Tuesday, September 22, 2009

F1 1 MALAYSIA


Projek F1 1Malaysia diharap menjadi pemangkin kepada usaha menyerlahkan lagi nama negara di peringkat global dan sekali gus menjana faedah lain secara tidak langsung untuk kepentingan seluruh rakyat. – Bernama


INDUSTRI permotoran negara maju setapak lagi. Kali ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan pasukan F1 1Malaysia yang merupakan usaha sama kerajaan dan swasta bagi menyertai perlumbaan Formula Satu (F1).

Mengikut perancangan pasukan F1 1Malaysia yang merupakan pasukan ke-13 bakal membuat penampilan sulung pada F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai 2010.

Projek bertaraf dunia yang menggabungkan kepakaran Proton, Lotus, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Petronas dan Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) serta bantuan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Persatuan Permotoran Malaysia dan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia dilapor bakal memberi impak besar daripada segi pemasaran secara global terhadap jenama Proton dan Lotus.

Strategi hebat sebegini sangat diperlukan oleh Proton ke arah merentasi pasaran dunia dalam era globalisasi. Malahan menurut Perdana Menteri, manfaatnya juga akan melimpah kepada pengukuhan jenama Malaysia yang lain seperti AirAsia dan Naza di peringkat dunia.

Dengan mengambil kira perancangan kerajaan supaya pasukan F1 1Malaysia mewakili Malaysia dalam erti kata sebenarnya maka seharusnya setiap rakyat memberikan sokongan padu kepada satu lagi projek yang bakal memberikan impak besar terhadap negara.

Pihak-pihak yang sentiasa cuba memburuk-burukkan kerajaan diharap tidak mempolitikkan projek F1 1Malaysia ini. Sama-sama kita menyatakan sokongan agar sebarang projek untuk kebaikan negara dapat direalisasikan dengan jaya.

Jentera lumba yang bakal digunakan oleh pasukan F1 1Malaysia akan direka bentuk, dibuat dan diuji di SIC.

Pelumba-pelumba bakal dipilih dari kalangan rakyat tempatan yang berpengalaman dan begitu juga dengan kumpulan pengendali pitstop yang bakal menggunakan kepakaran rakyat Malaysia. Dengan menggunakan nama pasukan "F1 1Malaysia" maka sewajarnyalah rakyat Malaysia sama ada secara individu atau organisasi swasta sama-sama menyumbang dana agar hasrat ini dapat direalisasikan.

Kos-kos yang berkaitan dengan pembentukan pasukan F1 1Malaysia sudah tentu besar. Ia terdiri daripada perbelanjaan-perbelanjaan bagi tujuan membangunkan infrastruktur, membina ibu pejabat F1 1Malaysia, pelbagai bentuk perbelanjaan operasi dan kos-kos penyelidikan dan pembangunan.

Namun begitu, dengan minat yang semakin menebal di kalangan rakyat terhadap sukan permotoran, adalah penting projek sebegini menerima sentuhan rakyat berbilang kaum iaitu daripada segi pengumpulan dana dan idea-idea yang berkaitan. Ia sudah tentu akan melengkapkan lagi usaha yang telah dimulakan oleh sekumpulan usahawan Malaysia daripada segi pembiayaan.

Diharapkan ada pihak yang boleh mengambil inisiatif untuk mewujudkan tabung rakyat untuk F1 1Malaysia.

Dana yang terkumpul dapat disatukan dengan dana sumbangan pihak korporat untuk membiayai projek yang bakal membuka lembaran baru dalam berbagai perkara. Rakyat juga mampu memberikan sumbangan melalui idea-idea bagi membentuk pasukan F1 1Malaysia yang mantap. Semoga cadangan sebegini dapat dijadikan agenda apabila pihak-pihak yang terlibat dijangka berjumpa untuk berbincang daripada segi aspek kewangan selepas Hari Raya.

Kita perlu merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan serta tokoh-tokoh korporat yang terlibat secara langsung dengan projek F1 1Malaysia seperti Datuk Kamarudin Meranun, Datuk Seri Tony Fernandes dan SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Saya yakin selain membawa manfaat daripada aspek pemasaran jenama-jenama Malaysia seperti Petronas, AirAsia serta Naza, projek F1 1Malaysia akan turut membawa faedah lain untuk ekonomi, sosial dan politik.

Projek F1 1Malaysia akan membuka satu dimensi baru dalam industri permotoran negara. Gelaran sukan ini iaitu Formula Satu, menandakan bahawa sukan ini berkehendakkan kepada formula perlumbaan yang paling canggih dan kompetitif.

Justeru itu, usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan sama ada oleh pihak swasta atau universiti tempatan akan menghasilkan impak yang besar terhadap industri permotoran yang berdaya maju.

F1 adalah merupakan acara televisyen yang besar. Setiap penganjuran F1 mampu menarik hampir 55 juta penonton dari seluruh dunia untuk menyaksikan siaran langsung. Dengan imejnya sebagai sukan paling berprestij dan paling mahal di dunia, kesan ekonominya terhadap negara penganjur adalah besar.

Pembentukan pasukan F1 1Malaysia akan turut merancak dan mengembangkan industri pelancongan negara. Penyertaan pasukan yang benar-benar mewakili Malaysia sudah tentu akan menarik minat rakyat tempatan untuk mengikuti perkembangan dan seterusnya meminati sukan permotoran F1.

Biarpun masih terlalu awal untuk membuat ramalan, sebagai rakyat Malaysia tidak salah untuk kita memasang angan-angan bahawa kita akan mendengar lagu Negaraku dimainkan apabila pelumba negara sama ada Alex Yoong, Fairuz Fauzy atau Jazeman Jaafar mencapai kemenangan suatu hari nanti.

Yang penting ialah siapa sahaja yang terpilih menjadi pelumba perlu menunjukkan semangat juang unggul sesuai dengan status F1. Tidak mustahil ini menjadi kenyataan jika semua pihak dapat memainkan peranan sebagai satu pasukan atas semangat 1Malaysia.

Semoga perkembangan yang mutakhir ini akan meletakkan nama Malaysia sebagai pendahulu di dalam industri permotoran F1 di Asia berbanding dengan lain-lain penganjur di rantau ini seperti Bahrain, China, Turki dan Singapura.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan,

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis

sumber : utusan malaysia

No comments: