Friday, October 23, 2009

LUMUT BANDAR TENTERA LAUT

Pengisytiharan julang imej bandar kecil yang sinonim dengan aktiviti maritim di Malaysia

SATU ketika dulu, tidak ramai yang mengenali bandar kecil di Perak ini. Terletak kira-kira 84 kilometer (km) dari bandar raya Ipoh, bandar ini asalnya hanyalah sebuah bandar nelayan yang terpencil.

Dari semasa ke semasa, Lumut yang mendapat nama berikutan banyaknya lumut di pantai di bandar itu, semakin dikenali. Kehadiran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berpangkalan di bandar itu dikatakan banyak menyumbang kepada perubahan ini.

Bandar ini semakin berubah rupa dan menikmati pembangunan, tetapi pada masa yang sama, keindahan alam sekitar dan keindahan pantainya dipelihara.

Pada 24 April lalu, sesudah hampir tiga dekad TLDM bertapak di situ, bandar Lumut yang terletak di muara Sungai Dinding mencatat sejarah apabila diisytiharkan sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim, sekali gus menjadikannya bandar pertama di Asia menerima pengiktirafan demikian.

Menerusi pengiktirafan itu, Lumut yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pintu masuk ke Pulau Pangkor, sebaris dengan lapan bandar tentera laut di seluruh dunia seperti Karlsrona, Sweden; Simon’s Town, Afrika Selatan; Portsmouth, United Kingdom; Sydney, Australia; Kiel, Jerman dan Norfolk dan New Port, Amerika Syarikat.

Pengisytiharan itu diadakan bersempena sambutan Keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang ke-81 dan sambutan Jubli Perak (25 tahun) pemerintahan Baginda di Perak serta sambutan Jubli Intan (75 tahun) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Hampir 10,000 orang hadir menyaksikan majlis itu yang disempurnakan oleh Sultan Azlan Shah pada petang 24 April lalu. Kemuncak pengisytiharan bermula kira-kira jam 5.10 petang apabila Baginda menekan suis khas sebelum menarik kain penutup replika sebuah sauh kapal yang ditempatkan di depan pentas utama sebagai gimik kepada pengisytiharan itu.

Baginda turut berkenan memeriksa perbarisan kehormat anggota TLDM sebelum menyaksikan lintas hormat lapan helikopter dan kemudiannya berkenan mengisytiharkan upacara bersejarah itu.

Selain itu, Baginda dan tetamu Diraja yang lain turut menyaksikan demonstrasi menyelamat oleh Pasukan Khas Laut (Paskal) membabitkan bot tempur, bot laju, helikopter dalam misi menyelamat tebusan daripada tahanan lanun di atas sebuah kapal dagang di perairan Selat Dinding, berhadapan Lumut Waterfront.

Turut berangkat menyaksikan detik bersejarah itu adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda, Raja Noor Mahani Raja Shahar Shah.

Acara bersejarah itu turut disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Abdul Aziz menyifatkan pengisytiharan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim menjadi detik yang bersejarah dan tersendiri bukan saja buat bandar berkenaan tetapi turut memberi makna yang tersendiri buat TLDM sesudah hampir tiga dekad bertapak di situ.

Pengisytiharan itu baginya bukan saja menaikkan imej dan nama Lumut di mata dunia tetapi juga sebagai langkah besar ke arah menghargai sumbangan bandar Lumut dan pangkalan TLDM Lumut dalam perkembangan aktiviti maritim di Malaysia selaras dengan status sebagai sebuah negara maritim.

Katanya, bandar Lumut memenuhi tiga kriteria untuk dinobatkan sebagai bandar tentera laut.

Tiga kriteria itu adalah:

  • Lumut dikenali atau diiktiraf rakyat Malaysia sebagai `Rumah TLDM’ (The Home of Royal Malaysian Navy).
  • Lumut menjadi perhatian kapal tentera laut asing, sekali gus meningkatkan reputasi bandar itu sebagai pusat pelancongan ketenteraan.
  • Aktiviti tentera laut dan maritim menyumbang kepada pembangunan Lumut dan meningkatkan tahap sosio ekonomi masyarakat setempat.
"Ia satu penghormatan buat warga TLDM yang memberi sumbangan amat besar terhadap pembangunan dan kesejahteraan bandar Lumut memandangkan 43 peratus daripada 55,800 penduduk Lumut terdiri daripada anggota TLDM dan keluarga mereka.

“Jumlah ini tidak termasuk pesara TLDM," katanya sambil menambah pengiktirafan itu akan menjadikan Lumut lebih membangun dan berkembang pesat selain menjadi warisan sejarah negara untuk generasi akan datang.

INFO: Lumut
  • Lumut adalah sebuah bandar kecil di Perak, terletak 84 kilometer (km) dari Ipoh atau 12 km dari Sitiawan.
  • Lumut adalah pintu masuk ke destinasi pelancongan terkenal, Pulau Pangkor.
  • Bandar ini diberi nama Lumut kerana sejarahnya, satu ketika dulu pantai di bandar yang asalnya bandar nelayan yang terpencil dan tidak dikenali ini, kaya dengan lumut.
  • Lumut dikenali ramai dan membangun selepas ia menjadi pangkalan utama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
sumber : berita harian

1 comment:

itsmewaani said...

Tumpang tanya. Saya ingin membuat kajian mengenai lumut. Di web atau blog manakah yang mempunyai lebih banyak sumber ? Terima kasih