Showing posts with label IPTA. Show all posts
Showing posts with label IPTA. Show all posts

Sunday, May 2, 2010

UiTM AMBIL PELAJAR GAGAL MATRIKULASI

SHAH ALAM 29 April - Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia mengambil pelajar-pelajar yang gagal semasa matrikulasi bagi mengikuti program diploma di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pelajar-pelajar berkenaan boleh menggunakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti program tersebut.

Menurut beliau, UiTM akan memperuntukkan 6,000 tempat setiap semester bagi memberi peluang kedua kepada golongan berkenaan termasuklah juga Program Destini Anak Desa.

"Usaha UiTM ini adalah untuk menyelamatkan pelajar-pelajar Melayu pintar yang tercicir dalam matrikulasi selain memberi mereka satu lagi peluang bagi menyambung pelajaran.

"Ini bukan bermakna UiTM mengambil pelajar yang gagal tetapi kesemua pelajar yang diterima masuk ke matrikulasi sebenarnya adalah pelajar-pelajar yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam SPM.

"Ini juga langkah prihatin pihak UiTM bagi memastikan pelajar-pelajar Melayu tidak terus tercicir apabila gagal di matrikulasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mencadangkan agar pengambilan matrikulasi dikurangkan dan hanya mengambil pelajar-pelajar yang berpotensi dan betul-betul layak sahaja.

Selain itu, katanya, pihak matrikulasi sepatutnya memastikan pelajar yang tidak lulus mempunyai alternatif lain bagi menyambung pelajarannya.

Sahol Hamid menjelaskan, sekiranya pelajar di matrikulasi tercicir ia membawa kerugian yang besar dengan membazirkan masa hampir dua tahun.

Oleh itu, katanya, lebih baik para pelajar mengikuti program diploma selepas SPM kerana ia lebih mantap dan lebih mendalam selain program tersebut memberi peluang lebih cerah kepada pelajar melanjutkan pelajaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Sahol Hamid menyatakan UiTM dalam usaha menambah pelajarnya bagi merealisasikan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar pelajar UiTM mencecah 200,000 orang menjelang 2015.

Dengan program-program sebegitu, katanya, dapat membantu pihak UiTM menambah jumlah bilangan pelajar pada 2015.

sumber : utusan malaysia

Wednesday, November 4, 2009

STATUS BUMIPUTERA SARAWAK TAK BERLANDASKAN 1 MALAYSIA

Beberapa fasal dalam perlembagaan perlu digubal elak tafsiran berbeza

KETIKA memohon untuk program matrikulasi tahun lalu, pelajar berusia 17 tahun yang berasal dari Sri Aman, Sarawak mempunyai keyakinan dan harapan tinggi bahawa permohonannya akan diterima. Tetapi impian pelajar yang bercita-cita menjadi doktor itu berkecai meskipun dia mendapat 9A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Alasan Kementerian Pelajaran menolak permohonan pelajar cemerlang itu kerana dia tidak memenuhi syarat � dia bukan Bumiputera. Walhal ayahnya ialah Iban yang dipertemukan jodoh dengan wanita Cina yang kini menjadi ibu pelajar itu. Kes Marina Udau, pelajar yang dimaksudkan itu, bukan kekecualian.

Perkahwinan campur bukan sesuatu yang asing di Sarawak, terutama antara Iban dengan Cina. Mengikut banci 2006, ada sekitar 682,000 orang Iban berbanding Cina sebanyak 601,000 orang daripada 2.3 juta penduduk Sarawak. Disebabkan ada sekitar 28 suku kaum di negeri ini, kemungkinan untuk berlaku kahwin campur dengan kaum lain adalah sesuatu yang kerap berlaku, lebih-lebih lagi sesudah dekad 1980-an.

Dalam keluarga besar penulis daripada etnik Melanau, ada yang berkahwin dengan kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Bidayuh, Iban dan Cina. Perkahwinan sesama Bumiputera tidak menimbulkan masalah, kerana anak mereka dianggap Bumiputera. Tetapi yang menimbulkan masalah apabila kaum Bumiputera berkahwin dengan bukan Bumiputera. Anak wanita Bumiputera yang berkahwin dengan lelaki Cina, misalnya akan hilang 'kebumiputeraannya'.

Meskipun demikian, Sarawak mempunyai Jawatankuasa Kabinet Negeri yang bermesyuarat dua kali setahun bagi memutuskan permohonan dan mengesahkan taraf Bumiputera seseorang hasil daripada perkahwinan campur.

Perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan siapa Bumiputera atau kaum peribumi di negara ini. Takrifan atau pengkategorian itu sebenarnya berbeza-beza untuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Pada amnya, di Semenanjung, anak secara automatik menjadi Bumiputera jika bapanya Bumiputera, manakala di Sabah pula, anak ialah Bumiputera jika ayah atau ibunya Bumiputera.

Mengikut perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan, bagi Sarawak, Bumiputera bermaksud 'seorang warga negara dan ia adalah seorang daripada mana-mana suku kaum yang dinyatakan dalam Fasal 7 sebagai kaum asli negeri itu atau ia adalah seorang berketurunan campuran yang berasal hanya daripada kaum-kaum itu.' Hakikatnya, di Sarawak jika ayah ialah Bumiputera, maka anaknya secara automatik dikategorikan sebagai Bumiputera.

Mengikut pengkategorian dalam Perlembagaan Persekutuan, kaum-kaum yang disifatkan sebagai asli bagi Sarawak untuk maksud taraf 'Bumiputera' dalam Fasal (6) ialah Bukitan, Bisaya, Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kedayan, Kelabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang, (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melanau, Murut, Penan, Sihan, Tagal, Tabun dan Ukit.

Disebabkan fasal berkenaan dalam perlembagaan itu digubal pada awal 1960-an ketika Sarawak sama-sama membentuk Malaysia, fasal terbabit tidak menyebut kaum Iban dan Bidayuh. Sebaliknya, perkataan yang digunakan untuk merujuk kaum Iban ialah Dayak Laut, manakala Dayak Darat pula sebenarnya merujuk kepada kaum Bidayuh.

Kini di Sarawak, Murut tidak lagi digunakan; sebaliknya yang digunakan ialah Lun Bawan. Penulis percaya, sebahagian besar daripada rakyat Malaysia di luar Sarawak tidak pernah pun mendengar sebahagian daripada nama etnik yang disenaraikan itu. Etnik minoriti terbabit tinggal di kawasan hulu atau pedalaman dan jumlah mereka rata-rata adalah kurang daripada 10,000 orang.

Kes yang menimpa Marina mendapat reaksi daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik kerajaan dan pembangkang. Semua pihak hairan bagaimana kejadian yang menimpa Marina boleh berlaku. Kalaupun diketepikan kriteria atau kelayakan kaum, pelajar cemerlang seperti Marina seharusnya mendapat tempat.

Adakah begitu ramai pelajar Bumiputera yang mendapat keputusan secemerlang yang dicapai oleh Marina sehingga beliau tidak terpilih kerana keterbatasan kekosongan? Atau kes yang menimpa Marina adalah kerana pihak Kementerian Pelajaran mentafsirkan maksud Bumiputera mengikut perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan untuk anak kelahiran daripada perkahwinan campur?

Jangan sampai pelajar seperti Marina berpendapat bahawa wujud dua kelas Bumiputera di negara ini. Persepsi sedemikian tentu tidak baik untuk masa depan negara ini. Sama seperti kita tidak mahu timbulnya tanggapan bahawa wujud dua kelas rakyat di Malaysia.

Di Negeri Sembilan baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa tidak ada rakyat kelas dua atau satu di negara ini, sama seperti tidak terdapatnya rakyat yang terpencil dan sengaja dipinggirkan.

Ibu bapa yang mengamalkan kahwin campur di Sarawak kini risau akan nasib yang bakal menimpa anak mereka kemudian hari. Bagi golongan ini, taraf sebagai Bumiputera penting dalam menentukan sama ada layak atau tidak seseorang apabila membabitkan dasar kerajaan.

Sebagai Bumiputera, mereka mempunyai keistimewaan yang dijamin di bawah Perlembagaan, sama ada dari segi peluang mendapat pekerjaan, biasiswa, membeli tanah Bumiputera, dan sebagainya. Kebimbangan ibu bapa terbabit memang mempunyai asas kukuh. Jika anak mereka bukan Bumiputera, implikasi dan kesan dari segi psikologi, politik dan sosioekonomi amatlah besar dan mendalam.

Anak mereka tidak akan layak untuk memasuki Tingkatan Enam dan universiti awam jika tidak mendapat keputusan cemerlang, peluang mendapat biasiswa tipis, malah mereka tidak layak membeli Amanah Saham Bumiputera.

Menyedari implikasi politik dan sosioekonomi yang mendalam bagi anak hasil daripada perkahwinan campur antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, mungkin langkah perlu diambil untuk meminda fasal tertentu Perlembagaan Persekutuan atau negeri. Tidak harus wujud tiga tafsiran yang berbeza. Justeru, perlu takrif terbabit diselaraskan bagi mengelakkan kekeliruan.

