Thursday, December 24, 2009

KEPERLUAN AKTA HALAL DI MALAYSIA

MALAYSIA melangkah jauh ke depan berbanding negara Islam lain apabila berhasrat mewujudkan satu akta khas berkenaan status halal. Ia khusus untuk semua produk yang dipasarkan kepada umat Islam di dalam dan luar negara.

Peruntukan undang-undang berkenaan akan dimaktubkan dalam Akta Halal yang akan digubal pada tahun depan dan bakal menjadi rujukan utama pemain industri halal negara serta global.

Akta yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama itu, antara lain diharap akan menggiatkan lagi pembangunan industri halal domestik serta membanteras masalah pemalsuan sijil halal yang sejak sekian lama terus berleluasa di pasaran produk makanan, perkhidmatan dan sebagainya.

Kadang-kadang isu halal ini telah menimbulkan kegelisahan dan dilema kepada umat Islam memilih produk atau perkhidmatan yang betul-betul suci serta memenuhi kehendak syariah.

Akta berkenaan itu juga nanti diharap bakal menentukan bentuk tindakan dan langkah yang akan diambil terhadap aktiviti penggunaan "sijil halal" yang palsu dan kecuaian pihak tertentu dalam mematuhi peraturan halal. Ini termasuklah peniruan sijil dan ada juga pihak yang memperolehi sijil halal, tetapi tidak mematuhi sepenuhnya keperluan syariah.

Oleh itu, ia memerlukan satu bentuk penguatkuasaan yang sistematik dan berkesan bagi menangani masalah serius ini.

Maka Akta Halal yang akan digubal itu juga diharap dapat memastikan semua produk makanan dan proses penyediaan serta penyeliaan status halalnya dibuat mengikut syariat Islam.

Ketika ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri serta Jabatan Peguam Negara sedang menggubal akta itu yang dijangka siap tidak lama lagi.

Akta itu juga dilihat akan melicinkan penguatkuasaan status halal oleh Jakim terhadap premis-premis perniagaan di seluruh negara.

Ketika ini terdapat beberapa peruntukan undang-undang berkaitan dengan Prosedur Pensijilan Halal seperti Akta Perihal Dagangan 1972; Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan "Halal") 1975; Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975; Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan "Halal") 1975 misalnya memberikan takrif berhubung dengan perbahasaan "Halal", "Ditanggung Halal", "Makanan Islam" atau mana-mana perbahasaan yang membawa maksud sedemikian sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum syarak.

Sementara Seksyen 2 Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan Halal) 1975 pula menerangkan maksud "hukum syarak" ialah Undang-Undang Islam dan Mazhab Shafi'e atau undang-undang dalam Mazhab Maliki, Hanbali atau Hanafi yang telah dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh raja-raja di negeri masing-masing untuk dikuatkuasakan sewajarnya.

Seksyen 3 Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan Halal) 1975 menjelaskan "Halal", "Ditanggung Halal", "Makanan Islam" bererti semua makanan tidak mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang dilarang oleh hukum syarak untuk memakannya atau tidak disembelih mengikut hukum syarak; atau tidak mengandungi sesuatu yang difikirkan sebagai najis mengikut hukum syarak; dan tidak diselia, diproses atau dikilang dengan menggunakan alat yang tidak bebas dari najis mengikut hukum syarak.

Sehubungan itu, sekiranya pihak-pihak terbabit ingkar dan melanggar peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan penalti.

Misalnya, menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], Seksyen 42, Bahagian V (Kesalahan Jenayah), jika mana-mana pihak disabitkan di mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Atas landasan ini, berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada dan Akta Halal yang akan diwujudkan kelak, diharap melahirkan satu mekanisme perundangan yang komprehensif dan mampu memberi impak positif kepada industri halal negara serta dunia.

Inovasi ini akan menjamin hak umat Islam untuk menikmati produk halal lagi berkat agar tidak lagi dibayangi perasaan bimbang dan was-was sepanjang masa.

Tambahan pula, akta berkenaan itu juga dilihat mampu meningkatkan lagi integriti dan imej Malaysia sebagai peneraju dan pemain utama pasaran industri produk halal dunia kelak.

sumber : utusan malaysia

No comments: