Monday, July 27, 2009

MALAYSIA VS MU

TERNYATA perlawanan kali kedua antara kelab Mancheser United dan pasukan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Isnin lalu membawa sejarah dan kenangan manis kepada saya.

Jika tidak kerana perlawanan ulangan itu, tidak mungkin saya bertemu dengan legenda bola sepak England, Sir Bobby Charlton dan pegawai-pegawai kanan kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Perlawanan itu juga menemukan kami iaitu pegawai-pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang kali pertama muncul dalam mana-mana pertandingan antarabangsa selepas meletakkan jawatan sebelum pemilihan jawatankuasa baru 2007.

Saya juga berkesempatan bertemu Tun Daim Zainuddin, seorang peminat setia bola sepak yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu.

Sempat juga saya bergurau dengan Daim, sambil bertanya sama ada beliau berminat membeli mana-mana kelab EPL seperti berita kononnya ada jutawan Malaysia yang berminat membeli kelab Newcastle United, dan bekas Menteri Kewangan itu hanya tersenyum.

Apa pun, hasil dua perlawanan itu jelas menunjukkan skuad negara masih ada harapan pergi jauh, jika pemain-pemain muda diberi pendedahan sebanyak mungkin dalam perlawanan antarabangsa. Kita perlu terima hakikat hanya dengan pendedahan sedemikian, pemain-pemain negara boleh peroleh pengalaman dan kemahiran berguna serta mampu bersaing dengan mana-mana pemain di pentas antarabangsa.

Ini terbukti dengan kejayaan pemain-pemain negara miskin seperti Afrika yang kini ramai yang mendapat pendedahan ketika bermain dalam kelab-kelab di Eropah sama ada di England, Sepanyol, Perancis dan Itali.

Jika betul kelab Newcastle bakal dimiliki rakyat Malaysia, saya pasti ramai pemain negara yang akan berkesempatan mendapat pendedahan di Liga Inggeris yang ramai pemain antarabangsa beraksi di sana.

Ketika bekas Perdana Menteri Thailand, Taksin Shinawatra memiliki kelab Manchester City, beliau bukan sahaja mengaut keuntungan, tetapi, pemain-pemain negara jiran itu juga mendapat kesempatan mencuba nasib mereka dengan kehebatan EPL.

 Daim juga sependapat dengan pandangan itu. Jikapun masalah penaja, saya percaya ianya boleh dibincangkan dengan ahli-ahli koporat yang berjaya di luar negara yang mungkin mempunyai perhubungan dengan mana-mana kelab.

Sementara itu, ada juga yang berpendapat agar kelab-kelab ternama yang lain diberi peluang beraksi di Malaysia. Jika tidak silap saya, suatu ketika dahulu Kementerian Pelancongan ketika Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir menjadi menterinya, ada mengumumkan rancangan membawa masuk kelab-kelab seperti Inter Milan, Juventus, Barcelona, Real Madrid dan Bayern Munich ke negara ini, tapi nampaknya ia belum menjadi kenyataan.

sumber : berita harian

No comments: