|
|
Namun bagi Kumpulan Kebudayaan Sri Rahmat yang berasal dari Kampung Seterpa, Kelantan, mereka membuktikan pepatah 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' bukan sekadar ayat pemanis mulut.
Tepat jam 10 pagi, 20 Oktober lalu, misi untuk mencipta rekod dikir barat terpanjang di dalam kereta api dari Singapura ke Tumpat, Kelantan menjadi kenyataan setelah 15 jam 10 minit kumpulan yang dianggotai 25 pendikir itu bersengkang mata menjayakannya.
Misi yang bermula hasil ilham Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kumpulan Redland itu nyata bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan apatah lagi dikir barat merupakan cabang seni yang terkenal dengan lontaran idea spontan tanpa penyediaan sebarang skrip atau lirik.
"Sesungguhnya semangat dan disiplin tinggi yang membawa kejayaan kepada kumpulan ini," tegas Setiausaha Pemasaran Homestay Seterpa, Azmahnorani Mat Jusoh yang sering bertindak selaku jurucakap kumpulan tersebut.
Kata-kata beliau ada benarnya. Disiplin kumpulan itu nyata tinggi apabila tidak seorang pun di antara ahli kumpulan menolak apabila giliran mereka tiba untuk meneruskan 'perjuangan' yang memenatkan itu meskipun dikejut dari lena seawal jam 3 pagi.
Dan semangat kental pula terlihat apabila ada di antara pemain-pemain kompang dan alat muzik lain mula mengalami kecederaan di tangan dan lutut akibat terlalu lama memukul dan memangku alat itu.
Luka-luka kecil itu kemudiannya ditampal bukan dengan 'plaster' sebaliknya hanya menggunakan 'masking tape' setebal mungkin bagi membolehkan segala kudrat yang masih ada terus diguna untuk menjayakan misi itu.
Azmahnorani memberitahu, ahli kumpulan tersebut sebenarnya terpaksa bertarung dengan keletihan bagi melaksanakan misi tersebut kerana mereka sebelumnya terlebih dahulu membuat 10 persembahan dalam tiga hari berturut-turut di Kota Singa.
"Selama tiga hari di Singapura, kami membuat empat persembahan pada Jumaat disusuli tiga persembahan pada Sabtu dan Ahad sebelum cuba mencatatkan rekod.
"Apa pun, kami telah bertekad untuk tetap menjalankan misi ini. Kini segalanya selesai dan saya bersyukur atas kejayaan ini," katanya ketika ditemui sebaik turun dari tren no 14 Ekspress Timuran yang membawa pendikir sepanjang perjalanan sejauh 780 kilometer dari Woodlands, Singapura ke Tumpat.
Bagi para pendikir, kepuasan jelas terbayang di wajah mereka sebaik misi tersebut diumumkan berakhir oleh Pengurus Pemasaran Unit Pemasaran Strategik Perkhidmatan Bandar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Noordin Kimi apabila roda kereta api berhenti bergerak di stesen kereta api Tumpat.
Sebaik misi berakhir, kepuasan itu digambarkan dengan sorakan serta beberapa lompatan kecil sambil diiringi tepukan gemuruh dari kakitangan KTMB, 12 orang wakil media dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Redland, Datuk Ismail Hassan.
Beberapa kilometer sebelum sampai ke stesen penamat, keadaan sudah mula gamat apabila Ismail secara spontan menghulurkan RM1,000 untuk dikongsi bersama ahli kumpulan itu setelah lagu permintaannya berjudul Minyak Diesel dimainkan kumpulan tersebut.
Ismail yang menyertai 'rombongan' berkenaan dari stesen Tanah Merah hingga ke Tumpat nyata bangga dengan kejayaan anak-anak negeri kelahirannya itu dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang bersejarah.
"Sejarah ini bukan sahaja perlu dibanggakan oleh para pendikir, keluarga mereka serta penduduk kampung tersebut malah turut perlu dibanggakan oleh seluruh rakyat Kelantan kerana kesanggupan mereka berusaha mengangkat martabat seni budaya popular negeri ini," katanya.
Menyingkap perasaan para pendikir, kebanyakan mereka ditemui tidak terlepas dari menyatakan rasa syukur, bangga serta gembira di atas kejayaan menamatkan misi itu.
Apatah lagi, masa yang dicatat sebenarnya terlebih hampir dua jam setelah pada awalnya dijangka cuma mengambil masa empat belas jam.
Bagaimanapun, keletihan bagai tidak terasa buat Mohd. Fairuz Hisma, 26, disebabkan rasa kasih dan cintanya kepada seni budaya Melayu.
Beliau menganggap tugas mengangkat martabat kebudayaan Melayu tidak seharusnya diletakkan di bahu golongan berusia semata-mata tetapi juga perlu didokong oleh golongan muda.
"Kalau bukan kita, siapa lagi yang mahu terus menghidupkan seni ini. Keluarga saya sendiri menggalakkan saya agar menceburi bidang ini kerana ia sekurang-kurangnya dapat mengelakkan saya dari terjerumus ke kancah tidak sihat.
"Saya seronok melakukannya. Bergaul dengan orang lebih tua bukan satu masalah malah ia sebenarnya banyak memberi pengetahuan serta pengalaman kepada saya untuk menempuh kehidupan," katanya.
'Orang lama' di dalam kumpulan itu yang juga anggota kumpulan paling tua, Che Awang Che Ali, 61, pula menganggap usia bukan penghalang baginya untuk terus memperjuangkan seni budaya yang menjadi kebanggaan bangsa sejak ratusan tahun dahulu.
Beliau yang terkenal dengan nama panggilan 'Che Awe minyak diesel' (Pencipta lagu MinyakDiesel) turut mengharapkan lebih ramai anak muda menyedari betapa negara ini kaya dengan budaya yang lebih hebat dari budaya barat yang sering diagung-agungkan.
"Tumpukan pada budaya kita. Dalam budaya kita, ada pelbagai mesej disampaikan, bukan hiburan kosong semata-mata.
"Dikir barat contohnya, mendidik permuafakatan di kalangan anggota selain memberi nasihat kepada pendengar.
"Seni budaya kita yang lain seperti bersilat pula mengajar kita menjadi berani dan berdisiplin. Kenapa perlu kita tolak?," katanya meninggalkan soalan yang penulis sendiri sukar menjawabnya.
sumber : utusan malaysia
No comments:
Post a Comment