Sunday, May 2, 2010

UiTM AMBIL PELAJAR GAGAL MATRIKULASI

SHAH ALAM 29 April - Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia mengambil pelajar-pelajar yang gagal semasa matrikulasi bagi mengikuti program diploma di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pelajar-pelajar berkenaan boleh menggunakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti program tersebut.

Menurut beliau, UiTM akan memperuntukkan 6,000 tempat setiap semester bagi memberi peluang kedua kepada golongan berkenaan termasuklah juga Program Destini Anak Desa.

"Usaha UiTM ini adalah untuk menyelamatkan pelajar-pelajar Melayu pintar yang tercicir dalam matrikulasi selain memberi mereka satu lagi peluang bagi menyambung pelajaran.

"Ini bukan bermakna UiTM mengambil pelajar yang gagal tetapi kesemua pelajar yang diterima masuk ke matrikulasi sebenarnya adalah pelajar-pelajar yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam SPM.

"Ini juga langkah prihatin pihak UiTM bagi memastikan pelajar-pelajar Melayu tidak terus tercicir apabila gagal di matrikulasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mencadangkan agar pengambilan matrikulasi dikurangkan dan hanya mengambil pelajar-pelajar yang berpotensi dan betul-betul layak sahaja.

Selain itu, katanya, pihak matrikulasi sepatutnya memastikan pelajar yang tidak lulus mempunyai alternatif lain bagi menyambung pelajarannya.

Sahol Hamid menjelaskan, sekiranya pelajar di matrikulasi tercicir ia membawa kerugian yang besar dengan membazirkan masa hampir dua tahun.

Oleh itu, katanya, lebih baik para pelajar mengikuti program diploma selepas SPM kerana ia lebih mantap dan lebih mendalam selain program tersebut memberi peluang lebih cerah kepada pelajar melanjutkan pelajaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Sahol Hamid menyatakan UiTM dalam usaha menambah pelajarnya bagi merealisasikan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar pelajar UiTM mencecah 200,000 orang menjelang 2015.

Dengan program-program sebegitu, katanya, dapat membantu pihak UiTM menambah jumlah bilangan pelajar pada 2015.

sumber : utusan malaysia

No comments: