Kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam. Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, Hari Raya kesucian manusia. Disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita. Kembalinya fitrah kepada kita dan kita pun harus tampil sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Aidilfitri itu juga disebut sebagai suatu nikmat perundangan Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu iaitu kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.
Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.
Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.
Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah, kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali lagi iaitu sebelum wujud sebagai manusia, kita telah mengakui keesaan Allah s.w.t. dan berjanji untuk mentaati perintahnya. Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
Ingatlah ketika Tuhanmu mengambil janji dari anak-anak Adam sejak azali mereka dan mempersaksikannya atas diri mereka sendiri. “Tidakkah Aku Tuhanmu?” Mereka menjawab, betul, kami mempersaksikan atas itu tetapi kamu akan berkata pada hari kiamat, kami telah lalai mengenai hal ini. (maksud al-Quran surah al-Araf ayat 172).
Fitrah juga berkait dengan hanif. Ertinya suatu sifat dalam diri kita yang cenderung memihak kepada kebaikan dan kebenaran. Dalam sebuah hadis disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.:
Kebajikan ialah suatu yang membuat hati dan jiwa tenang. Dan dosa ialah sesuatu yang terasa tidak keruan dalam hati dan terasa bimbang di dada. (HR Ahmad).
Maksud dosa dalam hadis tersebut adalah sesuatu yang dirasakan bertentangan dengan hati nurani. Oleh kerana itu, ketika ada polemik mengenai Ibrahim, di mana orang Yahudi mengatakan bahawa Ibrahim ialah orang Yahudi dan orang Nasrani mengatakan bahawa Ibrahim adalah seorang Nasrani, maka al-Quran mengatakan:
Ibrahim bukan orang Yahudi dan bukan pula orang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali dia bukanlah termasuk golongan orang-orang musyrik. (al-Quran surah ali-Imran ayat 67).
Iaitu seorang yang hidupnya digunakan untuk mencari kebenaran dengan tulus dan ikhlas. Tanpa semangat golongan atau kumpulan tertentu. Diiringi dengan muslimat, sambil pasrah kepada Allah.
Dalam firman Allah yang lain disebutkan bahawa agama yang benar tidak lain adalah asal kesucian manusia iaitu fitrah. Dalam surah al-Rum, ayat 30, Allah berfirman yang bermaksud:
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. (maksud surah ar-Rum Ayat 30).
Tahun boleh berganti, zaman boleh berubah. Milenium boleh bertukar dari milenium kedua sampai ketiga. Tetapi manusia tetap sama selama-lamanya sesuai dengan disain Allah. Manusia merupakan makhluk yang selalu merindukan kebenaran dan akan berasa tenteram apabila mendapatkan kebenaran itu. Sebaliknya, kalau dia tidak mendapatkannya, akan gelisah.
Jadi menurut firman Allah di atas, agama yang benar ialah kemanusiaan primordial (asal). Primordial ertinya sesuatu yang asli, yang berasal dari pokok atau pangkal. Aidilfitri adalah hari raya untuk merayakan kembali fitrah, setelah kehilangan dan ditemui kembali. Hal itu kerana adanya ibadah puasa.
Quraish Shihab dalam bukunya Membumikan al-Quran berpendapat seseorang beraidilfitri dalam erti “kembali ke kesuciannya” akan selalu berbuat yang indah, benar dan baik. Ini adalah kerana kesucian merupakan gabungan dari tiga unsur tersebut (indah, benar dan baik). Melalui kesucian jiwanya, seseorang akan memandang segalanya dengan positif. Ia selalu berusaha mencari perkara-perkara yang baik, benar dan indah kerana ia akan melahirkan seni; mencari yang baik menimbulkan etika; mencari yang benar menghasilkan ilmu. Dengan pandangan yang demikan ia akan menutup mata terhadap kesalahan, kejahatan dan keburukan orang lain. Kalaupun itu terlihat, selalu dicarinya nilai-nilai positif dalam sikap negatif tersebut.
Perlu ditegaskan bahawa perayaaan Aidilfitri sejati merupakan satu kemenangan secara batiniah atau rohaniah. Justeru itu ia harus direfleksikan di dalam peningkatan kualiti perilaku beragama; keimanan yang bertambah kuat dan ketakwaan yang semakin menebal. Kita renungi syair Arab;
“Bukanlah hari raya Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun hari raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah.”
Sewajarnya juga kesucian lahir dan batin ini menjadi motivasi untuk membentuk kesedaran membantu golongan yang miskin atau tertindas. Dengan kesedaran yang demikian akan membawa kita menjadi manusia yang bertakwa dan mendapat kemuliaan di sisi-Nya.
Dalam kita merayakan Aidilfitri ini setidak-tidaknya ada tiga perkara yang mesti dilakukan iatu,
- Pertama, bertakbir mengagungkan Allah atas segala petunjuk-Nya, sehingga kita tetap berada di jalan-Nya.
- Kedua, bersyukur dengan membahagikan rezeki yang diperoleh dengan membayar zakat fitrah
- Ketiga menahan marah dan saling maaf-memaafkan.
Hal ini sebagaimana diajarkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 185 dan ali-Imran ayat 134: …Mereka yang tetap berderma baik dalam keadaan lapang ataupun sempit dan mereka mampu menahan marah, lagi pula bersifat pemaaf kepada sesama manusia.
Justeru itu, suasana lebaran adalah suasana keilahian dan kemanusiaan. Apa yang lebih penting dari itu ialah melalui semangat Syawal kita terus menperbaiki perilaku peribadi, hubungan dengan orang lain serta hubungan kita dengan Allah.
Perasaan
Demikian Aidilfitri sebagai hari pertama umat Islam pulang dari pengembaraan kerohanian setelah sebulan berpuasa dalam bulan Ramadan. Dalam pengembaraan itu, mereka telah meningglkan semua perkara yang digemari kerana Allah dan membentuk dalam dirinya satu perasaan yang sentiasa memerhati dan menjadikan hati dan iman mereka pengawal yang sentiasa menjaga tingkah laku mereka.
Kemunculan Aidilfitri ini mengakhiri satu perjalanan kerohanian yang memerlukan kesabaran dan limpah rahmat dari Allah dan di sinilah bermulanya perjalanan baru yang menggabungkan roh dan jasad yang perlu dikekalkan sebagai persiapan untuk melaksanakan perjalanan mengerjakan haji kelak.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud:
(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan ibadat haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa juga kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dan keaiban meminta sedekah dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal yang dapat menilai dan memahami).
- Penulis ialah Pengurus Penyelidikan YADIM.
sumber : nurjeehan.wordpress.com
No comments:
Post a Comment