Sejajar dengan gagasan 1Malaysia dan keinginan kita untuk mewujudkan negara bangsa, adakah keterlaluan jika anak daripada perkahwinan campur antara bukan Bumiputera dan Bumiputera secara automatik diberi status Bumiputera?

Dengan cara ini, kita akhirnya akan dapat menyaksikan masyarakat Malaysia yang benar-benar bersatu padu. Perkahwinan campur antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera perlu digalakkan kerana ini antara langkah terbaik ke arah memantapkan perpaduan kaum di negara ini.

Jika kita ikhlas dalam usaha berkenaan, tembok perbezaan tidak harus diwujudkan. Mengapakah kita perlu 'menghukum' nasib anak wanita Bumiputera yang berkahwin dengan lelaki bukan Bumiputera? Bukan tidak ada wanita Bumiputera berkahwin dengan lelaki Cina yang risau akan nasib menimpa anaknya yang bakal hilang status Bumiputera.

Kini pun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkahwin dengan wanita berbangsa Cina dilaporkan risau mengenai nasib dan masa depan anaknya. Soal jodoh atau dengan siapa seseorang akan mendirikan rumah tangga ialah ketentuan Tuhan.

Jangan hanya kerana ada yang risau akan nasib menimpa anak yang bakal lahir, maka mereka mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hasrat murni mendirikan rumah tangga hanya kerana lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya bukan Bumiputera.

Nasib yang menimpa Marina tidak seharusnya berulang pada masa depan. Sebaliknya, pelajar seperti Marina perlu diberi peluang sama seperti pelajar cemerlang lain. Jika tidak, ini boleh dianggap sebagai peminggiran dan diskriminasi terhadap anak miskin dari luar bandar. Peluang yang diberi terhadap pelajar cemerlang seharusnya buta warna kulit, asal usul dan kaum jika benar-benar kita hendak melangkah ke hadapan sebagai negara dan bangsa yang maju.

Penulis ialah pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

sumber : berita harian

Saturday, October 31, 2009

MERIT MASUK IPTA IKUT GRED BARU

A+ untuk lepasan SPM 2009, kuota markah asas kekal

PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, pengiraan merit untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dan setaraf akan menggunakan penggredan baru.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata perubahan berkenaan selaras pengenalan sistem penggredan baru oleh Kementerian Pelajaran untuk pelajar SPM 2009.


Bagaimanapun, katanya, kemasukan bagi lepasan SPM 2008 ke bawah dan memohon memasuki IPTA tahun depan, penilaian masih gunakan merit sedia ada.

Beliau berkata, kuota markah asas dikekalkan iaitu 90 peratus bagi akademik dan 10 peratus kokurikulum.

Beliau berkata, melalui sistem baru itu, pelajar mendapat A dikategorikan kepada A+, A dan A- dengan merit masing-masing 18 markah, 16 markah dan 14 markah.

Katanya, gred B+ mendapat merit 12 markah, B (sepuluh), C+ (lapan), C (enam), D (empat), E (dua) dan G dengan merit sifar.

Kementerian mengambil kira aspek kesetaraan bagi lepasan SPM 2008 ke bawah yang memohon ke IPTA tahun depan menggunakan kaedah lama iaitu 18 markah bagi gred 1A, 16 (2A), 14 (3B), 12 (4B), 10 (5C), 8 (6C), 6 (7D), 4 (8E) dan 0 (9G).

Pada sidang media di sini semalam, beliau berkata, perbezaan markah merit bagi lepasan SPM 2008 ke bawah dan 2009 tidak timbul kerana majoriti mereka yang cemerlang pada 2008 kini sudah di IPTA.

"Sistem gred A+ digunakan kebanyakan negara maju untuk membezakan pelajar benar-benar cemerlang yang turut memberi kesan kepada beberapa aspek termasuk pemberian biasiswa," katanya.

Dr Radin Umar berkata, permohonan ke IPTA pula dibahagikan kepada aliran Sains dan Sastera masing-masing mempunyai lima subjek utama yang berbeza serta tiga mata pelajaran tambahan terbaik dalam pengiraan merit.

Subjek utama Sains ialah Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi dan satu daripada kumpulan Pengajian Kejuruteraan Awam, Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Reka Cipta, Lukisan Kejuruteraan, Ekonomi Rumah Tangga, Teknologi Maklumat, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi Asas, Sains Pertanian, Pengajian Agro Teknologi atau Pengetahuan Sukan.

Subjek utama aliran Sastera ialah Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Sejarah dan satu daripada kumpulan Pengajian Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan Pengetahuan Moral.

sumber : berita harian