Showing posts with label ALAM. Show all posts
Showing posts with label ALAM. Show all posts

Tuesday, November 3, 2009

LINGKARAN GERGASI ZUHAL




Luas gelung terbesar dalam sistem solar mampu tampung 1 bilion bumi

DUNIA astronomi minggu ini dikejutkan dengan penemuan satu lingkaran gergasi planet Zuhal yang keluasannya mampu menampung kira-kira 1 bilion bumi.

Lingkaran gergasi yang dirakam teleskop angkasa milik Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa), mempunyai ukur lilit kira-kira 36 juta kilometer dan lebarnya pula, 12 juta kilometer.

Ia yang mengandungi debu serta ketulan ais, tidak pernah dilihat sebelum ini dan menjadi satu catatan sejarah tersendiri bidang astronomi selepas penemuan lingkaran pertama Zuhal atau Saturn oleh Galileo Galilei, kira-kira 400 tahun lalu.

Apa yang menarik, penemuan terbaru oleh sepasukan penyelidik Universiti Virginia itu juga yang terbesar pernah ditemui dalam sistem solar atau suria kita.

Digelar ‘Lingkaran bersaiz luar biasa,’ oleh pasukan saintis berkenaan, ia yang merangkumi debu dan partikel, memang cukup besar sehingga boleh meliputi dua bulan penuh di langit jika dapat melihatnya dari Zuhal.



Berbeza dengan lingkaran pertama yang boleh dilihat dengan menggunakan teleskop paling kecil sekalipun, penemuan terbaru cuma boleh kelihatan menerusi lampu infra merah.

Ia kira-kira 10 kali lebih besar berbanding garis pusat Zuhal dan orbit pada jarak lapan juta kilometer dari planet berkenaan. Lingkaran itu kira-kira 2.4 juta kilometer tebal dan 50 kali lebih jauh ke dalam angkasa lepas berbanding lingkaran Zuhal lain sekali gus menjadikannya yang terbesar berbanding lingkaran lain pernah dikaji.

Sehingga kini, lingkaran terbesar dalam sistem solar ialah lingkaran E pada planet Zuhal.

Malangnya, biarpun bersaiz gergasi, lingkaran terbaru itu terlalu pudar untuk dilihat dari bumi.

“Ia sememangnya satu penemuan yang amat menakjubkan dan menarik,” kata saintis astronomi Institut Penyelidikan Southwest di Amerika, John Spencer.

Saintis kelahiran Ireland, Prof Carl Murray, yang juga salah seorang penyelidik utama misi kapal angkasa NASA, Cassini ke Zuhal pada 2004, pula menyifatkan penemuan itu hanya mengiyakan ramalan kertas saintifik kurang dikenali yang dibentangkan 30 tahun lalu.

Prof Murray, salah seorang ketua saintifik dalam misi kapal angkasa NASA, Cassini, yang merakamkan gambar Zuhal dan sistem lingkarannya selama bertahun-tahun, berkata penemuan itu menyelesaikan misteri mengapa salah satu daripada bulan planet itu, Iapetus, gelap di satu sisi dan terang di sisi satu lagi.

“Apabila mendengar mengenainya, saya cuma mengangguk dan berkata ‘ya itu hampir dengan apa yang kita jangkakan’. Bulan yang dinamakan Phoebe ialah sumber material lingkaran.

“Kita berdepan masalah selama 300 tahun apabila hasil pemantauan Cassini menemui Iapetus yang anehnya mempunyai kawasan hemisfera gelap dan cerah” katanya.

Seperti bulan di bumi, Iapetus juga ‘terikat’ dengan Zuhal, menyebabkan bahagian yang berdepan Phoebe akan terkena impak serpihan yang datang daripada bulan berkenaan.

“Kami mempunyai petunjuk mengenai perkara ini daripada kapal angkasa Voyager (yang merakamkan Zuhal dan semua bulannya pada awal tahun 1980-an) tetapi akhirnya menyaksikan dengan imej Cassini yang Iapetus mempunyai beberapa lapisan.

“Teori menyatakan jika Phoebe dilanggar dan serpihannya akan berputar ke arah Zuhal dan bulan pertama akan ditemui ialah Iapetus. Ia semakin jelas sekarang. Kami menjangkakan pasti ada lingkaran. Ia sudah terbukti sekarang,” katanya.

FAKTA: Sistem Solar

  • Merujuk Matahari dan semua objek yang mengorbitnya iaitu planet seperti Utarid (Mercury), Zuhrah (Venus), Bumi, Marikh (Mars), Musytari (Jupiter), Zuhal (Saturn), Uranus, dan Neptun (Neptune), tiga planet kerdil (Pluto, Ceres dan Eris), 170 bulan-bulan yang mengelilingi planet-planet itu dan berbilion objek-objek yang lebih kecil, termasuk asteroid, objek lingkaran Kuiper, komet, meteoroid dan debu angkasa.

    Planet Zuhal
  • Planet keenam dari matahari dan kedua terbesar dalam sistem suria, selepas Musytari. Zuhal, bersama-sama dengan Musytari, Uranus dan Neptun, diklasifikasikan sebagai sebuah planet gergasi bergas.
  • Mempunyai 53 bulan
  • Suhunya -191 darjah Celsius - -130 darjah Celsius
  • Mempunyai kira-kira 53 bulan.

  • sumber : berita harian

    Monday, July 27, 2009

    KAWASAN AIS HILANG!!!

    GAMBAR ini menunjukkan sejumlah ais berada (berwarna putih) di Laut Chukchi dekat Pelabuhan Barrow, Alaska (kiri) pada Julai 2006 tetapi situasi berubah pada Julai 2007 (kanan) apabila ais itu cair dan hilang.


    WASHINGTON - Gambar yang baru ditarik balik daripada kategori rahsia menunjukkan kesan teruk akibat pemanasan cuaca global di Alaska, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

    Imej satelit itu yang disiarkan pada minggu lalu oleh tentera AS menunjukkan sejumlah kawasan ais hilang di Laut Chukchi.

    Gambar itu sebelum ini disimpan dan tidak didedahkan kepada orang ramai ketika AS ditadbir oleh Presiden George W. Bush.

    Bagaimanapun, gambar itu dikategorikan tidak lagi menjadi rahsia beberapa bulan selepas Barack Obama menggantikan Bush.

    Gambar itu merupakan amaran keras bahawa pemanasan global berjaya mengubah rupa bentuk di kawasan Artik.

    Lebih satu juta kilometer ais cair pada musim panas 2007.

    Gambar yang dirakamkan pada Julai 2006 menunjukkan sebuah kawasan ais yang besar dekat Pelabuhan Barrow di Alaska.

    Bagaimanapun, setahun kemudian, kawasan yang diliputi ais itu hilang kerana cair disebabkan cuaca panas.

    "Ia merupakan gambar yang jelas menunjukkan situasi musim panas di Artik," kata seorang pegawai di Pusat Angkasa Lepas Goddard, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Thorsten Markus.

    "Situasi itu menjadi punca kenapa kami berasa amat bimbang," jelasnya.

    Menurut beberapa saintis, kecairan ais itu mengundang bahaya. Sejumlah besar haiwan bergantung pada ais itu seperti beruang kutub dan singa laut untuk hidup. Obama kini mendesak Kongres AS supaya mengambil tindakan bagi menangani isu pemanasan global. Ais itu menjadi penting kerana tanpanya, kawasan laut di Artik akan menjadi panas. Isu pemanasan global menjadi perhatian utama pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin terhadap alam sekitar di Barat. - Agensi

    sumber : kosmo

    FENOMENA GERHANA

    DUA pemandangan berbeza di banda raya Beijing pada pukul 9.36 pagi akibat fenomena gerhana.

    SELALUNYA fenomena gerhana matahari tidaklah mendapat perhatian ramai kerana ia sering berlaku sekurang-kurangnya pada kitaran setiap 18 bulan sekali.

    Namun fenomena tersebut yang berlaku pada Rabu lepas disifatkan luar biasa kerana tempohnya yang panjang iaitu selama enam minit 39 saat di mana matahari terlindung sepenuhnya di sebalik bulan.

    Sebahagian penduduk Asia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari yang paling lama bagi abad ke-21 yang merentasi India dan China bermula dari Mumbai ke Shanghai serta di beberapa kawasan di utara Malaysia.

    Terdapat dua sebab kenapa peristiwa fenomena ini mendapat perhatian dari orang ramai. Pertama adalah kerana tempoh masa gerhana matahari kali ini merupakan yang terlama pernah berlaku. Maka kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh manusia kerana ia hanya dapat dilihat sekali seumur hidup (jika mengambil kira tempoh hayat manusia kurang dari 100 tahun).

    Kedua ia berkait rapat dengan keinginan mengkaji manusia terutama bagi para saintis. Momentum gerhana matahari ini dapat dijadikan sumber data bagi membongkar rahsia matahari, terutama struktur, ledakan, suhu serta fenomena matahari.

    Fenomena ini telah digembar-gemburkan ke seluruh dunia, yang jarang dapat dilihat dalam seumur hidup kerana ia tempoh paling lama merentasi di beberapa kawasan berpenghuni di bumi dan menjadi gerhana bersejarah yang bakal disaksikan oleh jutaan orang.

    "Ia merupakan peristiwa terpenting yang pernah berlaku di sini. Tiada seorang pun dari kami dapat hidup lebih lama untuk melihat peristiwa itu berulang lagi," kata pengurus agensi pakar pelancongan Eclipse City yang berpusat di Jerman, Federico Borgmeyer.
     
    Raksasa

    Sebelum kejadian itu berlaku akhbar utama dan ahli astrofizik Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan tarikh 22 Julai akan berlaku sebuah fenomena raksasa.

    Menurut pakar gerhana, Fred Espenak, jumlah sinaran suria akan menjadi berkurangan apabila bulan berada di antara bumi dan matahari dan telah mengaburkan pancaran sepenuhnya.

    Masa maksimum gerhana itu berlaku adalah selama enam minit dan 39 saat. Peristiwa ini hanya akan berlaku lagi mungkin pada tahun 2132.

    Jarak 'laluan keseluruhan' fenomena itu meliputi sehingga 258 kilometer dan penduduk Gujarat di barat India menjadi orang yang pertama dapat menyaksikan gerhana dalam masa singkat sebelum pukul 6.30 pagi (9.00 pagi waktu Malaysia).

    Fenomena gerhana yang menyebabkan keadaan gelap kemudiannya merentasi India, meliputi sungai Gangga, kota suci Varanasi yang berada di antara utara dan selatan Bangladesh dan Nepal sebelum mengelapkan kebanyakan tempat di Bhutan, melalui tanah besar China dan kemudian melepasi laut di Shanghai.

    Fenomena gerhana itu turut melanda selatan pulau Ryuku, Jepun selepas membelok di tenggara melalui Lautan Pasifik di mana ia akan berada di sana dalam tempoh yang maksimum.

    Bagi kawasan-kawasan yang berada di laluannya, ia akan disinari matahari sebanyak dua kali pada awal pagi kerana bulan melindungi lebih rendah ketika itu dan kemudian perlahan-lahan menyinari bumi sekali lagi.

    Sebanyak 50 peratus atau lebih bagi anggaran dua bilion penduduk yang diliputi sinaran gerhana itu, bermula dari kawasan penggaraman para pe tani di Gujarat hingga ke kawasan gembala Tibet di kaki bukit Banjaran Himalaya.

    Peluang yang datang sekali seumur hidup itu turut menjadi gerhana paling banyak disaksikan dalam sejarah disebabkan laluannya yang meliputi kawasan paling padat dengan penduduk di muka bumi.

    Di Malaysia fenomena gerhana turut dapat disaksikan oleh rakyat negara ini terutama di negeri-negeri utara tanah air. Bagaimanapun penduduk hanya dapat menyaksikan kejadian gerhana matahari dalam bentuk separa dan bukannya gelap secara keseluruhan. Bagi penduduk di Alor Setar fenomena ini berlaku bermula pada pukul 8.45 pagi.

    Ini dapat disaksikan apabila kawasan permukaan matahari ditutupi oleh bulan semasa berlakunya aktiviti gerhana separa.

    Sebelum fenomena ini berlaku cuaca di bandar raya itu kelihatan agak mendung dan selepas aktiviti gerhana berlangsung cuaca bertukar menjadi panas dan mendung semula sebelum hujan melanda pada pukul 11 pagi.

    Namun hujan yang melanda bandar itu disahkan tidak mempunyai kaitan dengan fenomena matahari gerhana oleh Jabatan Meteorologi dan ia hanyalah hujan biasa.

    Menariknya gerhana matahari ini bukan sahaja telah menjerumuskan berjuta-juta penduduk di serata Asia ke dalam kegelapan tetapi ia turut mencetuskan suasana keagamaan, ketakutan mahupun keterujaan di seluruh dunia terutama di India dan China.

    Para penganut Hindu memenuhi kuil-kuil utama di India sejak awal pagi lagi bagi menjalankan tanggungjawabnya sempena fenomena gerhana itu. Namun di sebalik semua keghairahan ini ia turut mencatat sejarah hitam apabila dilaporkan berlaku kejadian tidak diingini semasa gerhana itu berlangsung.

    Seorang wanita terbunuh dalam kejadian rempuhan di kota suci Hindu, Varanasi di mana puluhan ribu penganut agama itu berhimpun di tebing Sungai Gangga sejak subuh lagi.

    Polis berkata, wanita berusia 80 tahun itu pitam semasa pengunjung berasak-asak untuk memasuki sebuah kuil dekat tebing sungai tersebut, kemudian meninggal dunia akibat sesak nafas.

    Kejadian itu mencetuskan panik yang turut menyebabkan lebih 20 orang lain cedera.

    Dalam pada itu stesen rasmi China, Central Television membuat liputan secara langsung tentang peristiwa yang dipaparkan sebagai 'Gerhana Matahari Sungai Yangtze' kerana laluan fenomena itu meliputi lembangan saliran sungai tersebut.

    Penduduk di Shanghai tidak mempedulikan hujan dan cuaca mendung untuk menyaksikan gerhana itu apabila kegelapan mula menyelubungi pusat perdagangan China tersebut pada 9.36 pagi (waktu sama di Malaysia).

    "Sekarang waktu kerja, tetapi kami tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan pemandangan yang begitu menakjubkan. Pengalaman ini sungguh menyeronokkan," kata seorang pekerja di Shanghai, Allen Chen yang keluar ke jalan raya untuk menyaksikan peristiwa itu.

    sumber : utusan malaysia