Tuesday, July 28, 2009

GRAND CANYON



Kawasan berbatu berwarna kuning di Grand Canyon jadi destinasi pilihan pencinta sukan lasak

PENGGEMAR aktiviti lasak sememangnya suka mencari kelainan dengan mengembara di segenap pelosok dunia terutama ke bumi yang masih dilatari pepohon hijau atau menjalani rutin lasak di kawasan yang jarang dijejaki manusia.

Grand Canyon, Amerika Syarikat antara destinasi pilihan hebat untuk insan berjiwa kental yang mahu mencari sesuatu di luar kebiasaan.

Apa dipertaruhkan kawasan hutan Arizona yang diisytiharkan sebagai Taman Negara pertama di dunia itu adalah pelbagai aktiviti lasak misalnya mendaki gunung berbatu, melawan arus deras di Sungai Colorado atau eksplorasi ke dunia hidupan liar sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Taman Negara Grand Canyon dinobatkan sebagai Taman Negara genap 90 tahun pada 26 Februari lalu oleh Presiden Amerika, Woodrow Wilson, bertujuan mengekalkan kesinambungan hutan untuk dinikmati generasi akan datang.

Kelebihan Taman Negara Grand Canyon yang turut dipelihara sebagai Tapak Warisan Dunia dikunjungi kira-kira 4.5 juta pengunjung setahun adalah keunikan dan nilai antik yang terdapat pada landskapnya.


Sungai Colorado mengalir tenang di Lembah Grand Canyon yang menyajikan pemandangan indah sukar dinikmati di tempat lain.

Rabung bukit yang kelihatan berceracak dari jauh wujud hasil aliran air dari Sungai Colorado sejak enam juta tahun lalu sehingga membentuk gaung tinggi berwarna kekuningan menyajikan pemandangan yang sungguh mempesonakan.

Menurut maklumat daripada pihak pengurusan Taman Negara Grand Canyon, pembentukan gaung tinggi di kawasan itu bermula di kawasan Barat membawa ke Timur. Kemudian rabung berkenaan berpecah dua hasil aliran air, bergerak dan bergabung di kawasan Barat Grand Canyon yang dikenali sebagai Gerbang Kaibab.

Di tengah antara gaung Grand Canyon berkenaan terhasil batu yang jelas dapat dilihat di tengah kawasan gaung berkenaan dan orang pertama berjaya menyusuri Sungai Colorado menyifatkan gaung itu sebagai ‘daun yang terselit di sebalik helaian buku cerita terhebat’.

Sebelum kedatangan orang Eropah ke kawasan berkenaan, Grand Canyon dihuni Orang Asli Amerika yang banyak meneroka kawasan bergaung dan bergua sekitar hutan berkenaan.

Hingga kini, ada kira-kira 2,000 penghuni asal Taman Negara Grand Canyon yang menghuni kawasan berkenaan secara tidak langsung turut menjadi daya tarikan kepada pengunjung dari luar.

Selain menikmati pemandangan dari South Rim yang berketinggian 2,100 meter dari paras laut, Grand Canyon turut terkenal sebagai destinasi pilihan untuk pencinta aktiviti rakit arus deras (whitewater rafting), mendaki dan larian jarak jauh merentas kawasan berbatu.

Jangan lokek untuk melabur sedikit wang jika mahu menikmati pemandangan dari rabung Selatan kerana di sana, puak Hualapai telah membuka Grand Skywalk Canyon iaitu pelantar daripada cermin telus untuk kemudahan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi dengan lebih dekat.

Tapi jangan berasa ralat kerana di atas pelantar berkenaan, pelancong tidak dibenarkan merakam gambar.

INFO: Grand Canyon

  • Yellowstone adalah kawasan berbatu di Grand Canyon dinamakan berdasarkan fizikalnya yang berbatu dan berwarna kuning.

  • Pengunjung yang ingin memasuki kawasan Taman Negara Grand Canyon perlu memohon permit iaitu permit biasa berharga $AS20, permit tahunan ($AS50) dan permit bermalam ($AS4)

  • Taman Negara Grand Canyon mempunyai 75 spesies haiwan mamalia, 50 spesies reptilia dan 25 jenis spesies ikan selain 300 jenis burung yang jarang dapat dilihat di tempat lain.

  • Pengunjung tidak dibenarkan membawa haiwan peliharaan bersama bagaimanapun orang kurang upaya boleh mendapatkan khidmat haiwan bantuan yang disediakan di pintu masuk taman negara.

  • sumber : berita harian

    No comments: