Showing posts with label MISTERI. Show all posts
Showing posts with label MISTERI. Show all posts

Friday, October 23, 2009

SUMPAHAN PUTERI MESIR

Kemarahan mumia punca Titanic karam

DARIPADA semua kisah luar biasa, sumpahan Puteri Amen-Ra yang hidup kira-kira 1,500 tahun Sebelum Masihi dikatakan cerita paling mengganggu dan sukar untuk dijelaskan kerana dipercayai menjadi penyebab kapal paling hebat pernah dibina, Titanic, tenggelam.

Apabila meninggal dunia, mayat puteri itu dimasukkan dalam keranda kayu dan dikebumikan di Luxor, di tebing Sungai Nil.

Sumpahan Amen-Ra bermula pada lewat 1890-an apabila empat lelaki Inggeris yang kaya melawat Luxor dan terdorong membeli keranda mengandungi mumia puteri itu. Mereka saling berlumba meletakkan harga tertinggi dan akhirnya keranda dimiliki salah seorang daripada lelaki berkenaan yang membayar harga sehingga beribu Pound.

Dia membawa keranda itu balik ke hotel penginapannya dan beberapa jam kemudian lelaki itu dilihat berjalan seorang diri ke arah gurun dan tidak pernah kembali lagi ke penginapannya sejak itu. Keesokan hari, salah seorang daripada tiga yang masih ada di hotel itu ditembak secara tidak sengaja oleh pembantu berketurunan Mesir. Tangannya cedera teruk sehingga terpaksa dipotong.

Lelaki ketiga tidak terkecuali menerima nasib buruk sebaik kembali ke tanah air apabila mengetahui bank yang menyimpan wangnya muflis, manakala rakannya yang dulu kaya raya mengalami sakit teruk hilang kerja dan terpaksa menjual mancis di jalanan.

Bagaimanapun, keranda berkenaan tiba di England dan dibeli oleh seorang ahli perniagaan tetapi dia mendermakannya kepada Muzium Britain selepas tiga anggota keluarganya cedera dalam kemalangan jalan raya dan rumahnya dijilat api.

Misteri terus melingkari keranda itu apabila trak yang digunakan untuk mengangkutnya ke muzium tiba-tiba berundur ketika kerja memunggah dilakukan. Ketika diangkat menaiki tangga oleh dua pekerja, seorang daripadanya terjatuh dan patah kaki, manakala seorang lagi, yang sihat, meninggal dunia secara mengejut dua hari kemudian.

Sebaik keranda puteri itu diletakkan dalam Ruang Mesir di muzium itu, masalah lain pula timbul. Penjaga malam muzium melaporkan kerap mendengar suara tangisan dari dalam keranda. Apabila seorang pengunjung mengejek wajah yang dicat pada keranda itu, anaknya meninggal dunia disebabkan campak tidak lama kemudian.

Akhirnya, pihak berkuasa terpaksa memindahkan mumia itu ke bawah tanah dengan harapan ia tidak lagi mencetuskan masalah. Namun, ia tidak menjadi kenyataan kerana dalam masa seminggu, seorang pembantu sakit teruk dan penyelia yang bertanggungjawab memindahkan keranda itu ditemui mati di mejanya.

Seorang jurugambar yang mengambil gambar keranda itu mendapati cat padanya jelas menunjukkan wajah manusia yang menakutkan. Dia kemudian balik ke rumah, mengunci diri dalam bilik tidur dan menembak dirinya.

Kisah paling menarik mengenai sumpahan Puteri Amen-Ra ialah apabila seorang pakar arkeologi yang menganggap apa yang terjadi cuma kebetulan, membayar harga mahal untuk memiliki mumia itu dan mengatur pemindahannya ke New York.

Pada April 1912, pemilik baru mayat Amen-Ra mengiringi keranda itu menaiki kapal persiaran yang akan melakukan pelayaran bersejarah ke New York. Pada malam 14 April, keranda Amen-Ra mengiringi mayat 1,500 penumpang yang tenggelam ke dalam lautan Atlantik apabila Titanic, yang dikatakan tidak akan tenggelam kerana memiliki ciri-ciri keselamatan tercanggih ketika itu, karam selepas terlanggar bungkah ais.

sumber : berita harian

Sunday, October 11, 2009

TERSELAMAT DARIPADA TALI GANTUNG

Pintu perangkap di tempat menggantung pesalah tidak boleh dibuka walaupun percubaan sebelumnya berjaya

BEKAS anggota polis, James Berry, yang bertukar kerjaya menjadi tukang gantung pada 1883 di Yorkshire, England, mendapat mimpi aneh mengenai kerja barunya itu yang kemudian bertukar menjadi kenyataan dan menghantui hidupnya untuk sekian lama.

Dalam mimpi pada malam sebelum hukuman dijalankan, Berry mendapati dia tidak boleh menggantung salah seorang penjenayah di Penjara Carlton, Edinburgh, kerana pintu lubang di bawah tali gantung tidak terbuka.

Pagi berikutnya, segala-galanya berjalan lancar dan dua penjenayah yang dihukum mati dibawa ke tempat penggantungan tanpa sebarang masalah.

Seorang daripada mereka ialah John Lee, 19, yang disabitkan bersalah membunuh bekas ketua dayang yang juga rakan kepada Ratu Victoria, Emma Whitehead Keyse, pada 15 November 1884. Saksi dalam kes itu ialah tukang masak Keyse, Elizabeth Harris, yang juga saudara tiri Lee.

Lee yang mempunyai reputasi sebagai pencuri dan diambil bekerja oleh Keyse kerana simpati mudah dianggap suspek utama pada pandangan polis, di sebalik hakikat Lee cuba memadamkan kebakaran pada malam pembunuhan dan menangis sebaik mendengar Keyse dibunuh.

Polis sebaliknya mendapat gambaran lain dan bukti menunjukkan remaja berkenaan melakukan pembunuhan itu berdasarkan penemuan baju Lee yang mempunyai kesan darah. Lee ditahan dan didakwa membunuh dan ketika perbicaraan, pendakwa menunjukkan cuma dia mempunyai motif melakukan pembunuhan itu kerana sebelum kematiannya, Keyse memotong gaji Lee kerana disyaki mencuri.

Lee membantah tetapi tidak dihiraukan. Juri sebulat suara mendapati dia bersalah dan sejurus sebelum hukuman dijatuhkan, Lee menjerit: “Saya tidak bersalah. Tuhan tidak akan membenarkan saya dihukum bunuh.”

Selepas perbicaraan, khabar angin tersebar menyatakan Elizabeth ditemui melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki di katil Keyse oleh mangsa. Disebabkan panik, Elizabeth menumbuk Keyse yang membawa kepada kematiannya.

Harris dan kekasihnya dikatakan membawa mayat Keyse ke bilik makan dan cuba menyembunyikan pembunuhan dengan memukul tengkorak mangsa untuk menampakkan ia dilakukan seorang pencuri.

Menyedari polis tidak mudah diperbodohkan Elizabeth menyimbah setin minyak tanah ke atas mayat dan membakarnya, dengan harapan kebakaran menjadikan punca kematian Keyse sukar ditentukan.

Bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya kerana Lee terhidu bau asap dan berlari ke tempat kebakaran dengan sebaldi air untuk memadamkan api. Ketika Lee sibuk memadamkan kebakaran, Elizabeth dan kekasihnya meletakkan tin minyak tanah di tempat kerja Lee.

Pada malam hukuman ke atasnya bakal dijalankan, Lee tidur dengan nyenyak tetapi bermimpi sesuatu yang aneh. Lee bermimpi dia berdiri di tempat gantung dengan talinya sudah berada di lehernya tetapi pintu di bawah tempat dia berdiri tidak terbuka. Lee terjaga daripada tidur dan berasa Tuhan memberi jaminan kepadanya supaya tidak bimbang kerana dia tidak akan mati di tali gantung.

Pada pagi Isnin, 23 Februari 1885, Berry membawa Lee ke tengah tempat gantung, dan mengikat kedua-dua kaki Lee di bawah lutut, sebelum mengetatkan tali di lehernya. Berry turut menyarungkan kain putih di kepala Lee.

Kematian cuma sedetik daripada Lee tetapi apa yang mengejutkan orang ramai ialah pintu di bawah tempat Lee berdiri tidak terbuka. Mimpi Berry dan Lee menjadi kenyataan ketika itu.

Berry gementar. Dia menanggalkan sarung kepala dan tali gantung daripada Lee dan menguji pintu perangkap itu dengan beg pasir seberat berat badan Lee. Ia terbuka dan beg pasir itu terhumban ke tanah. Lee ditempatkan di atas pintu perangkap itu sekali lagi dan kali ini semua saksi pasti hukuman berjaya dilaksanakan.

Sekali lagi keadaan mengejutkan orang ramai apabila pintu perangkap itu tidak terbuka. Berry berbincang dengan jurutera penjara dan seorang tukang kayu untuk memperbetulkan pintu perangkap itu. Ujian menggunakan beg pasir sekali lagi berjaya.

Lee diletakkan di atas perangkap itu untuk kali ketiga. Berry menarik nafas panjang dan menarik tuil sekuat mungkin tetapi sekali lagi Lee berdiri tenang di atas pintu perangkap yang enggan terbuka. Paderi yang menyaksikan kejadian itu pengsan.

Ketika itu diputuskan mesej perlu dihantar ke London untuk memberitahu Setiausaha Dalam Negara mengenai apa yang berlaku. Sembilan jam kemudian, penghantar utusan tiba dari London untuk memberitahu hukuman Lee diringankan kepada penjara seumur hidup. Lee dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 20 tahun.

Dia dibebaskan pada 1905 dan mengahwini kekasihnya yang setia menunggu. Mereka berpindah ke Amerika Syarikat dan menetap di negara itu sehingga kematiannya pada 1993. Lee, lelaki yang tidak boleh digantung, bersumpah dia bukan pembunuh.

Setiap kali ditanya apa yang difikirkan terselamat daripada tali gantung sebanyak tiga kali, Lee berkata, ia bukan kerana nasib atau kegagalan mekanikal sebaliknya campur tangan sesuatu yang suci.

sumber : berita harian online

KERANDA CARI JALAN PULANG

Roh pelakon tidak tenang selagi tidak disemadikan di kampung asal


CHARLES Coghlan dilahirkan di Pulau Prince Edward, di pesisiran pantai timur Kanada pada 1841 dalam keluarga pendatang Ireland yang miskin. Sebaik mencecah usia persekolahan, jiran Coghlan mengutip sumbangan untuk menghantarnya bersekolah di England.

Coghlan menunjukkan kecemerlangan ketika di bangku sekolah dan berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah. Dia, bagaimanapun menaikkan kemarahan bapanya apabila menyuarakan hasratnya menjadi pelakon.

Bapanya yang menentang keras keinginan itu memberi kata dua kepada Coghlan - lupakan bidang lakonan atau jangan menjejakkan kaki lagi di rumah mereka. Coghlan memilih untuk meneruskan cita-citanya, meninggalkan rumah dan berjanji tidak akan kembali ke Pulau Prince Edward lagi.

Coghlan nyata membuat pilihan kerjaya tepat kerana menjadi pelakon berjaya, dengan lakonannya selalu mendapat pujian penonton.

Satu hari, Coghlan melawat seorang tukang tilik dan wanita gipsi itu memberitahu sesuatu yang membuatkan Coghlan amat mengingatinya. Dia berkata: “Charles, awak akan menjadi amat terkenal tetapi akan mati di kemuncak kemasyhuran. Roh awak tidak akan tenang sehingga awak dikembalikan ke tanah kelahiran awak.”

Coghlan amat terganggu dan kagum dengan ramalan itu, dan kerap mengulangi perkara itu kepada rakannya dalam setiap perbualan tetapi mereka menyifatkan ia karut.

Petanda awal ramalan tukang tilik itu menjadi kenyataan ialah pada 1898 apabila Coghlan meninggal dunia secara tiba-tiba di atas pentas ketika melakonkan watak Hamlet di Galveston, Texas. Ketika itu, lakonan Coghlan mendapat pujian hebat pengkritik teater dan memang benar, dia meninggal dunia pada kemuncak kemasyhurannya.

Minggu berikutnya, Coghlan dikebumikan di tanah perkuburan Galveston. Dua tahun kemudian, taufan dahsyat melanda Galveston dan mengorbankan 6,000 orang serta memusnahkan tanah perkuburan tempat Coghlan disemadikan.

Pagi berikutnya, pihak berkuasa mendapati beberapa keranda dihanyutkan oleh taufan itu ke laut dan salah satu keranda itu mengandungi mayat Coghlan. Apabila keluarga Coghlan dimaklumkan mengenai tragedi berkenaan, mereka menawarkan ganjaran lumayan kepada sesiapa saja yang berjaya menemui keranda itu tetapi tiada siapa tampil berbuat demikian.

Pada Oktober 1908, kira-kira lapan tahun selepas taufan melanda Galveston, beberapa nelayan di Pulau Prince Edward menemui sebuah keranda besar terapung dipukul ombak ke pantai kepulauan itu. Menurut kepingan perak yang terlekat padanya, ia adalah keranda Charles Coghlan yang hilang sekian lama.

Keranda itu melakukan perjalanan beribu-ribu kilometer dari tanah perkuburan Galveston untuk tiba di tanah kelahiran Coghlan, seperti yang diramalkan tukang tilik 10 tahun sebelum itu.

Sehingga kini ia kekal sebagai misteri dan menjadi salah satu daripada cerita benar paling pelik dalam sejarah.