Tuesday, July 28, 2009

DISEKAT MASUK KELAS ?

murid-murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang terpaksa belajar di padang perhimpunan sekolah di Klang, semalam.

KLANG 27 Julai - Seramai 58 murid- murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang di sini terpaksa belajar di bawah matahari terik apabila disekat daripada memasuki kelas di surau berhampiran kawasan itu pagi ini.
 
Keadaan itu berlaku apabila jawatankuasa penduduk kawasan tersebut mengarahkan agar Surau Assaudin tempat mereka belajar dikosongkan atas alasan mahu mengaktifkan kembali jemaah di situ.

Hampir dua tahun lalu, surau tersebut dijadikan kelas KAFA sementara menunggu bangunan dua kelas yang dibina oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerima Sijil Layak Menduduki (CF) daripada pihak berkuasa tempatan.

Wakil ibu bapa, Azman Hashim melahirkan rasa kesal dengan tindakan jawatankuasa tersebut lebih-lebih lagi dengan alasan yang dilihat sengaja diada-adakan.

Jelas beliau, JAIS memang sudah mengarahkan surau itu ditutup kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan masjid baru yang dibina di kawasan tersebut.

''Atas alasan itu jugalah JAIS membenarkan surau berkenaan digunakan oleh murid KAFA sehingga bangunan baru dapat digunakan.

''Dalam mesyuarat bersama jawatankuasa baru-baru ini, saya telah minta menangguhkan dahulu pengambilalihan surau kerana bangunan baru KAFA masih belum dapat diduduki tetapi mereka tetap berkeras dengan keputusan sedemikian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Azman, ekoran keputusan itu, pihaknya terpaksa mengeluarkan segala peralatan pembelajaran termasuk kerusi dan meja ke padang perhimpunan dan kantin KAFA bagi membolehkan dua sesi kelas diteruskan iaitu pukul 7.30 pagi dan 2 petang.

Malah, murid juga dilihat terpaksa duduk di kawasan lapang bertar serta berbumbungkan langit ketika menikmati makanan sewaktu rehat sesi pagi ini.

Sementara itu, bapa pelajar, Nordin Husman memberitahu, jawatankuasa penduduk tidak seharusnya mengambil keputusan sedemikian yang disifatkan tidak mengambil kira kepentingan murid.

''Saya ada dua orang anak belajar di sini, bangunan kelas baru belum siap tiba-tiba mereka mahu mengambil alih surau yang menjadi kelas sementara.

''Sepatutnya mereka bersabar, beri tempoh sehingga bangunan baru itu siap sepenuhnya baru boleh hendak ambil alih atau sebagainya. Ini tidak, sehingga anak- anak kita terpaksa belajar di luar hari ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah JAIS, Datuk Muhammed Khusrin Munawi ketika dihubungi di sini memberitahu, pihaknya akan menghantar wakil bagi membincangkan perkara itu dengan jawatankuasa penduduk kawasan berkenaan.

Katanya, keadaan sedemikian tidak seharusnya timbul kerana JAIS sebelum ini telah membenarkan surau itu digunakan sebagai kelas sementara untuk murid KAFA bukannya bagi tujuan lain termasuk kegunaan para jemaah.

''Saya tidak faham dengan masyarakat Islam hari ini kerana bertindak tanpa bertimbang rasa. Saya tidak menjangka jawatankuasa penduduk mahu surau itu dikosongkan kerana ada di antara murid-murid itu anak mereka juga," ujarnya.

sumber : utusan malaysia

No comments: