Monday, October 19, 2009

MEMASTIKAN BAHASA MELAYU KEKAL SEPANJANG ZAMAN

KUASA bahasa Melayu tidak pernah tenggelam, sebaliknya terus semarak dan relevan sebagai bahasa ilmu yang ditutur oleh lebih 300 juta insan di seluruh dunia.

Jumlah itu sudah cukup hebat dari segi penguasaan di dunia dengan kedudukan di tangga kelima di belakang bahasa Inggeris yang mempunyai 1.5 bilion penutur, Mandarin (1 bilion), Hindi (700 juta) dan Sepanyol (350 juta).

Jika diimbas kegemilangan bahasa Melayu dalam konteks Malaysia pula, ia sudah diangkat sebagai bahasa ‘lingua franca’ dan ilmu sejak kurun ke-13 yang turut dituturkan oleh pedagang antarabangsa yang berurusan di Melaka dalam bidang perniagaan, menggunakannya sebagai bahasa pengantara.

Pedagang Cina, umpamanya dilaporkan membeli kamus Melayu untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan penduduk di Melaka.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata dengan kehebatan bahasa itu pada peringkat dunia, rakyat di negara ini juga seharusnya berbangga bahasa Melayu terus penting dalam apa juga keadaan.

Katanya, Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri, umpamanya adalah antara penulis yang memartabatkan bahasa Melayu termasuk lahirnya buku Hikayat Raja Pasai yang mempamerkan kemajuan bahasa itu semaju di Eropah.

Justeru, kesungguhan DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu sudah dilakukan dengan giat termasuk memastikan pelbagai urusan dikendalikan dalam bahasa Melayu di kalangan sektor awam dan digalakkan perkara sama di sektor swasta.

Usaha memperkayakan bahasa Melayu juga dilaksanakan dan ketika ini DBP mempunyai istilah dalam bahasa Melayu yang banyak dan cukup dalam pelbagai bidang mencakupi Sains, Matematik, kejuruteraan dan teknologi.

“Setakat ini, kita sudah menerbitkan 41 kamus istilah, 225 daftar istilah dengan keseluruhan lebih sejuta istilah dalam pelbagai bidang.

“Kita juga sudah bukukan 825,495 istilah dalam pelbagai bidang. Bahasa itu sudah ada tata bahasa secara sistematik. DBP sudah menyediakan tata bahasa dewan yang tersusun, sebelum ini dilakukan oleh Pelita Bahasa Melayu, oleh Zaaba dan perbaiki tata bahasa dewan,” katanya.

Termuzi berkata, banyak buku dan jurnal diterbitkan dalam bidang ilmiah, lebih 15,000 cerpen dan novel diterbitkan. Malah, ia juga ada ensiklopedia dalam pelbagai bidang sains, teknologi dan agama. Justeru, pelbagai pihak juga perlu turut membantu menyebar luas dan menerbitkan serta memperbanyakkan penyelidikan dalam bidang lain.

Beliau berkata, sejak 1960 hingga 2002, keistimewaan bahasa Melayu amat hebat dan usaha dilakukan agensi itu sudah menampakkan kesannya, tetapi bermula Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PSMI), maka sudah mengubah persepsi rakyat bahawa kerajaan lebih mengutamakan bahasa Inggeris.

Justeru, keputusan kerajaan untuk mengembalikan semula PPSMI itu ke dalam bahasa Melayu dianggap langkah bijak ke arah memartabatkan semula bahasa kebangsaan itu, pada masa depan.

sumber : berita harian

No comments: