu Ya’la)

Seterusnya, kehidupan yang diciptakan Allah untuk umat manusia ini penuh dengan ujian dan dugaan. Ia bagi menguji sejauh mana keimanan Muslim sama ada bersabar dan tetap teguh dengan keimanan atau terus mengalah dan akhirnya tersungkur dengan kekalahan memeritkan. Begitulah juga peperangan Badar yang diharungi oleh tentera Islam untuk berdepan dengan tentera kafir Musyrikin.

Orang beriman dan bertakwa akan terus mara meredah kancah peperangan yang sengit tanpa sebarang perasaan takut atau bimbang kepada kematian. Ini kerana mereka begitu yakin dengan janji Allah yang menjamin syurga bagi yang terkorban syahid dalam peperangan.

Baginda pernah bermusyawarah dengan sahabat mengenai usul berdepan dengan tentera kafir Musyrikin Makkah. Lantas, Baginda bertanyakan Saidina Abu Bakar dan beliau menjawab: “Mara terus!” Kemudian Baginda bertanya kepada Saidina Umar al-Khattab dan beliau juga menjawab: “Mara terus!” Selepas itu berkatalah Miqdad bin Amru:

“Wahai Rasulullah! Jalan terus! Laksanakanlah apa yang diperintahkan Allah, kami akan tetap bersama engkau. Kami sekali-kali tidak akan berkata kepada engkau sebagaimana ucapan Bani Israil kepada Nabi Musa: Pergilah engkau bersama Tuhan engkau dan perangilah mereka, namun kami di sini hanya akan duduk menunggu saja, tetapi kami akan berkata: Pergilah engkau bersama Tuhan engkau dan kami bersama engkau berdua akan turut berperang. Demi Allah! Walaupun engkau bawa kami ke Birk al-Ghimad (satu negeri di Habsyah) sekalipun, kami akan turut sama sehingga kita sampai ke sana!”

Demikianlah maklum balas sahabat yang bersemangat untuk mengharungi peperangan Badar biarpun bilangan mereka kecil dan alat kelengkapan perang pun tidak sehebat tentera Musyrikin. Namun, keimanan dan ketakwaan menyebabkan tentera Islam terus berjuang untuk menegakkan kebenaran. Mereka yakin dengan firman Allah bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang yang mati, bahkan mereka sebenarnya orang yang hidup (dengan keadaan yang istimewa) tetapi kamu tidak dapat mengetahui.” – (Surah al-Baqarah, ayat 154)

Bilangan kecil dan alat kelengkapan perang yang serba kekurangan bukan halangan bagi tentera Islam untuk mencipta kemenangan. Yang penting keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh di jiwa Muslimin.

Akhirnya, tentera Muslim menang besar dalam perang itu dengan izin Allah berbekalkan keimanan mantap, strategi peperangan sistematik dan bantuan Ilahi dari langit iaitu gerombolan malaikat untuk membantu tentera Muslimin.

Semua itu menjadi kriteria utama ke arah mencipta kemenangan berdasarkan kepada sunatullah di alam semesta ini.

Keimanan mantap Muslim adalah pemangkin ke arah mencipta kecemerlangan dan kejayaan dalam pelbagai lapangan hidup. Begitu juga dengan bantuan Illahi akan tetap bersama-sama dengan Muslim yang beriman dan bertakwa kepada-Nya pada setiap masa. Strategi peperangan dirancang rapi oleh tentera Muslimin apabila Baginda sanggup mengetepikan pandangannya sendiri dan sedia menerima pendapat Habbab bin Munzir yang lebih baik. Beliau mencadangkan usul agar memilih tempat yang hampir dengan takungan air kerana air penting dalam persiapan tentera Islam dalam peperangan nanti.

Ini bermakna setiap Muslim tidak digalakkan hanya mengharapkan bantuan Allah semata-mata tanpa sebarang usaha terlebih dulu. Ini adalah tawakal dalam Islam yang mensyaratkan daya usaha dan ikhtiar bersungguh-sungguh dalam menjayakan satu matlamat dan akhirnya baru berserah kepada Allah.

Satu pengajaran paling penting ialah kebenaran dan hak akan tetap tertegak, manakala kebatilan dan kepalsuan akan tersungkur.

Allah menegaskan dalam firman-Nya bermaksud:

“Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik) sekalipun golongan (kafir Musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.” – ( Surah al-Anfal, ayat 8 )

Wahai sauadara-saudariku se-Islam, ayuh kita semarakkan roh Badar al-Kubra ini dalam kehidupan kita. Jadikan Allah SWT sebagai satu-satunya sandaran hidup kita. Doa dijadikan senjata utama kita. Hidup dan mati kita hanya untuk mengecapi jannah Allah SWT. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita sepanjang Ramadan ini; Ameen.

sumber: khalidalwalid.wordpress.com

No comments: