Monday, July 27, 2009

MASALAH DENTAL

SETIAP orang akan berdepan dengan masalah dental (gigi), sekurang-kurangnya satu kali, pada satu tahap dalam hidup mereka.

Berdasarkan Persatuan Pergigian Malaysia, sebanyak 95 peratus daripada populasi Malaysia telah pun merasai kesan-kesan perit pereputan gigi.

Kajian yang dijalankan menyatakan bahawa pereputan gigi biasanya memberi kesan yang lebih kepada orang yang berumur 35 tahun ke atas.

Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia turut menunjukkan bukti-bukti terdapatnya penyakit gusi.

Statistik ini agak membimbangkan kerana ia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak peka terhadap penjagaan gigi.

Oleh itu, ia adalah mustahak bagi rakyat Malaysia untuk memahami cara-cara yang betul untuk mencapai dan mengekalkan penjagaan gigi yang baik.

Ini dapat dicapai dengan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk meningkatkan kebersihan oral.
Walaupun terdapat banyak penyakit dental yang lazim berlaku, lima jenis penyakit yang berpunca daripada aktiviti bakteria yang paling lazim dikesan adalah plak, pereputan gigi, gingivitis, periodontitis dan juga radang gigi.

Plak

Plak adalah lapisan tidak berwarna yang sentiasa dan berterusan terbentuk di dalam mulut kita. Ia terbentuk daripada gabungan bakteria, air liur dan asid yang seterusnya membentuk deposit melekit yang melekat pada gigi. Plak juga boleh merosakkan gusi dan asid yang dihasilkan pula boleh memusnahkan lapisan atas enamel gigi, mengakibatkan gigi berlubang dan kaviti. Apabila plak tidak di buang, ia akan bertukar menjadi kalkulus dan tartar. Dengan mengehadkan pengambilan makanan bergula, air bergas dan makanan yang mengandungi tahap karbohidrat yang tinggi, ia memudahkan pengawalan dan juga mengurangkan jumlah plak yang terdapat pada gigi. Plak juga boleh disingkirkan dengan lebih kerap memberus gigi dan menggunakan flos gigi (setiap kali selepas makan).

Pereputan gigi

Pereputan gigi, juga dikenali sebagai kaviti dental, adalah jangkitan yang berpunca daripada kombinasi makanan berkarbohidrat tinggi dan bakteria yang hidup dalam mulut kita. Apabila bakteria ini berjumpa dengan karbohidrat, ia akan mencernakan karbohidrat tersebut lalu membentuk asid yang akan perlahan-lahan menghakis lapisan enamel yang keras pada gigi kita.

Gingivitis

Gingivitis adalah kemerahan atau jangkitan gusi pada tahap awal penyakit periodontal (penyakit gusi).
Gusi yang sihat selalunya berwarna merah jambu. Gingivitis menyebabkan gusi kemerahan dan bengkak, serta sering berdarah apabila memberus gigi ataupun mengunakan flos gigi. Sekiranya tidak mendapatkan rawatan, jangkitan akan merebak ke bawah garisan gusi dan mengakibatkan penyakit dental. Penyakit gusi boleh memusnahkan tisu-tisu lembut, tulang dan ligamen yang menyokong gigi, lalu menyebabkan gigi longgar dan reput.

Periodontitis

Periodontitis adalah jangkitan gusi yang disebabkan bakteria sama yang dijumpai dalam plak. Jika jangkitan itu tidak di rawat, ia akan memusnahkan tisu gusi dan tulang di dalam mulut. Rawatan untuk periodontitis adalah dengan membersihkan tapak jangkitan dan merawat dengan antibiotik .

Radang gigi

Keradangan gigi disebabkan oleh jangkitan gusi. Keradangan akan menyebabkan pembentukan nanah yang akan mengelilingi gigi. Keadaan ini amat menyakitkan dan boleh mencetuskan masalah lain jika gagal mendapat rawatan dengan segera. Keradangan gigi boleh dirawat dengan beberapa cara, bergantung pada tahap keseriusan jangkitan. Jika keradangan berpunca daripada pereputan, gigi tersebut akan memerlukan pembedahan 'root canal' ataupun perlu dicabut. Jika gusi yang menyebabkan keradangan gigi, gusi perlu menjalani rawatan pembersihan, rawatan pembedahan, atau mencabut gigi. 

Langkah mudah seperti memberus gigi dua kali sehari dengan berus gigi yang betul (sebaik-baiknya dengan berus silang pangkah) dan membersihkan gigi dengan flos, dapat mengelakkan daripada jangkitan penyakit-penyakit dental yang lazim. Ia juga adalah digalakkan untuk mengelakkan daripada memakan makanan bergula secara berlebihan.

Orang ramai juga disaran kerap melawat doktor gigi (sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan) untuk pemeriksaan dan juga pembersihan gigi dari plak yang tersembunyi.

sumber : utusan malaysia

No comments: