Monday, July 27, 2009

TAIPEI 101

MAJALAH Newsweek menggelarnya satu daripada Tujuh Keajaiban Terbaru Dunia. Discovery Channel pula mengiktirafnya sebagai antara Tujuh Keajaiban Kejuruteraan.

Mengapakah bangunan tertinggi dunia, Taipei 101 digelar sedemikian? Sedangkan secara umumnya, bangunan pencakar langit sememangnya perlu dilengkapi ciri-ciri kritikal bagi menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk ancaman cuaca seperti angin kencang, taufan juga gempa bumi.

Ketinggian luar biasa mercu tanda Taiwan yang mencecah 509.2 m (secara rasminya 508 m) digabungkan dengan unsur persekitaran dan ancaman cuaca. Ia memerlukan inisiatif rekaan, teknologi dan inovasi tercanggih, setimpal dengan kemajuan teknologi dan kehebatan skala projek gergasi itu.

Maka pada sekitar 1998, para perancang projek berkenaan mula merangka pelan membina struktur yang mampu menahan angin kencang selaju 216 kilometer sejam (km/j) mahupun gempa bumi terkuat yang mungkin berlaku dalam tempoh 2,500 tahun lagi.

Bagaimanapun, struktur Taipei 101 yang merampas 'takhta' bangunan tertinggi dunia daripada Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur itu pernah berdepan ujian yang cukup getir sewaktu kerja-kerja pembinaannya masih giat dilaksanakan.

Tanggal 31 Mac 2002, gempa bumi sekuat 6.8 pada skala Richter menggegarkan bandar Taipei dan bangunan sekitarnya bergoncang bagai kotak-kotak kosong.

Meragut nyawa

Impak gegarannya terlalu kuat sehingga dua buah kren terjatuh dari tingkat 56 (ketika itu tingkat tertinggi) dan meragut nyawa lima pekerja dalam insiden tersebut.

Namun pemeriksaan susulan tidak lama selepas itu mendapati tidak ada sebarang kerosakan struktur pada bangunan dan kerja pembinaan diteruskan kembali seperti biasa.

Meskipun dibuka kepada umum pada 31 Disember 2004, puncak menara Taipei 101 sebenarnya telah mencecah ketinggian penuh pada 9 Oktober 2003.

Bagaimanapun rekod itu berjaya diatasi oleh Burj Al-Arab sebaik tingkat 141 bangunan tersebut siap dibina pada 21 Julai 2007.

Namun sehingga artikel ini ditulis (Julai 2009), gelaran 'bangunan tertinggi dunia' masih dipegang Taipei 101. Burj Al-Arab, Dubai dijangka hanya menerima gelaran itu sebaik ia siap sepenuhnya September ini.

Persoalannya, bagaimanakah struktur yang pada masa ini dikatakan bangunan beroperasi penuh tertinggi di muka bumi, setinggi 101 tingkat dan sering berdepan risiko bencana alam ini dijamin keteguhannya?

Lebih-lebih lagi apabila kerap dilanda badai taufan maksimum selaju 60 batu sesaat (197 kaki sesaat atau 216 kilometer sejam) yang menyamai kekuatan taufan kategori 4. Atau adakah ia mampu menghadapi taufan kategori lebih buruk mahupun gempa bumi yang pernah melanda Taipei sebelum ini?

Ketika melihat sendiri mercu tanda Taipei yang berdiri megah di daerah Xinyi itu, rombongan penulis disambut dengan patung-patung maskot berkepala dan badan bulat.
"Mungkin ikon kartun kegemaran Taiwan agaknya," kami berfikir-fikir sendiri.

Rupa-rupanya, maskot comel berwarna kuning dengan belang hitam (seperti lebah) dengan mata berbentuk segi empat tepat menegak dan mulut hitam bulat dikenali sebagai Damper Baby itu melambangkan teknologi sistem peredam jisim setala (tuned mass damper) terbesar di dunia.

Dipanggil Super Big Wind Damper, peredam seberat 900 tan yang bertujuan menangkis gegaran akibat gempa bumi dan pergerakan bangunan akibat taufan itu boleh dilihat sendiri oleh para pengunjung dari aras restoran dan dek pemerhatian di tingkat 88.

Dicipta oleh Thornton-Tomasetti Engineers dengan kerjasama Evergreen Consulting Engineering, ia terdiri daripada sfera gergasi menyerupai batu ladung (pendulum) seberat 660 tan metrik, dibina dengan anggaran kos NT$132 juta (RM14.3 juta).

Tergantung dari tingkat 92 ke 88, batu ladung gergasi itu dikawal menggunakan sistem sokongan bampar untuk menyerap pergerakan sama ada secara bergoyang (sway) atau berpusing yang boleh mengakibatkan tingkat atas bangunan tersebut bergerak secara berbahaya.

Sfera yang merupakan peredam berbentuk sfera terbesar di dunia, terdiri daripada 14 plat besi bulat - setiap satunya setinggi 125 milimeter (mm), dikimpal bersama untuk membentuk sfera berdiameter 5.5 meter.

Dua lagi tuned mass dampers setiap satunya seberat 6 tan metrik diletakkan pada puncak menara. Ini mampu mengelak kerosakan struktur akibat bebanan tiupan angin kencang.

Struktur gagah, fleksibel

Seperti namanya, struktur pencakar langit setinggi 101 tingkat dan lima aras bawah tanah itu banyak menggabungkan gaya pasca-moden yang merangkumi elemen reka bentuk Asia di samping aspek seni bina moden antarabangsa.

Reka bentuknya seakan-akan pagoda tradisional China dengan podium tinggi sebagai asas, menjulang lapan tingkat, lapan aras bangunan (nombor yang sinonim dengan pertumbuhan makmur) dengan mercu menara yang runcing dan puncaknya.

Dinding kaca biru-hijaunya yang boleh dilihat dari jauh pula disadur dua kali ganda, menawarkan perlindungan terhadap cuaca panas dan sinar ultra ungu (UV) serta mampu menahan impak sekuat tujuh tan metrik.

Keunikan reka bentuk struktur bangunan itu diilhamkan oleh arkitek tempatan, C.Y. Lee & Partners yang bukan sekadar indah dipandang malah berjaya mencapai sasaran kegagahan dan fleksibiliti melalui pengunaan binaan besi keluli berkuasa tinggi.

Sebanyak 36 tiang menjadi penyokong Taipei 101, termasuk lapan tiang mega dipadatkan dengan konkrit padu (10,000 psi).

Kombinasi ciri-ciri keselamatan dan kekukuhan asasnya menjadikan bangunan tersebut sebagai antara yang paling stabil pernah dibina oleh manusia.

Substruktur Taipei 101 juga diperkukuhkan dengan 380 cerucuk ditanam sedalam 80 meter ke dalam tanah, meliputi sejauh 30 meter ke batuan dasar.

Lif terpantas dunia

Taipei 101 merupakan struktur yang digunakan untuk pelbagai tujuan. Seperti premis jualan di tingkat satu hingga empat, pusat kesihatan di tingkat lima dan enam; pejabat (tingkat tujuh hingga 84), restoran (86 - 88), dek pemerhatian (89, 91 dan 101) dan kemudahan komunikasi (92 - 100).

Bagi memudahkan pergerakan para pengunjung dan komuniti pekerja di bangunan tersebut, sebanyak 61 buah lif termasuk lif dua tingkat.

Tetapi pada 15 Disember 2004, Toshiba Elevator & Building Systems Corp., memasang dua buah lif berkelajuan tinggi yang mampu bergerak sepantas 1,010 meter seminit pada kelajuan maksimum. Ini bermakna, ia mampu membawa penumpang dari Tingkat B1 ke 89 hanya dalam tempoh 39 saat.
Lif berkenaan juga bergerak selaju 600 meter seminit dalam perjalanan turun (60.6 km/sj) dan diakui oleh Rekod Dunia Guiness 2006 sebagai lif terpantas di dunia ketika ini.

Menariknya, kakitangan yang menjaga lif boleh bertutur dalam Bahasa Jepun, Inggeris, Mandarin dan Arab sambil mengalu-alukan kedatangan mereka dan memberikan penerangan ringkas mengenai lif berkenaan.
Sepanjang 'perjalanan' selama kira-kira 37 saat itu juga, lampu di dalam lif akan dimalapkan dan muncul 'bintang-bintang' berkelipan pada bumbung, mewujudkan suasana malam yang gemilang membuatkan kita lupa berada dalam sebuah lif bergerak laju.

Lif terpantas dunia itu turut menawarkan teknologi baru seperti;

1. Sistem kawalan tekanan pertama di dunia yang mengawal tekanan atmosfera dalam lif untuk mengelak telinga tersumbat.
2. Sistem kawalan aktif yang menghapuskan gegaran dengan menggerakkan jisim berlawanan dalam arah bertentangan berasaskan data gegaran menerusi sensor.
3. Konfigurasi optimum dalam gerabak (lif) mengurangkan bunyi bising yang dihasilkan akibat kesan geseran ketika bergerak pada kelajuan pantas dalam laluan sempit.

Balai cerap

Observatory atau balai cerap Taipei 101 terbahagi kepada tiga. Pada paras 382 meter di tingkat 89, pengunjung berpeluang menyaksikan pemandangan menakjubkan meliputi seluruh Lembangan Taipei. Alat panduan mudah alih dalam lapan bahasa bersedia memberi penerangan tentang keindahan landskap semula jadi yang mengelilingi pulau tersebut seperti Gunung Su-shou, Nan-Kang, Jing-mei xian ji, Mian Tian, Datun dan Chihsing.

Bukan itu sahaja, terdapat pelbagai tarikan lain seperti tayangan dokumentari mengenai sejarah pembinaan Taipei 101 yang ditayangkan setiap 15 minit di teater tertutup tingkat 91.

sumber : utusan malaysia

No comments: