Masyarakat Islam perlu turut serta mengekang pencerobohan Zionis di bumi Palestin
PELAMPAU Zionis tidak akan berhenti menceroboh Masjid al-Aqsa sehingga cita-cita mereka menguasai, seterusnya merobohkan masjid terletak di tanah suci ketiga umat Islam untuk digantikan dengan kuil Yahudi itu tercapai.
Pencerobohan pada 27 September lalu bersamaan hari sambutan upacara suci agama Yahudi, Youm Kippor, menggambarkan tekad melaksanakan pelan yang disusun atur bagi membolehkan mereka menjajah al-Aqsa.
Kejadian terbaru, pihak berkuasa Israel menyerbu masuk ke perkarangan Masjid al-Aqsa kelmarin, menembak gas pemedih mata dan memancut air untuk menyuraikan ratusan rakyat Palestin yang didakwa melempar batu ke arah mereka.
Pengarah Yayasan al-Quds, Igshaan Hendricks, berkata usaha berterusan sejak 1967 itu sepatutnya menyedarkan umat Islam seluruh dunia bahawa mereka tidak boleh berdiam diri dengan tekanan yang dikenakan pelampau Zionis terhadap rakyat Palestin.
Katanya, tanggungjawab mempertahankan tanah suci umat Islam itu bukan tanggungjawab rakyat tempatan saja sementara masyarakat dunia hanya melihat apa yang berlaku tanpa usaha tegas untuk menghentikan pencerobohan Masjid al-Aqsa.
Igshaan Hendricks |
"Sejak bertahun-tahun kita mewarisi masjid itu tiba-tiba ada orang datang mengatakan ia bukan hak kita lagi. Apakah kita akan mendiamkan diri dan berserah begitu saja. Dalam hal ini kita kena faham bahawa kita tidak boleh berlembut dengan orang yang hendak merampas hak kita.
"Matlamat mereka ialah memusnahkan Masjid al-Aqsa tetapi itu mustahil dan mereka juga tahu. Namun, mereka tidak pernah putus asa bagi mencapai hasrat itu," katanya kepada jemaah Masjid Tengku Kelana Putera, Kelana Jaya, baru-baru ini.
Beliau yang menyampaikan ceramah bertajuk 'Perancangan Penjajahan: Untuk Membahagi Dua al-Aqsa' berkata, idea untuk menguasai masjid itu juga didorong kejayaan diraih di Masjid Ibrahim yang kini sebahagian kecil dikuasai Yahudi.
Masjid Nabi Ibrahim terletak di kota al-Khalil (Hebron), Tebing Barat, dibahagikan kepada dua bahagian iaitu di sebelah barat menempatkan makam Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Sarah, manakala di sebelah timur menempatkan makam Nabi Ishak dan isterinya, Lea.
Lokasi makam Nabi Ibrahim dimiliki Yahudi sementara bahagian makam Nabi Ishak untuk orang Islam bagi menjaga sentimen dua kaum yang mengakui kerasulan Nabi Ibrahim.
Persetujuan itu menyaksikan bagaimana kawasan kuil Yahudi diperbesarkan dan kawasan Masjid Ibrahim atau kawasan solat orang Islam semakin mengecil. Lebih parah lagi, bilangan tentera rejim Zionis yang mengawal kawasan masjid dan makam itu, semakin bertambah.
Pada ceramah itu juga Igshaan menunjukkan gambar rajah kedudukan Masjid al-Aqsa dan pergerakan pelampau Zionis yang sentiasa berusaha untuk menceroboh masuk ke masjid itu melalui pintu Burak (lokasi Nabi Muhamad SAW menaiki Burak untuk meneruskan perjalanan Isra' Mikraj).
Bagaimanapun, sehingga kini mereka tidak berjaya disebabkan kesungguhan rakyat Palestin mempertahankan pintu masuk penting itu.
Beliau turut mengingatkan jemaah mengenai cubaan pernah dilakukan untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa termasuk tindakan lelaki Yahudi Australia, Michael Dennis Rohan yang membakar masjid itu dan memusnahkan Mimbar Salahuddin al-Ayyubi.
Pada peristiwa 21 Ogos 1969, pelampau Yahudi itu menyalakan api di dalam Masjid al-Aqsa untuk membakar hangus masjid dan sekali gus memusnahkannya. Api yang marak membakar hampir memusnahkan keseluruhan bangunan Masjid al-Aqsa.
Kesan pedih pembakaran Masjid al-Aqsa pada 1969 masih terus dirasai dunia Islam sehingga ke saat ini. Pada 27 Januari 1982, sekelompok Yahudi radikal berjaya masuk ke Masjid al-Aqsa untuk membakarnya sekali lagi, namun usaha mereka berjaya dipatahkan.
Kemudian pada 14 Januari 1989, beberapa orang anggota (Parlimen) Knesset Israel masuk ke Masjid al-Aqsa dengan kawalan ketat pasukan rejim Zionis Israel dan di dalam masjid itu mereka membaca kitab suci agama Yahudi mereka.
Seterusnya pada September 2000, bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, dengan kawalan tentera rejim Zionis Israel melakukan kunjungan ke Masjid al-Aqsa dan masuk ke dalam masjid itu. Beliau mengatakan lawatan itu adalah hak rakyat Israel melawat sebahagian dari tanah negara mereka. Kunjungan tokoh pengganas Sabra dan Shatila itu menyebabkan tercetusnya Intifada al-Aqsa (kebangkitan rakyat Palestin).
Kini, masih ada ribuan lagi anggota kelompok pengganas Zionis dan Yahudi radikal yang tidak mengenal erti putus asa untuk menceroboh seterusnya merobohkan Masjid al-Aqsa bagi meneruskan projek membina kuil Yahudi dikenali sebagai 'Solomon Temple' atau Haikal Sulaiman di dataran Baitulmaqdis itu.
Justeru, menurut Igshaan, isu pencerobohan Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis adalah kemelut yang menyedihkan apabila 1.5 bilion umat Islam tidak boleh bersatu padu mengalahkan musuh daripada menduduki kota suci itu.
Katanya, selain menjadi kiblat pertama umat Islam, Masjid al-Aqsa menjadi saksi peristiwa bersejarah Isra' iaitu persinggahan perjalanan Nabi Muhammad dari Makkah sebelum dinaikkan ke ruang angkasa (Mikraj) dan menerima perintah solat wajib lima waktu.
"Kesucian dan kepentingan Masjid al-Aqsa kepada umat Islam tidak dapat dipertikaikan. Oleh itu, adakah kita akan membiarkan usaha zalim terus menerus Zionis yang ingin melenyapkan al-Aqsa dari muka bumi ini.
"Menjadi kewajipan untuk memahami isu ini, menjelaskannya dan mengajak umat Islam turut serta dalam agenda memperjuangkan kesucian al-Aqsa. Ia akan menjadi 'aib' kepada umat Islam jika Zionis dapat menguasai Masjid al-Aqsa," katanya.
Sementara itu katanya, bagi Zionis, misi mereka akan lengkap apabila dapat mendirikan ibu negara dan kuil, selagi mimpi itu tidak menjadi kenyataan umat Islam terutama rakyat Palestin akan terus berdepan cubaan demi cubaan untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa.
sumber : berita harian
2 comments:
Utk makluman saudara Aliff, berlaku kesilapan di pihak berita harian ketika memasukkan gambar masjidil aqsa dlm ruangan 'Penjajahan Al-Aqsa Tak boleh Dibiarkan'. Gambar dalam ruangan tersebut sebenarnya adalah gambar 'Kubbatus Sakhrah' atau 'Dome Of The Rock'. Saya telah menghubungi pihak berita harian berkenaan kesilapan ini, dan pihak berita harian akan berusaha membuat pembetulan RALAT sekiranya keadaan mengizinkan. Mungkin saudara boleh membuat semakan pada website atau buku berkaitan wajah Masjidil Aqsa yang sebenar. Tahniah atas keprihatinan saudara memasukkan entri isu Palestin ke dalam blog saudara.. Terima kasih.
terima kasih atas teguran tersebut. gambar tersebut telah pun dikeluarkan daripada blog ini.
Post a Comment