Monday, July 27, 2009

FENOMENA GERHANA

DUA pemandangan berbeza di banda raya Beijing pada pukul 9.36 pagi akibat fenomena gerhana.

SELALUNYA fenomena gerhana matahari tidaklah mendapat perhatian ramai kerana ia sering berlaku sekurang-kurangnya pada kitaran setiap 18 bulan sekali.

Namun fenomena tersebut yang berlaku pada Rabu lepas disifatkan luar biasa kerana tempohnya yang panjang iaitu selama enam minit 39 saat di mana matahari terlindung sepenuhnya di sebalik bulan.

Sebahagian penduduk Asia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari yang paling lama bagi abad ke-21 yang merentasi India dan China bermula dari Mumbai ke Shanghai serta di beberapa kawasan di utara Malaysia.

Terdapat dua sebab kenapa peristiwa fenomena ini mendapat perhatian dari orang ramai. Pertama adalah kerana tempoh masa gerhana matahari kali ini merupakan yang terlama pernah berlaku. Maka kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh manusia kerana ia hanya dapat dilihat sekali seumur hidup (jika mengambil kira tempoh hayat manusia kurang dari 100 tahun).

Kedua ia berkait rapat dengan keinginan mengkaji manusia terutama bagi para saintis. Momentum gerhana matahari ini dapat dijadikan sumber data bagi membongkar rahsia matahari, terutama struktur, ledakan, suhu serta fenomena matahari.

Fenomena ini telah digembar-gemburkan ke seluruh dunia, yang jarang dapat dilihat dalam seumur hidup kerana ia tempoh paling lama merentasi di beberapa kawasan berpenghuni di bumi dan menjadi gerhana bersejarah yang bakal disaksikan oleh jutaan orang.

"Ia merupakan peristiwa terpenting yang pernah berlaku di sini. Tiada seorang pun dari kami dapat hidup lebih lama untuk melihat peristiwa itu berulang lagi," kata pengurus agensi pakar pelancongan Eclipse City yang berpusat di Jerman, Federico Borgmeyer.
 
Raksasa

Sebelum kejadian itu berlaku akhbar utama dan ahli astrofizik Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan tarikh 22 Julai akan berlaku sebuah fenomena raksasa.

Menurut pakar gerhana, Fred Espenak, jumlah sinaran suria akan menjadi berkurangan apabila bulan berada di antara bumi dan matahari dan telah mengaburkan pancaran sepenuhnya.

Masa maksimum gerhana itu berlaku adalah selama enam minit dan 39 saat. Peristiwa ini hanya akan berlaku lagi mungkin pada tahun 2132.

Jarak 'laluan keseluruhan' fenomena itu meliputi sehingga 258 kilometer dan penduduk Gujarat di barat India menjadi orang yang pertama dapat menyaksikan gerhana dalam masa singkat sebelum pukul 6.30 pagi (9.00 pagi waktu Malaysia).

Fenomena gerhana yang menyebabkan keadaan gelap kemudiannya merentasi India, meliputi sungai Gangga, kota suci Varanasi yang berada di antara utara dan selatan Bangladesh dan Nepal sebelum mengelapkan kebanyakan tempat di Bhutan, melalui tanah besar China dan kemudian melepasi laut di Shanghai.

Fenomena gerhana itu turut melanda selatan pulau Ryuku, Jepun selepas membelok di tenggara melalui Lautan Pasifik di mana ia akan berada di sana dalam tempoh yang maksimum.

Bagi kawasan-kawasan yang berada di laluannya, ia akan disinari matahari sebanyak dua kali pada awal pagi kerana bulan melindungi lebih rendah ketika itu dan kemudian perlahan-lahan menyinari bumi sekali lagi.

Sebanyak 50 peratus atau lebih bagi anggaran dua bilion penduduk yang diliputi sinaran gerhana itu, bermula dari kawasan penggaraman para pe tani di Gujarat hingga ke kawasan gembala Tibet di kaki bukit Banjaran Himalaya.

Peluang yang datang sekali seumur hidup itu turut menjadi gerhana paling banyak disaksikan dalam sejarah disebabkan laluannya yang meliputi kawasan paling padat dengan penduduk di muka bumi.

Di Malaysia fenomena gerhana turut dapat disaksikan oleh rakyat negara ini terutama di negeri-negeri utara tanah air. Bagaimanapun penduduk hanya dapat menyaksikan kejadian gerhana matahari dalam bentuk separa dan bukannya gelap secara keseluruhan. Bagi penduduk di Alor Setar fenomena ini berlaku bermula pada pukul 8.45 pagi.

Ini dapat disaksikan apabila kawasan permukaan matahari ditutupi oleh bulan semasa berlakunya aktiviti gerhana separa.

Sebelum fenomena ini berlaku cuaca di bandar raya itu kelihatan agak mendung dan selepas aktiviti gerhana berlangsung cuaca bertukar menjadi panas dan mendung semula sebelum hujan melanda pada pukul 11 pagi.

Namun hujan yang melanda bandar itu disahkan tidak mempunyai kaitan dengan fenomena matahari gerhana oleh Jabatan Meteorologi dan ia hanyalah hujan biasa.

Menariknya gerhana matahari ini bukan sahaja telah menjerumuskan berjuta-juta penduduk di serata Asia ke dalam kegelapan tetapi ia turut mencetuskan suasana keagamaan, ketakutan mahupun keterujaan di seluruh dunia terutama di India dan China.

Para penganut Hindu memenuhi kuil-kuil utama di India sejak awal pagi lagi bagi menjalankan tanggungjawabnya sempena fenomena gerhana itu. Namun di sebalik semua keghairahan ini ia turut mencatat sejarah hitam apabila dilaporkan berlaku kejadian tidak diingini semasa gerhana itu berlangsung.

Seorang wanita terbunuh dalam kejadian rempuhan di kota suci Hindu, Varanasi di mana puluhan ribu penganut agama itu berhimpun di tebing Sungai Gangga sejak subuh lagi.

Polis berkata, wanita berusia 80 tahun itu pitam semasa pengunjung berasak-asak untuk memasuki sebuah kuil dekat tebing sungai tersebut, kemudian meninggal dunia akibat sesak nafas.

Kejadian itu mencetuskan panik yang turut menyebabkan lebih 20 orang lain cedera.

Dalam pada itu stesen rasmi China, Central Television membuat liputan secara langsung tentang peristiwa yang dipaparkan sebagai 'Gerhana Matahari Sungai Yangtze' kerana laluan fenomena itu meliputi lembangan saliran sungai tersebut.

Penduduk di Shanghai tidak mempedulikan hujan dan cuaca mendung untuk menyaksikan gerhana itu apabila kegelapan mula menyelubungi pusat perdagangan China tersebut pada 9.36 pagi (waktu sama di Malaysia).

"Sekarang waktu kerja, tetapi kami tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan pemandangan yang begitu menakjubkan. Pengalaman ini sungguh menyeronokkan," kata seorang pekerja di Shanghai, Allen Chen yang keluar ke jalan raya untuk menyaksikan peristiwa itu.

sumber : utusan malaysia

No comments: